Rabu, 5 Februari 2014

Gaduh: Rodriguez tak cedera - Muhd. Irfan

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU 5 Feb. - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden pergaduhan dan kecederaan terjadi seperti dilaporkan sebelum ini.

Seorang pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada di dalam bilik persalinan, dia tidak melihat sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan untuk masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez."

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden terbabit juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan yang dahulunya bekas pemain JDT berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_12/Gaduh-Rodriguez-tak-cedera---Muhd-Irfan#ixzz2sS7Nz58U © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan