Khamis, 6 Februari 2014

Kenyataan tak logik


 

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
AZLAN

NAMPAK gayanya, insiden 'panas' yang melibatkan pasukan T-Team dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dilihat semakin berlarutan.

Sabtu lalu, T-Team bertindak mengambil keputusan untuk menarik diri pada aksi kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru.

Ia gara-gara The Titans dilaporkan enggan mengambil risiko untuk meneruskan baki separuh masa kedua selepas pemain import Brazil, Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo didakwa dikasari dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan.

Skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah bertindak meninggalkan stadium di Larkin itu selepas menyaksikan Johor DT mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Semalam, seorang pemain T-Team, Muhammad Irfan Abdul Ghani tampil memberikan kenyataan berbeza tanpa pengetahuan majikannya.

Irfan mencetuskan skrip baharu apabila mendedahkan tiada sebarang insiden kekasaran berlaku pada aksi kedua Piala FA di Larkin.

Irfan ketika memberi kenyataan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan polis di Johor Bahru semalam mendakwa, dia berada di belakang penyerang Brazil, Rodrigues ketika insiden tersebut dan menegaskan perlawanan tersebut sebenarnya selamat diteruskan.

Bekas pemain Harimau Selatan itu turut mendakwa, penolong jurulatih, Azlan Johar yang sebenarnya membuat keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua dan mengarahkan pasukan meninggalkan stadium.

Mengulas mengenai kenyataan Irfan, Azlan mendedahkan, dia tidak berhak membuat keputusan untuk membatalkan aksi separuh kedua itu.

"Ia satu dakwaan yang betul-betul tidak logik. Saya masih ada ketua jurulatih (Azraai Khor) dan Ketua Eksekutif T-Team (Abdul Rasid Jusoh). Takkan saya pandai-pandai untuk membuat keputusan?

"Dia (Irfan) tidak menjalani sesi latihan selama dua hari dan memberikan alasan kepada pihak pengurusan T-Team kerana ada urusan keluarga di Johor.

"Dia adalah pemain simpanan. Dia langsung tiada bersama skuad utama ketika menuju ke bilik persalinan dan kami telah membuat keputusan (menarik diri untuk separuh masa kedua) ketika dia bermain di dalam padang (bersama pemain-pemain simpanan lain).

"Sebagai pemain simpanan, dia bukannya bersama pemain-pemain utama masuk dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan.

"Jadi, saya menganggap dia adalah pengkhianat T-Team," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan sama, Azlan berharap insiden panas di Larkin itu dapat membuka mata ramai pihak bahawa T-Team tidak terlintas untuk membuat kontroversi 'murahan'. Kami berbuat demikian demi keadilan untuk The Titans serta keselamatan pemain.

"Darah saya yang mengalir ini telah dididik oleh jurulatih-jurulatih hebat negara seperti Allahyarham Mohktar Dahari sejak dari kecil lagi.

"Mereka telah mendidik saya dan memastikan darah saya mengalir dengan penuh semangat kesukanan. Mereka telah mendidik saya tentang erti semangat kesukanan dan bukannya mencetuskan kekecohan. Ini adalah sukan.

"Saya tahu dengan adanya semangat kesukanan, saya akan menjadi manusia yang baik. Jadi, mengapa saya harus membuat fitnah?," ujarnya.

KOSMO ONLINE 6.2.14

Siapa serang siapa?

 Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
Cesar Ferrando Jiminez (kanan), bersama peguam Baljit Sigh Sidhu (tengah) dan Fahmy Yahya menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Johor Bahru Selatan, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Selepas pasukan T-Team mendakwa pemain mereka ditumbuk dan membuat laporan polis di Kuala Terengganu kelmarin, semalam Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula tampil membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan yang berlaku semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, Sabtu lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez yang juga Pengurus Pasukan JDT di Balai Polis Sentral, di sini pukul 2 petang dengan diiringi oleh Naib Presiden PBNJ, Onn Jabar; Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya dan peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu.

Menurut Baljit, laporan berkenaan dibuat bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku termasuk insiden di terowong ekoran terlalu banyak tohmahan selain perkara sebenar diputarbelitkan oleh pihak T-Team sedangkan yang menjadi mangsa dalam kejadian itu adalah Jiminez.

"Terlalu banyak tohmahan tentang insiden itu, fakta juga tidak diberi dengan jelas dan disebabkan itu, dia (Jiminez) tampil buat laporan bahawa dia yang diserang oleh jurulatih kecergasan T-Team dan pemain yang memakai jersi nombor 16 pasukan tersebut.

"Dalam insiden itu, kolar baju dia telah ditarik oleh jurulatih kecergasan T-Team...itu sebenarnya yang berlaku. Dia (Jiminez) diserang termasuk dengan kata-kata kesat dan selain itu tiada apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Kelmarin, polis Terengganu menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung kekecohan itu yang dibuat pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd. Zain yang membuat laporan tersebut mendakwa pemain T-Team, Elvaldo Rodriguez telah ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi PBNJ, manakala jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo disepak di bahagian kemaluan.

Baljit berkata, PBNJ akan menyiasat secara terperinci perkara tersebut termasuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat fitnah atau tohmahan tidak berasas dan pada masa sama akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, laporan itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_02/Siapa-serang-siapa#ixzz2sSI1yu9h © Utusan Melayu (M) Bhd

Jurulatih JDT pula dakwa jadi mangsa

JOHOR BAHARU 4 Feb. - Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), César Ferrando Jiménez hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kejadian di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.

Menurut peguamnya Datuk Baljit Singh Siddhu, dalam laporan itu Ferrando menyatakan bahawa beliau merupakan mangsa dalam kejadian itu.

"Jiménez berkata beliau adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi T-Team telah memutar belit fakta," katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini hari ini.

Menurut Baljit, Ferrando menyatakan bahawa instruktur kecergasan T-Team telah bertindak menarik kolar bajunya, manakala pemain T-Team berjersi nombor 16 menolaknya.

"Kita akan lihat perkara ini secara terperinci dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana fitnah atau tohmahan mengenai perkara tersebut," katanya.

Setiausaha Kehormat JDT, Mohd. Fahmy Yahya turur hadir di balai polis tetapi pihak media yang turut berada di situ tidak diberikan salinan laporan polis tersebut.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Semalam pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih Stefano Impagliazzo. - BERNAMA

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140204/su_13/Jurulatih-JDT-pula-dakwa-jadi-mangsa#ixzz2sSGshwir © Utusan Melayu (M) Bhd

Gaduh: Rodriguez tak cedera - Muhd. Irfan

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU 5 Feb. - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden pergaduhan dan kecederaan terjadi seperti dilaporkan sebelum ini.

Seorang pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada di dalam bilik persalinan, dia tidak melihat sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan untuk masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez."

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden terbabit juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan yang dahulunya bekas pemain JDT berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_12/Gaduh-Rodriguez-tak-cedera---Muhd-Irfan#ixzz2sS7Nz58U © Utusan Melayu (M) Bhd

FAM kena telus - Ahmad Said

Ahmad Said pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas pulang dari ekspedisi ke Antartika di Sepang, semalam.
SEPANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan siasatan secara telus berhubung insiden pergaduhan sehingga menyebabkan perlawanan Piala FA antara Johor Darul Ta'azim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu lalu ditangguhkan.

Menurut Ahmad, beliau telahpun mendapatkan gambaran awal mengenai insiden yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos daripada pihak pengurusan T-Team dan berharap pihak berkuasa akan menyiasat laporan polis yang dibuat dengan terperinci.

"Saya kesal dengan apa yang telah berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, kini terserah kepada FAM dan pihak polis.

"Saya berharap insiden ini akan disiasat secara telus memandangkan pemain import dan jurulatih kecergasan pasukan pasukan telah membuat laporan polis.

"Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan T-Team dan kami menyerahkan kepada FAM untuk mengambil tindakan lanjut termasuk mengadakan perlawanan ulangan membabitkan kedua-dua pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebaik sahaja tiba daripada lawatan rasmi ke Antartika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Sementara itu Ahmad turut menasihatkan agar pemain T-Team meneruskan fokus, bersemangat dan berusaha mencari kemenangan dalam semua baki perlawanan musim ini.

Aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru itu terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului 2-1 apabila semua pemain T-Team enggan kembali ke padang bagi memulakan permainan separuh masa kedua.

Mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan insiden yang berlaku di dalam terowong ke bilik persalinan semasa rehat separuh masa pertama.

Ekoran insiden tersebut Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd. Zain telah membuat laporan polis di Kuala Terengganu.

Pemain import T-Team, Elvaldo Rodriguez dari Brazil mendakwa telah ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ).

Jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo pula mendakwa telah disepak di bahagian kemaluan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin kelmarin menjelaskan status keputusan perlawanan antara JDT dan T-Team yang ditangguhkan akan ditentukan pada Khamis ini setelah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_03/FAM-kena-telus---Ahmad-Said#ixzz2sXScUvO0© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor kena 'ngap'

KUALA LUMPUR - Biarpun menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, Sarawak masih mampu melakar kejutan besar dengan menyingkirkan pendahulu Liga Super, Selangor 1-0 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Gol tunggal Zamri Morshidi pada minit ke-33 cukup untuk membawa skuad Bujang Senang melangkah ke suku akhir.

Sarawak terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penjaga gol, Sani Anuar Kamsani, dilayangkan kad merah pada minit ke-62 selepas menjatuhkan Mohd. Fitri Shazwan Raduwan, namun Red Giants gagal mencari formula untuk memecah kekebalan benteng lawan yang diketuai pemain import dari Hungary, Gabor Gyepes.

Felda United bakal menjadi lawan Sarawak di suku akhir selepas mengalahkan Sime Darby 1-0 di Stadium Selayang melalui jaringan tunggal Zah Rahan Krangar pada minit ke-84.

Di Alor Setar, Kedah menceriakan 25,000 penyokong yang hadir di Stadium Darul Aman setelah menyingkirkan Perlis 4-0. Billy Mehmet membuka tirai jaringan pada minit ke-43, sebelum Adam Griffiths yang tidak dikawal menanduk bola hantaran lintang Baddrol Bakhtiar di minit ke-53 .

Sepuluh minit kemudian, stadium terus bergema dengan sorakan penyokong Helang Merah apabila Baddrol menyudahkan hantaran Mohd. Syazwan Tajuddin menerusi rembatan dari dalam kotak penalti dan Khairul Helmi Johari melengkapkan jaringan keempat Kedah apabila menanduk bola sepakan sudut yang diambil oleh Baddrol.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, PDRM menepati ramalan apabila mengetepikan PBAPP FC 2-0, hasil jaringan Chad Souza pada minit ke-65 dan tiga minit kemudian, Bobby Gonzales mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua.

Dollah Salleh yang merupakan jurulatih PDRM bakal berdepan dengan pasukan yang dibimbingnya pada musim lalu, Pahang di suku akhir.

PKNS berjaya menebus kekalahan sulung Liga Super di tangan Terengganu dengan kemenangan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi biarpun pemain pertahanan mereka, Abdul Ghani Rahman dilayangkan kad merah pada minit ke-54.

Patrick Wleh Ronaldinho yang bergaya memperdayakan empat pemain pertahanan Terengganu memberikan PKNS gol pendahuluan pada minit ke-37 tetapi dapat disamakan Ismail Faruqi pada minit ke-47.


Akhirnya, bekas penyerang Sime Darby, Karlo Primorac memastikan kemenangan buat The Red Ants dengan jaringan pada minit ke-79 bagi menempah pertemuan dengan Kelantan di suku akhir.

Rabu, 5 Februari 2014

Gaduh: Rodriguez tak cedera - Muhd. Irfan

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU 5 Feb. - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden pergaduhan dan kecederaan terjadi seperti dilaporkan sebelum ini.

Seorang pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada di dalam bilik persalinan, dia tidak melihat sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan untuk masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez."

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden terbabit juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan yang dahulunya bekas pemain JDT berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_12/Gaduh-Rodriguez-tak-cedera---Muhd-Irfan#ixzz2sS7Nz58U © Utusan Melayu (M) Bhd