Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
NDUMBA MAAECHE (kiri) memainkan peranan penting ketika membantu Felda United menyekat kemaraan Kelantan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
JURULATIH Felda United, Irfan Bakti Abu Salim akhirnya membuka mulut mengapa beliau tidak membenarkan skuad kendaliannya berlatih mengambil sepakan penalti dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala FA menentang Kelantan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Ini kerana Irfan optimis bahawa The Red Warriors tidak mampu untuk merobek gawang The Settlers lebih daripada tiga gol pada perlawanan tersebut.
Pada perlawanan tersebut, Felda telah berjaya mengikat juara bertahan itu dengan keputusan seri 2-2 dan merakamkan keputusan 5-5 secara agregat.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak-anak buah bimbingan George Boateng tersingkir daripada saingan Piala FA apabila Felda United mara ke pentas final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Sebelum aksi itu, Irfan mengakui ada beberapa saranan yang menyuruh pasukannya berlatih mengambil sepakan penalti menjelang aksi menentang Kelantan.
"Memang ada (saranan berlatih mengambil sepakan penalti) tetapi saya cukup yakin bahawa perlawanan tersebut tidak akan berlarutan sehingga ke sepakan penalti.
"Saya yakin bahawa Kelantan tidak akan mampu meledak tiga gol di Shah Alam (kelmarin) dan prestasi anak-anak buah saya juga semakin konsisten.
"Keyakinan itu hadir apabila kami berjaya mengikat mereka di (Stadium Sultan Muhammad IV) Kota Bharu dan dalam aksi itu, saya sendiri memberitahu pemain-pemain saya supaya menyelesaikan tugas mereka dalam tempoh 90 minit.
"Hasilnya, mereka berjaya layak ke final dan saya fikir kelebihan tiga gol di tempat lawan itu memberikan Felda satu kejayaan cukup bermakna," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain kejayaan Felda United yang layak buat pertama kali melangkah ke pentas final Piala FA, Irfan juga memiliki misi peribadi tersendiri ketika menentang Pahang di final nanti.
Irfan telah bersedia untuk memburu kejayaan peribadi dalam final keempat Piala FA selain berusaha membantu The Settlers muncul sebagai pasukan berstatus kelab pertama menjulang trofi tersebut dalam sejarah sejak 1990.
Sebagai rekod, Irfan pernah menjulang Piala sebanyak dua kali ketika bersama Terengganu (2011) dan Pulau Pinang (2002).
"Ini adalah final keempat Piala FA dalam karier saya. Sudah tentu saya ada misi peribadi.
"Pemain-pemain juga berazam untuk membantu Felda United melakarkan sejarah baharu dalam aksi final Piala FA.
"Jadi, kami akan memberikan fokus penuh kepada pertemuan menentang Pahang nanti," katanya.
RUJUKAN-http://www.kosmo.com.my/kosmo 2.6.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan