Rabu, 14 September 2016

Impian Johor tercapai

ARKIB : 16/08/1998
JOHOR yang gagal menempah tempat ke Piala Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara bola sepak Piala FA selepas menewaskan Sabah 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.

Pemain import dari Australia, Milan Blagojevic muncul sebagai wira pasukan dari Selatan itu apabila menyumbat masuk gol kemenangan pada minit ke-31.

Tendangan kencang Blagojevic dari jarak kira-kira 30 meter melepasi jangkauan penjaga gol, Khairul Azman Mohamad.

Jaringan itu merupakan hadiah istimewa bagi pemain kelahiran Yugoslavia itu. Khamis lalu, dia menerima perkhabaran baik daripada bapanya di Sydney yang memberitahu bahawa isterinya, Malina di Sydney melahirkan anak lelaki.

Kira-kira 20,000 penonton membanjiri stadium Likas dan ia adalah jumlah terbesar berbanding perlawanan-perlawanan yang membabitkan Sabah dalam perlawanan liga di gelanggang berkenaan.

Sabah lebih banyak mengasak diawal permainan tetapi Johor berjaya mencuri peluang untuk gol pendahuluan.

Perlawanan agak seimbang dan Sabah yang ketinggalan berusaha untuk bangkit.

Peluang terbaik Sabah hanya diperolehi pada minit terakhir separuh masa pertama tetapi Jelius Ateng mempersia-siakan hantaran Yap Wai Loon apabila melakukan tandukan lemah yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Johor, Omar Salim.

SABAH: Khairul Azman Mohamad, Jainin Tinin, Burhan Ajui, Veselin Kovacevic, Abdullah Awang Hadi, Suharmin Yusof, David Rocastle, Mohd. Jaya Kassim, Musa Hendrik, Yap Wai Loon, Jelius Ateng.

JOHOR: 13- Omar Salim, Rizal Sukiman (4), 6 Salim Khamis, 7-Idris Karim, 8- Darren Stewart, 14-Rosdee Sulong, 15- Azmil Azali, 18- Md. Zakir Othman, 19- Azmi Mohamed, 20- Milan Blagovic, 21- Rizal Zambry Yahya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4KFRfHLRR © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 September 2016

Sabah-Johor ke final

ARKIB : 05/08/1998
SABAH dan Johor akan menentukan juara bola sepak Piala FA pada 15 Ogos ini selepas masing-masing mencatat kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mempamerkan satu daripada permainan terbaiknya musim ini apabila membelasah Kedah 5-1.

Dengan kemenangan itu, Sabah yang pernah menjadi juara 1995 mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-2.

Pada pertemuan pertama minggu lalu, Sabah tewas 0-1 kepada Kedah.

Johor pula menewaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam satu lagi perlawanan di Johor Bahru.

Gol-gol Sabah dijaringkan Veselin Kovacevic melalui sepakan penalti pada minit ke-23 diikuti gol David Rocastle (61), Mohd Jaya Kasim (65, 75) dan Suharmin Yusof pada minit ke-78.

Gol tunggal Kedah dijaringkan pemain import Andre Luis Nascimento pada minit ke-52 melalui sepakan penalti.

Sabah yang kelihatan bersungguh-sungguh untuk menaikkan semula nama mereka dalam arena bola sepak tempatan selepas persembahan kurang bermaya di peringkat Liga Perdana, memulakan asakan sebaik sahaja permainan bermula dan menguasai sebahagian besar permainan malam ini.

Sabah mendapat peluang seawal minit keempat melalui hantaran lintang Jainin Tinin, tetapi Yap Wai Loon yang mendapat bola di hadapan gol gagal menewaskan S. Ragesh.

Sabah sekali lagi mendapat peluang lapan minit kemudian tetapi Mohd Jaya Kassim, yang mendapat hantaran lintang daripada Jainin, juga gagal menewaskan penjaga gol Kedah.

Sabah akhirnya mendapat gol yang dicari-cari pada minit ke-23 melalui sepakan penalti Kovacevic apabila Jaya dikasari, sekali gus menyamakan agregat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan serangan Kedah lebih tersusun dan berhasil mendapatkan gol melalui sepakan penalti Nascimento selepas Nidzam Adzha dikasari di dalam kotak penalti pada minit ke-52.

Kedah terpaksa bermain 10 orang selepas Roslan Abdul Rahim diperintah keluar padang pada minit ke-60 dan ini memberi ruang kepada Sabah untuk bergerak lebih selesa ketika melancarkan serangan.

Gol kedua Sabah muncul pada minit ke-61 melalui sepakan penalti apabila David Rocastle dikasari. Sepakan yang diambil Kovacevic melantun daripada dakapan S. Ragesh dan terus disambar Rocastle.

Jaya muncul wira Sabah apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit hasil serangan pantas yang dilakukan Sabah sebelum Suharmin Yusof melengkapkan kemenangan Sabah dengan gol pada minit ke-78. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KD4uzzmb © Utusan Melayu (M) Bhd

Laluan Kedah masih berliku

ARKIB : 25/07/1998
LALUAN Kedah dalam persaingan Piala FA dan Perdana Satu masih berliku dan berduri, berikutan keupayaan dan kemantapan Kenari semakin lemah longlai di saat penghujung berbanding ceria di awal pertandingan.

Ketua jurulatih Kedah, Fisol Razak mengakui bahawa antara kedua-dua buah piala memang ada perbezaan, tetapi pihaknya tetap menjadikan persaingan yang seimbang sebagai fokus utama.

Menurutnya pada percaturan Piala FA, yang penting kepada Hijau Kuning ialah bekalan yang cukup, sementara dalam Perdana Satu, kedudukan pasukan dan jaminan tempat ke pusingan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kemerosotan Kenari di akhir-akhir ini adalah kerana sebilangan besar pemainnya masih dalam senarai kecederaan.

''Cuba bayangkan pada satu ketika terdapat enam pemain kita tidak boleh bermain kerana kecederaan dan ini memaksa saya merombak dan menentukan pemain dalam keadaan serba kekurangan, ''katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemain-pemain pasukan Kenari juga sentiasa dalam keadaan tertekan dan letih kerana jadual perlawanan yang terlalu ketat iaitu bermain lapan perlawanan tanpa berhenti.

Beliau berkata, kadang-kadang pihaknya hanya sempat untuk melatih satu sesi sahaja. Ini juga mengundang banyak risiko kerana jika kalah, moral jatuh merudum.

''Kita terpaksa mengambil masa bukan sahaja untuk memulih corak permainan tetapi juga dari segi mental di samping menentukan pertukaran pemain yang sesuai dalam satu-satu perlawanan itu, ''katanya.

Dalam pada itu, katanya, faktor lain juga perlu diambil kira seperti pemain-pemain leka, hilangan tumpuan, tidak ikut arahan dan selebihnya pemain itu sendiri melakukan gerak kerja dengan betul.

Sungguh pun begitu, bagi Piala FA, Kedah masih di persimpangan sekali pun sudah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah, pada peringkat separuh akhir pertama di Alor Setar 21 Julai lalu.

Kini baki 90 minit lagi yang akan menjadi penentu masih merisaukan pengurusan skuad kenari berikutan bekalan yang diperoleh di gelanggang sendiri seperti yang dihasratkan tidak mencapai matlamatnya.

Beliau mengingatkan anak-anak buahnya supaya mengambil iktibar daripada perlawanan suku akhir menentang Melaka, apabila mereka menang 5-0 di Melaka, tetapi tewas teruk 1-5 pada pusingan kedua di Alor Setar.

Walaupun layak ke perlawanan separuh akhir dengan agregat 6-5, namun Kedah mencipta aib di gelanggang sendiri sehingga penyokong sendiri mengalih sokongan kepada pasukan pelawat, Melaka.

Sementara bagi perlawanan Perdana Satu, Hijau Kuning terus tercicir dari tangga ketiga ke tangga keempat dengan 28 mata, di belakang Pahang, Pulau Pinang dan Brunei, setelah tewas teruk 1-4 kepada Sarawak, Ahad lalu.

Persoalannya sekarang, apakah Kedah mampu melakukan sesuatu pada baki tiga perlawanan iaitu menentang Selangor di Alor Setar (25 Julai), Pahang di Kuantan (28 Julai) dan akhir sekali dengan Perak di Alor Setar pada 1 Ogos ini.

Oleh: MARZUKI MOHAMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K9PUDet2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah cerah ke akhir

ARKIB : 22/07/1998
KEDAH mencerahkan laluan ke peringkat akhir apabila menang tipis ke atas Sabah 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi, lapor YUSRI SAHAT.

Jaringan tunggal Mohd. Nidzam Adzha Yusoff pada minit ke-63 itu bagaimanapun masih belum selamat bagi Kedah yang akan bertandang ke Negeri Di Bawah Bayu itu bagi menghadapi perlawanan kedua pada 4 Ogos ini.

Hujan yang turun mengiringi perlawanan yang disaksikan 3,000 penonton telah memperlahankan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Sabah berjaya mengubah rentak permainan menjadi lebih bertenaga selepas mendapat peluang terbaik pada minit ke-20 melalui gerakan satu dua yang dicipta oleh Burhan Ajoi dan Mohd. Romzie selepas berjaya melepasi benteng pertahanan Kedah.

Romzie yang merupakan pemain pertahanan Sabah hanya gagal melepasi S. Ragesh yang keluar dari kawasan gawang untuk menolak bola ke atas bagi menyelamatkan keadaan.

Serangan kilat Sabah itu menyentap semangat Hijau Kuning untuk melakukan asakan demi asakan, namun setiap serangan menemui kebuntuan.

Romzie sekali lagi mengambil kesempatan terhadap kelemahan pertahanan Kedah dengan melakukan larian secara solo ke arah pintu gol pada minit ke-28, namun S. Ragesh tetap menjadi penghalang utama Romzie.

Kenari hampir pasti memperoleh gol pendahuluan pada saat- saat akhir babak pertama selepas Zulfatah Dzulkarnain menerima umpanan dari Andre Luis Nascimento, namun sepakannya hanya menyaksikan bola terkena palang.

Babak kedua tuan rumah memasukkan Mohd. Rafdi Mohd. Rashid menggantikan Mohd. Farouk Ismail dalam usaha menajamkan lagi jentera serangan.

Percaturan yang dibuat jurulatih Kedah, Fisol Abdul Razak nyata berjaya mengubah nasib Kedah apabila berjaya mendapatkan gol.

Penyerang, Mohd. Nidzam Adzha meledakkan gol Kedah selepas melakukan larian solo dari bahagian tengah padang lalu melepaskan satu sepakan kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan Khairul Azman Mohamad.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan Johor pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan, tetapi Johor lebih banyak menguasai permainan dan kerap mengasak ke kubu Kuala Lumpur.

Skuad warga kota harus berterima kasih kepada penjaga golnya, Azmin Azram Aziz yang menyelamatkan sekurang-kurangnya lima percubaan bahaya Johor.

Keputusan itu mengecewakan Kuala Lumpur yang akan bertandang ke Johor Bahru untuk separuh akhir kedua, 4 Ogos ini sebaliknya melegakan Johor yang mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.

Sementara itu di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pasukan tuan rumah Brunei membenam Negeri Sembilan 4-0 pada perlawanan Liga Perdana Satu.

Gol Brunei dijaringkan oleh Brian Iman pada minit ke-26, Zannoun Farouk (44), Irwan Mohamad (52) dan Rosanan Samak minit ke-89.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4K9LN1pbu © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 12 September 2016

Jengking atasi Perak

ARKIB : 08/07/1998
Jengking atasi Perak
JOHOR melayakkan diri ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas menumpaskan Perak menerusi agregat 4-3 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Larkin, Johor malam tadi.

Walaupun tewas 1-2, Johor berjaya melepaskan diri ke separuh akhir selepas menumpaskan Perak 3-1 dalam perlawanan suku akhir pertama sebelum ini.

Johor mendahului pasukan Perdana Satu, Perak pada minit ke-27 melalui tandukan Idris Karim yang mendapat hantaran daripada Azmi Mohamad.

Perak yang seolah-olah cuba membaca rentak pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama membuat perubahan dengan mengatur serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-51, pemain import Perak, Laszlo Repasi yang membuat satu tendangan percuma di luar kotak penaliti berjaya mengelirukan penjaga gol, Hasbulah Fatah untuk gol pertama Perak.

Jurang perbezaan jaringan itu berjaya dirapatkan lagi oleh Laszlo yang menyumbatkan satu lagi gol pada minit ke-72 juga melalui satu tendangan penaliti pada jarak 30 meter

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4K2m5p100 © Utusan Melayu (M) Bhd

Kuala Lumpur turut mara

ARKIB : 08/07/1998
Kuala Lumpur turut mara
KUALA LUMPUR mara ke separuh akhir bola sepak Piala F.A selepas menewaskan penyandang juara, Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4 selepas Selangor mencatat kemenangan 4-2 tamat masa penuh 90 minit. Pada perlawanan pertama Kuala Lumpur menang 2-0.

Biarpun perlawanan berlangsung hingga ke masa tambahan sudden-death namun tiada sebarang gol dihasilkan memaksa penentuan sepakan penalti menjadi penentu.

Tendangan penalti Azman Adnan dan Shahril Arsat berjaya diselamatkan oleh Azmin Azram manakala sepakan Nazim Din pula diselamatkan oleh Azlihsam Ibrahim.

Gol Selangor pada permainan sepenuh masa dijaringkan oleh Rusdi Suparman (37), Fidadi Mohamed (48 dan 54) dan Azman Adnan minit ke-83.

Kuala Lumpur pula memperolehi jaringan menerusi G. Muthu (62) dan Nazim Din minit ke-69.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4K2keeoQd © Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang terkeluar

ARKIB : 08/07/1998
P. Pinang terkeluar
KECEMERLANGAN lalu gagal diulangi Pulau Pinang yang tewas menerusi sepakan penalti 2-4 untuk merelakan Sabah ke separuh akhir Piala FA selepas suku akhir pusingan kedua berakhir di Stadium Bandaraya malam tadi.

Merzagua Abderrazak yang memastikan kemenangan 1-0 Pulau Pinang malam tadi untuk mengikat agregat 1-1, sebaliknya menjadi pemusnah selepas gagal menyempurnakan penalti bersama seorang lagi pemain, Ooi Hoe Guan.

Bagaimanapun Sabah, yang menang 1-0 perlawanan pertama mendahului apabila sepakan penalti berjaya disempurnakan Mohd. Jaya Kassim, David Rocastle, Azlan Aripin dan Vaselic Kovasevic.

Sementara Balla Modou Conde dan S. Nanthakumar menyempurnakan penalti Pulau Pinang, tetapi ia tidak memadai untuk menyekat Sabah.

Babak pertama ternyata membosankan. Tanpa Domi Che Non, Pulau Pinang menyandarkan harapan kepada G. Shanmugan dan Merzagua tetapi gol yang diharapkan tidak kunjung tiba. Namun, kesilapan pertahanan Sabah menyaksikan Merzagua mudah mencuri bola dari kaki Jelius Ating sebelum membuat gerakan solo untuk menyepak masuk jaringan seminit kemudian.

Ketinggalan 0-1 memaksa Sabah bekerja keras mencari gol penyamaan. Kedua-dua pasukan terus gagal menghasilkan gol pada masa tambahan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4K2jVRD8V © Utusan Melayu (M) Bhd