Selasa, 30 Mei 2017

Marlon, Bambang tarik perhatian -- Piala FA 2005



ARKIB : 15/06/2005

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Pertembungan dramatik juara tiga kali Piala FA, Selangor dengan MK Land di Stadium Selayang dekat sini bakal menjadi tumpuan semua peminat bola sepak pada saingan pertama pusingan kedua Piala FA, bermula malam ini.

Selangor yang gah selaku pendahulu Kumpulan A masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas TNB dalam saingan Liga Perdana Ahad lepas, manakala MK Land membuat kejutan dengan penyerang import Marlon Alex James menjaringkan enam gol ketika menewaskan Brunei 6-1.

Pertembungan dua penggempur terbilang Bambang Pamungkas buat skuad Selangor dan Marlon bakal menyajikan saingan paling menarik ketika rekod pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Selangor pastinya tidak rela, MK Land selaku pasukan berstatus kelab bakal memalitkan malu buat kali kedua.

Ketika MK Land bergantung penuh ke atas Marlon untuk memburu jaringan, Selangor sedikit ada kelebihan dengan kehadiran Brian Fuentes dan Muhammad Khalid Jamlus bagi membantu Bambang.

Buat MK Land kekalahan tipis 2-3 kepada Selangor pada saingan 15 Mei lalu tidak akan berulang lagi kali ini.

Pastinya, MK Land pula mahu meleburkan impian Selangor bagi meneruskan perjuangan untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA nanti.

Buat juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis yang masih belum mendakap gelaran selaku juara Piala FA sejak mula diperkenalkan pada 1990, dijangka tidak berdepan halangan bertemu pasukan dari Piala FAM, Kelantan di gelanggang sendiri.

Kehadiran Philemon Chipeta yang mencipta hatrik ketika Perlis menewaskan MPPJ 4-0 Sabtu lepas akan menjadi nadi untuk menyekat Kelantan daripada mengukir kemenangan.

Tidak hanya Chipeta menjadi ancaman buat Kelantan tetapi Zachariah Simukonda turut menggugat pasukan dari pantai Timur itu untuk meraih kemenangan pertama.

Sementara itu, Kedah yang pernah bergelar juara pada 1996 dijangka tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan pertama apabila bertandang ke Stadium Petaling Jaya bertemu PKNS.

Kedah yang menjadi pencabar kepada Selangor dalam Liga Perdana Kumpulan A, pastinya mahu memburu gelaran juara Piala FA musim ini.

Bekas juara tiga kali, Kuala Lumpur dengan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana pula akan bertandang ke Stadium Sultan Mohd. Ke-IV berdepan dengan TNB.

Selain itu, Terengganu yang pernah dinobatkan selaku juara pada tahun 2000 akan berdepan dengan Johor di tempat lawan.

Terengganu yang masih belum kebah daripada kejutan Ahad lepas tewas 1-2 kepada Jenderata pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menebus kekalahan tersebut.

Pendatang baru daripada Liga FAM, Shahzan Muda pula akan menguji kehebatan Sabah menjadi tuan rumah di Stadium Temerloh.

Manakala Maju Holdings pula akan melayani kedatangan Public Bank di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4icngdMdb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Laluan juara bertahan perit -- Pusingan kedua Piala FA



ARKIB : 02/06/2005

Oleh AMRAN MULUP
 PETALING JAYA - Juara Piala FA musim lalu, Perak berdepan tugas getir untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi apabila diundi bertemu juara 2002, Pulau Pinang dalam kempen pusingan kedua bermula 15 dan 22 Jun ini.

Laluan getir juga turut dilalui oleh juara sebanyak tiga kali, Selangor yang diundi berdepan dengan jiran setempat dan musuh utama dalam saingan Liga Perdana Kumpulan A, MK Land.

Keempat-empat pertemuan membabitkan Perak bertemu Pulau Pinang dan Selangor berdepan MK Land adalah antara aksi Piala FA yang menjadi tumpuan memulakan cabaran pusingan kedua saingan pertama pada 15 Jun sebelum mengharungi perlawanan kedua pada 22 Jun.

Saingan Piala FA kali ini menyaksikan 10 pasukan daripada persatuan bola sepak negeri dan enam dari pasukan berstatus kelab layak ke pusingan kedua.

Selain MK Land, lima pasukan berstatus kelab yang layak ialah PKNS, TNB, Shahzan Muda, KL Maju Holdings dan Public Bank.

Peringkat suku akhir timbal balik pula dijadualkan berlangsung pada 29 Jun dan 13 Julai, peringkat separuh akhir pula pada 31 Ogos dan 10 September manakala perlawanan akhir pula pada 24 September.

Atas kertas kelebihan jelas milik Pulau Pinang yang menang dua perlawanan pada saingan Liga Super apabila menewaskan Perak 1-0 di tempat lawan dan 2-1 di gelanggang sendiri.

Situasi Perak yang kini menduduki tangga tercorot Liga Super merumuskan betapa prestasi skuad seladang tidak menentu dan ini sudah pasti menceriakan Pulau Pinang yang mengidam untuk menempah tempat ke suku akhir.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor berkata, walaupun rekod pertemuan kedua-dua pasukan jelas memihak kepada Pulau Pinang tetapi saingan kalah mati Piala FA sukar untuk diramalkan.

``Saya boleh sifatkan peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50, perlawanan ini boleh memihak kepada pasukan yang bermain dengan cemerlang,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Amatur Perak (PAFA) Datuk Ishak Mohammad pula berkata, Perak akan cuba sedaya upaya untuk menewaskan Pulau Pinang dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

``Perak mengharungi persembahan yang tidak menentu tetapi dua kemenangan ke atas Perlis dan Sabah dalam saingan Liga Super membuktikan pasukan kita sudah kembali menemui sentuhan.

``Saya harap ini akan berterusan buat Perak untuk layak ke suku akhir,'' ujarnya.

Pada undian yang dijalankan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini semalam, laluan penuh berliku diharungi oleh Selangor selepas perlawanan pertama diundi bertemu Pahang tetapi menang dengan agregat 5-2 tetapi kali ini berdepan MK Land.

MK Land pernah menewaskan Selangor 3-2 tetapi Merah Kuning menebus kembali dengan jaringan yang sama pada saingan Liga Perdana, bakal menjadikan pertembungan kedua-dua pasukan itu ibarat `buku bertemu ruas'.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui pertemuan tersebut dijangka sengit dan sukar untuk diramalkan kemenangan berpihak sama ada kepada skuad Merah Kuning ataupun MK Land.

``Setakat ini, pertemuan terikat 1-1 antara kedua-dua pasukan, sama ada Selangor ataupun MK Land masing-masing ada kelebihan tersendiri,'' ujarnya.

Sementara itu pengurus MK Land, Michael Palani turut mengakui pertemuan kali ini dianggap paling sengit dan mendebarkan.

``MK Land akan mengekal corak permainan yang sama dan semua pemain bercita-cita untuk menewaskan Selangor,'' katanya.

Naib juara musim lalu, Terengganu turut merintis laluan sukar berdepan dengan Johor.

Dalam pertemuan Liga Perdana Kumpulan B, pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pada perlawanan pusingan pertama Johor menang 1-0 di Stadium Larkin sebelum tewas dengan jaringan yang sama di Kuala Terengganu.

Juala Piala Malaysia musim lalu, Perlis yang mendapat `bye' pada pusingan pertama akan berdepan dengan Kelantan manakala juara tiga kali, Kuala Lumpur akan bertemu dengan TNB.

Bekas juara pada 1996, Kedah pula dijangka mendapat tentangan sengit apabila diundi bertemu dengan PKNS.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZcyyOlY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 23 Mei 2017

Selangor, Kedah tunjuk garang



ARKIB : 24/02/2005

KETUA pasukan Pahang, Hairuddin Omar (kiri) dihalang oleh pemain Selangor, Brian Fuentes dalam saingan bola sepak Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 4-1.

SHAH ALAM - Pelaburan besar Selangor mendapatkan pemain berkualiti tidak sia-sia apabila mudah menjinakkan kehebatan Pahang menerusi kemenangan selesa 4-1 dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, di sini, semalam.

Di hadapan kira-kira 45,000 penyokong Selangor mendapat gol menerusi Khalid Jamlus (m11), Brian Fuentes (m84) dan Bambang Pamungkas (m19, m47).

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Kedah menewaskan Negeri Sembilan 3-0 hasil jaringan Shandel Samuel (m17) dan dua jaringan Akmal Rizal Rakhli (m67, 84).

Juara bertahan, Perak pula sekadar menang tipis 1-0 ke atas kelab kerdil, MPSJ di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Keita Mandjou (m33).

Pasukan Liga Super, Sabah pula mendahului awal sebelum dikejutkan oleh kelab kerdil, NTFA Pulau Pinang 3-1 di Stadium Negeri di Batu Kawan.

Sabah memperoleh gol pendahulu menerusi Ronny Harun pada minit ke-39 hanya untuk dikecewakan pada babak kedua oleh jaringan Darlington Agbona (m50), Iloduso Sam (m56) dan Amarin Madlan (m79).

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Kelantan menggunakan kesempatan menentang skuad tuan rumah yang bermain dengan 10 orang untuk menang 1-0.

Melaka kehilangan Mohd. Hafiz Monsir pada minit ke-32 dan enam minit kemudian Mohd. Faizol Che Noh menjaringkan gol tunggal perla-wanan.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menewaskan Sarawak 2-0.

Pemain import Pulau Pinang dari Jepun, Ito Dan membuka tirai jaringan menerusi gol minit ke-33 sebelum Jose Marcio Barreto menambah jaringan pada minit ke-66.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah mengalahkan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) 2-1.

Gol Terengganu dihasilkan Dos Santos (m59) dan Zairi Anuar Zalani (m79) manakala jaringan MPPJ oleh Fabricio Rene (m66).

Di Stadium Larkin, Johor terikat 1-1 dengan Johor FC. Johor mendapatkan gol menerusi Md. Shahril Nizam Khalil pada minit ke-75 sebelum disamakan kedudukan oleh Eddy Helmi Manan pada minit ke-90.

Di Stadium Pasir Gudang, tuan rumah Johor Pasir Gudang menewaskan PKNS 4-3.

Pasir Gudang memperoleh gol menerusi Stephen Vasey (m1), Khairul Anuar Shukor (m40), gol sendiri Igor Talic (m58) dan Mohd. Fadzli Ramli (m64) manakala PKNS membalas menerusi Talic (m35), Mohizan Shah Daud (m74) dan Latif Taib (m86).

Di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, pasukan pelawat Telekom Melaka menewaskan Kuala Lumpur 1-0 hasil jaringan Mohd. Nizam Abu Bakar (m76).

Di Stadium Nasional, Bukit Jalil, naib juara Liga Super musim lepas Selangor Public Bank menewaskan Polis 3-0.

`The Bankers' mendapat gol menerusi pemain import dari Slovakia, Gustavo Anbres Fuentes (m18, 49) dan Rashid Mahmud (m22).

Di Stadium Mindef, Tentera seri 1-1 dengan Maju Holdings.

Pasukan pelawat, Maju Holdings mendahului menerusi Mohd. Iqbal Nasir (m41) sebelum Musabri Mat Nayan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88.

Di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pasukan Shahzan Muda mengalahkan Selangor Proton 4-0.

Kesemua gol Shahzan Muda dijaringkan pemain import dari Argentina, Daniel (m14,33, 64, 74).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4husVdKqj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 19 Mei 2017

Ulang memori 2008

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kedah Khairul Helmi Johari (gambar) menegaskan mahu mengakhiri penantian sembilan tahun untuk membawa pulang Piala FA selepas kali terakhir memenangi trofi berkenaan pada 2008.

Menurut Helmi, kejayaan memenangi Piala Malaysia (musim lalu) dan Piala Sumbangsih (musim ini) menambah keazaman pemain untuk menghadiah trofi ketiga kepada skuad Helang Merah itu.

“Memang menjadi hasrat kami untuk memenangi Piala FA kerana Kedah sudah lama tidak memenanginya selepas kali terakhir pada 2008.

“Musim ini, berdasarkan kedudukan kita di tangga ketiga liga (Liga Super), saya yakin peluang meraih gelaran Piala FA tetap ada walaupun Pahang juga bukan calang-calang pasukan.

“Apa yang saya harapkan rakan sepasukan dapat beraksi baik dan mengikut segala perancangan jurulatih,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Shah Alam, semalam.

Pada 2008 ketika aksi final Piala FA yang menyaksikan Kedah muncul juara, Helmi tidak berpeluang bermain manakala pada 2010, mereka sekadar bergelar naib juara selepas tewas kepada Negeri Sembilan menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketika ini semua pemain berada dalam keadaan baik kecuali pertahanan dari Australia Zachary Michael Anderson yang mengalami sedikit kecederaan.

Helmi yang lebih mesra dengan panggilan Keon, mengakui jika Anderson tidak dapat berganding dengannya dalam perlawanan hari ini, dia percaya rakan sepasukan lain mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pertahanan dari Australia itu.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:30 AM

Tak sabar julang trofi sulung

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyerang Pahang Mohamadou Sumareh tidak sanggup menunggu lagi untuk menjulang kejuaraan apabila bertekad menjadikan pentas final Piala FA sebagai penamat penantian itu.

Tujuh tahun pemain import dari Gambia ini berkelana di Malaysia, ini kali pertama dia bakal merasai nikmat beraksi di perlawanan akhir.

“Ini final cukup istimewa, sudah tujuh tahun saya di sini, sebelum ini saya hanya mampu melangkah ke suku akhir, mungkin dua kali. Ini final pertama jadi saya mahu merasai bagaimana perasaan menjulang trofi,” katanya kepada Arena Metro pada sesi latihan terakhir Pahang di Stadium Shah Alam semalam.

Sumareh, 25, pemain lincah yang dipancing dari Perlis menjadi watak penting kemaraan Tok Gajah ke pentas final apabila muncul penjaring terbanyak pasukan dengan tiga gol termasuk jaringan penting menyingkirkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di suku akhir menerusi agregat 4-3.

Malah jika Kedah memiliki Liridon Krasniqi sebagai pemain perancang, Pahang pula bakal mempertaruhkan kelincahan Sumareh untuk mengkucar-kacirkan permainan Helang Merah terutama menerusi serangan balas.

Sumareh berkata, dia tidak rela segala susah payah mereka melangkah ke final lebur di tangan Kedah.

Apatah lagi kejuaraan cukup penting buatnya bukan saja sebagai hadiah kepada penyokong, malah kepada rakan baiknya yang juga rakan sepasukan Matheus Alves yang menyambut hari lahir ke 24 kelmarin.

“Kami sudah bersedia, kami datang ke sini dengan satu cita-cita iaitu bergelar juara. Kami mahu mengambil trofi ini untuk penyokong yang banyak menyokong kami dan juga salah satu hadiah terbaik untuk Alves,” kata Sumareh yang turut pernah beraksi dengan Terengganu dan PDRM.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:23 AM

Sedia pertimbang insentif

 Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
KERAJAAN Pahang sedia mempertimbangkan insentif terbaik kepada skuad Tok Gajah jika berjaya menjulang Piala FA, malam esok.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dalam usaha menaikkan semangat pemain seperti pernah dilakukan pada 2006 dan 2014.

Katanya, prestasi terbaik diharap dipersembahkan skuad bimbingan Dollah Salleh untuk melakar sejarah muncul juara buat kali ketiga biarpun bakal berdepan saingan getir Kedah dalam aksi final di Stadium Shah Alam, esok.

"Sudah pasti kita (kerajaan Pahang) akan terus menyokong usaha menaikkan semangat pemain dan (kita) pasti mempertimbangkan insentif sehabis baik jika menang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika menjuarai Piala FA pada 2014, Kerajaan Pahang mengumumkan imbuhan RM600,000 kepada skuad Tok Gajah.

Perubahan mendadak dilakukan Pahang musim ini dengan menyenaraikan barisan pemain berpengalaman selain diperkuatkan tenaga import mantap.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 2:43 PM