Jumaat, 22 Disember 2017

Bojan belum puas

ARKIB : 26/02/2009
PETALING JAYA - Layak ke suku akhir dan menang ke atas juara bertahan masih belum cukup buat pengendali UPB-MyTeam, Bojan Hodak selepas menyingkirkan Kedah dalam saingan pusingan kedua Piala FA, kelmarin.

Jurulatih dari Croatia itu menganggap saingan suku akhir masih belum cukup untuk peminat mengingati apa yang telah dicapai oleh MyTeam, sebaliknya mara ke peringkat yang lebih tinggi.

"Suku akhir, tidak akan sesiapa yang akan mengingati peristiwa ini, mungkin mara ke pusingan yang lebih baik lebih bermakna buat kami dan pasukan," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Jelasnya, barisan pemain muda yang dimilikinya ternyata mempunyai keyakinan tinggi, lebih-lebih lagi selepas menewaskan Selangor dalam Liga Super minggu lalu.

"Kemenangan ke atas Selangor memberi keyakinan kepada mereka terutama di barisan pertahanan yang bermain dengan baik sekali.

"Bagaimanapun saya masih tidak berpuas hati terhadap jentera serangan yang kurang menyengat selepas terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol," kata Bojan.

Menurutnya, taktik sama digunakan oleh Kedah membolehkan anak buahnya membaca serangan yang dilakukan oleh anak buah Azraai Khor Abdullah itu.

"Mereka sering menggunakan hantaran jauh tetapi hari ini (kelmarin) kami menggunakan kesempatan untuk mematahkan segala serangan yang dilakukan walaupun kami mengambil sedikit masa untuk menyesuaikannya," jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz522aHcBXF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan