ARKIB : 17/04/2004
NAIB Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar
(kanan) sedang membuat undian pasukan-pasukan yang akan bertanding dalam
pusingan ketiga Piala FA, di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam
PASUKAN pilihan, Pahang mendapat laluan mudah untuk ke suku akhir
pertandingan bola sepak Piala FA ketika para pencabarnya pula dilihat
berdepan cabaran sukar selepas undian pusingan ketiga dilakukan semalam.
Pahang diundi bertemu pasukan kerdil, JPS Kelantan di mana mereka juga mendapat kelebihan selaku tuan rumah perlawanan pertama.
Perlawanan pertama pusingan ketiga akan berlangsung 28 April ini manakala perlawanan kedua dijadualkan pada 12 Mei.
Bagaimana pun, juara tahun lepas, Negeri Sembilan masih belum pasti
akan kedudukan mereka kerana terlebih dulu perlu menumpaskan TNB
Kelantan dalam perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Nasional,
Bukit Jalil malam ini.
Dalam undian yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam
Negeri Sembilan, yang menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir di
Ipoh tahun lepas, jika mara ke pusingan ketiga akan bertemu Melaka,
seteru mereka dalam Kumpulan B Liga Perdana.
Melaka kini di tangga ketiga dengan lapan mata hasil dua kemenangan
dan dua kali seri manakala Negeri Sembilan terperosok di tangga keenam
dengan lima mata, seri semua perlawanan.
Pasukan lain yang belum menamatkan pusingan kedua ialah MPPJ Selangor yang akan bertemu Kedah, dan Polis bertemu Kelantan.
Bagaimana pun, juara Piala Malaysia, MPPJ dijangka mara berikutan kemenangan besar 7-1 ke atas Kedah dalam perlawanan pertama.
Pemenang perlawanan itu akan berdepan dengan Johor FC, pasukan terkuat dalam Kumpulan A Liga Perdana ketika ini.
Naib juara tahun lepas, Perlis dilihat mendapat tugas paling mencabar
apabila diundi bertemu Sabah, naib juara Piala Malaysia dan pendahulu
Liga Super ketika ini.
Sabah empat kali mara ke perlawanan akhir, juara pada 1995. Kali
terakhir mereka layak ke final ialah pada 1998 di mana mereka kalah
kepada Johor.
Undian juga kelihatan tidak menyebelahi Perak apabila diundi bertemu Telekom Melaka yang masih dianggap bahaya.
Perak merupakan pemenang pertama Piala FA dan naib juara 1991 dan
2002 dan kini belum membuktikan kehebatan sebenar mereka, untuk hanya
berada di tangga keempat Liga Super.
Pertembungan menarik juga dijangka berlaku di Shah Alam pada 28 April
ini apabila juara pada 1991, 1997 dan 2001, Selangor berdepan dengan
juara tahun 2000, Terengganu.
Pertarungan sengit juga menanti di Stadium Selayang apabila dua
pasukan kelab dari Lembah Klang, MK Land bertemu pasukan jirannya, PKNS
Selangor.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan,
Datuk Raja Ahmad Zainuddin memberitahu perlawanan suku akhir kedua akan
berlangsung pada 12 Mei.
``Tetapi, bagi perlawanan di Lembah Klang, ia dijadualkan berlangsung
pada 11 Mei kerana tidak mahu ia bertindih dengan pertemuan Malaysia
dengan China dalam kelayakan Olimpik,'' katanya.
Beliau berkata, perlawanan suku akhir pertama akan berlangsung pada
16 Jun dan 30 Jun untuk perlawanan kedua; separuh akhir pada 11 dan 28
Ogos manakala perlawanan akhir pada 28 September.
``Sekiranya ada perlawanan yang bertindih di satu-satu negeri,
pasukan yang terbabit hendaklah memaklumkan kepada jawatankuasa
pertandingan sebelum 20 April,'' katanya.
Undian pusingan ketiga Piala FA:
Perlawanan pertama:
Pahang lwn JPS Kelantan
Perlawanan pertama:
Pahang lwn JPS Kelantan
Terengganu lwn Selangor
MPPJ lwn Johor FC
MK Land lwn PKNS Selangor
Melaka lwn TNB Kelantan/Negeri Sembilan
Perlis lwn Sabah
Telekom Melaka lwn Perak
Tentera lwn Polis/Kelantan
*Pasukan pertama akan menjadi tuan rumah perlawananpertama
*Perlawanan kedua akan dilangsungkan pada 12 Mei
*Semua perlawanan di Lembah Klang akan berlangsung pada 11 Me
Tiada ulasan:
Catat Ulasan