SIASATAN berhubung insiden
kekecohan perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim (Johor
DT) dan T-Team akan dibuat secara profesional tanpa mengira individu yang
berada di belakang kedua-dua pasukan berkenaan.
Demikian tegas Ketua Polis Negara
(KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar di Kuala Terengganu semalam.
"Saya rasa tidak perlu
ragu-ragu dan kita akan telus dalam siasatan berkenaan, tidak kiralah pasukan
dari mana dan siapa pun di belakang pasukan itu. Jangan risau, saya sendiri
beri jaminan yang siasatan dijalankan secara telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA antara
T-Team dan Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru Sabtu
lalu.
Khalid berkata, setakat ini
pihaknya telah menerima laporan daripada kedua-kedua pasukan berhubung insiden
itu.
Beliau berkata, pihaknya juga
telah mula merakamkan percakapan kira-kira 15 orang bagi membantu siasatan dan
meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.
"Pertengkaran biasa dalam
sukan, ini bukan kali pertama pertembungan kuat dua kumpulan, jadi saya menyeru
kepada penyokong agar bersabar dan tidak mengambil tindakan yang melanggar
undang-undang, biar kita jalankan siasatan terlebih dahulu.
"Serahkan kepada kita
untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan, perlawanan liga perlu
diteruskan dan kita tidak boleh mencacatkan pertandingan seterusnya,” kata
Khalid.
Sabtu lalu perlawanan pusingan
kedua Piala FA antara T-Team menentang Johor DT di Larkin tidak diteruskan pada
separuh masa kedua apabila T-Team tidak mahu meneruskan permainan atas alasan
keselamatan.
Pada masa itu, Johor DT
mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Berikutan itu, Polis Terengganu
menerima empat laporan polis daripada pasukan T-Team tengah malam Ahad lalu
berhubung insiden itu. – Bernama
KOSMO ONLINE 6.2.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan