Selasa, 30 Mei 2017

Laluan juara bertahan perit -- Pusingan kedua Piala FA



ARKIB : 02/06/2005

Oleh AMRAN MULUP
 PETALING JAYA - Juara Piala FA musim lalu, Perak berdepan tugas getir untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi apabila diundi bertemu juara 2002, Pulau Pinang dalam kempen pusingan kedua bermula 15 dan 22 Jun ini.

Laluan getir juga turut dilalui oleh juara sebanyak tiga kali, Selangor yang diundi berdepan dengan jiran setempat dan musuh utama dalam saingan Liga Perdana Kumpulan A, MK Land.

Keempat-empat pertemuan membabitkan Perak bertemu Pulau Pinang dan Selangor berdepan MK Land adalah antara aksi Piala FA yang menjadi tumpuan memulakan cabaran pusingan kedua saingan pertama pada 15 Jun sebelum mengharungi perlawanan kedua pada 22 Jun.

Saingan Piala FA kali ini menyaksikan 10 pasukan daripada persatuan bola sepak negeri dan enam dari pasukan berstatus kelab layak ke pusingan kedua.

Selain MK Land, lima pasukan berstatus kelab yang layak ialah PKNS, TNB, Shahzan Muda, KL Maju Holdings dan Public Bank.

Peringkat suku akhir timbal balik pula dijadualkan berlangsung pada 29 Jun dan 13 Julai, peringkat separuh akhir pula pada 31 Ogos dan 10 September manakala perlawanan akhir pula pada 24 September.

Atas kertas kelebihan jelas milik Pulau Pinang yang menang dua perlawanan pada saingan Liga Super apabila menewaskan Perak 1-0 di tempat lawan dan 2-1 di gelanggang sendiri.

Situasi Perak yang kini menduduki tangga tercorot Liga Super merumuskan betapa prestasi skuad seladang tidak menentu dan ini sudah pasti menceriakan Pulau Pinang yang mengidam untuk menempah tempat ke suku akhir.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor berkata, walaupun rekod pertemuan kedua-dua pasukan jelas memihak kepada Pulau Pinang tetapi saingan kalah mati Piala FA sukar untuk diramalkan.

``Saya boleh sifatkan peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50, perlawanan ini boleh memihak kepada pasukan yang bermain dengan cemerlang,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Amatur Perak (PAFA) Datuk Ishak Mohammad pula berkata, Perak akan cuba sedaya upaya untuk menewaskan Pulau Pinang dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

``Perak mengharungi persembahan yang tidak menentu tetapi dua kemenangan ke atas Perlis dan Sabah dalam saingan Liga Super membuktikan pasukan kita sudah kembali menemui sentuhan.

``Saya harap ini akan berterusan buat Perak untuk layak ke suku akhir,'' ujarnya.

Pada undian yang dijalankan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini semalam, laluan penuh berliku diharungi oleh Selangor selepas perlawanan pertama diundi bertemu Pahang tetapi menang dengan agregat 5-2 tetapi kali ini berdepan MK Land.

MK Land pernah menewaskan Selangor 3-2 tetapi Merah Kuning menebus kembali dengan jaringan yang sama pada saingan Liga Perdana, bakal menjadikan pertembungan kedua-dua pasukan itu ibarat `buku bertemu ruas'.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui pertemuan tersebut dijangka sengit dan sukar untuk diramalkan kemenangan berpihak sama ada kepada skuad Merah Kuning ataupun MK Land.

``Setakat ini, pertemuan terikat 1-1 antara kedua-dua pasukan, sama ada Selangor ataupun MK Land masing-masing ada kelebihan tersendiri,'' ujarnya.

Sementara itu pengurus MK Land, Michael Palani turut mengakui pertemuan kali ini dianggap paling sengit dan mendebarkan.

``MK Land akan mengekal corak permainan yang sama dan semua pemain bercita-cita untuk menewaskan Selangor,'' katanya.

Naib juara musim lalu, Terengganu turut merintis laluan sukar berdepan dengan Johor.

Dalam pertemuan Liga Perdana Kumpulan B, pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pada perlawanan pusingan pertama Johor menang 1-0 di Stadium Larkin sebelum tewas dengan jaringan yang sama di Kuala Terengganu.

Juala Piala Malaysia musim lalu, Perlis yang mendapat `bye' pada pusingan pertama akan berdepan dengan Kelantan manakala juara tiga kali, Kuala Lumpur akan bertemu dengan TNB.

Bekas juara pada 1996, Kedah pula dijangka mendapat tentangan sengit apabila diundi bertemu dengan PKNS.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZcyyOlY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan