ARKIB : 25/02/2009
MyTeam singkir juara bertahan
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PEMAIN Perlis, Azi Shahril Azmi
(kanan) berusaha meloloskan diri daripada dua pemain PKNS dalam Piala FA di
Kangar, malam tadi. - UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN
KUALA LUMPUR - Hasrat Kedah
untuk mengulangi kejayaan merangkul tiga kejuaraan musim lalu tidak kesampaian
apabila mereka sudah pun terlepas satu daripada gelaran tersebut selepas
tersingkir daripada saingan bola sepak Piala FA, semalam.
Kedah hanya mampu seri tanpa
jaringan dengan UPB-MyTeam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada
perlawanan kedua, pusingan kedua, sekali gus tersingkir menerusi peraturan gol
di tempat lawan selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama di Alor Setar, minggu
lalu.
MyTeam sebaliknya bergaya ke
suku akhir untuk menempah pertemuan dengan pendahulu Liga Super, Kelantan, yang
mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Polis di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, sekali gus mara dengan agregat besar 8-2.
Biarpun perlawanan berakhir
tanpa jaringan, Kedah dan MyTeam saling berbalas serangan dengan Kedah
memperoleh peluang pertama seawal minit kedua, namun larian solo Mohd. Khyril
Muhymeen Zambri dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan.
MyTeam pula hampir menyumbat gol
pada minit ke-14 apabila berlaku keadaan kelam-kabut dalam petak penalti Kedah
hasil sepakan sudut Norshahrul Idlan Talaha tetapi penjaga gol, Helmi Eliza
Elias pantas menangkap bola.
Aksi separuh masa kedua
berlangsung hambar pada 10 minit pertama, sehinggalah MyTeam memperoleh sepakan
percuma pada minit ke-64 tetapi bola rembatan Azmi Muslim sedikit melewati
palang gol.
Sementara itu Selangor turut
dipaksa berhempas pulas untuk melangkah ke suku akhir apabila hanya mampu seri
1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, tetapi mara dengan agregat 2-1.
P. Gunalan muncul wira tuan
rumah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70 selepas Kuala Lumpur
terlebih dulu membuka jaringan menerusi Azwan Malek, di minit ke-47.
Menanti Selangor pada suku
akhir nanti adalah Perak, yang memerlukan jaringan pada masa tambahan untuk
menyingkirkan Kuala Muda Naza menerusi agregat 3-2.
Kedua-dua pasukan terikat
dengan agregat 2-2 selepas tamat 90 minit perlawanan di Stadium Darul Aman,
namun jaringan Nazri Mohd. Kamal pada minit ke-96 memastikan kemaraan Perak.
Perak, yang terikat 1-1 dengan
Kuala Lumpur dalam perlawanan pertama, membuka jaringan menerusi Razali Umar
Kandasamy tetapi Zulhisyam Jamaluddin berjaya menyamakan kedudukan pada minit
ke-80 untuk mengheret permainan ke masa tambahan.
Dalam perlawanan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda terus
cemerlang apabila melangkah ke suku akhir dengan menumpaskan Terengganu
menerusi agregat 4-3.
Selepas tewas 1-2 pada perlawanan
pertama minggu lalu, Harimau Muda bangkit dengan kemenangan 3-1, sekali
menempah pertemuan suku akhir dengan Perlis.
Jaringan K. Gurusamy pada minit
ke-65, sepakan penalti Ahmad Shakir Md Ali di minit ke-67 dan gol Ahmad
Aminuddin pada minit ke-76 menghadiahkan kemenangan buat tuan rumah, manakala
gol saguhati Terengganu, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain
dijaringkan ketua pasukan, Mohd. Marzuki Yusof pada minit ke-43.
Sementara itu, Perlis masih
mampu ke suku akhir biarpun hanya mampu seri 0-0 dengan PKNS di Stadium Utama,
Kangar selepas menang 2-1 di tempat lawan, minggu lalu.
Di Stadium Negeri, Petra Jaya,
Kuching, T-Team menebus kegagalan skuad negeri mereka meneruskan cabaran,
apabila wakil Terengganu itu mara ke suku akhir dengan menumpaskan Sarawak
menerusi agregat 4-1.
Pelawat yang menang 2-0, Sabtu
lalu, melengkapkan kemaraan mereka dengan menumpaskan tuan rumah 2-1 dalam
perlawanan kedua semalam.
Sarawak bagaimanapun terlebih
dulu membuka jaringan menerusi rembatan Khalid Hamlet dari luar petak penalti
pada minit ke-45.
Namun, T-Team sukar dibendung
apabila jaringan Hasbullah Awang dan Azrul Azran Aminuddin pada minit ke-52 dan
62 membawa mereka melepasi pusingan kedua ini.
Menanti T-Team pada suku akhir
adalah Negeri Sembilan yang menyingkirkan Pulau Pinang menerusi agregat 4-2
selepas menang 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz522Oqd6da
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan