Selasa, 25 April 2017

Pusingan pertama tetap mendebarkan -- Separuh akhir Piala FA

ARKIB : 01/09/2004

DUA pasukan memburu gelaran kedua manakala dua lagi mencari kejayaan sulung apabila perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala FA berlangsung malam ini.
Ketika Perak dan Terengganu pernah mengecapi manisnya muncul juara pertandingan yang mula diadakan pada 1990 itu, Pahang dan PKNS Selangor pula memburu gelaran sulung masing-masing.
Bagaimanapun, kempat-empat pasukan terlebih dulu perlu memenuhi misi malam ini apabila beraksi dalam separuh akhir pertama.
Perak muncul juara pertama setelah menundukkan Selangor 4-2 tetapi sejak itu kempunan untuk mengulangi pencapaian itu. Mereka bagaimanapun dua kali hampir melakukannya lagi pada 1991 dan 2002 tetapi disekat masing-masing oleh Selangor dan Pulau Pinang.
Terengganu pula muncul juara empat tahun lepas, menang penalti 4-3 ke atas Pulau Pinang setelah seri 1-1 selepas masa tambahan. Setahun sebelum itu, skuad Penyu tewas kepada Kuala Lumpur 5-3 menerusi penalti setelah kedudukan terikat tanpa jaringan selepas masa tambahan.
Rekod Pahang pula tidak begitu memberangsangkan. Paling hampir mereka mencatat kejayaan ialah apabila mara ke perlawanan akhir 1995 tetapi dijinakkan oleh Sabah yang menang 3-1.
PKNS pula boleh setakat ini hanya berbangga dengan rekod pertama kali mara sehingga sejauh ini, satu pencapaian yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana skuad berstatus kelab.
Menariknya kali ini, undian separuh akhir secara kebetulan telah membahagikan pertembungan antara empat pasukan itu kepada dua zon - timur dan barat.
Di sebelah Pantai Timur, Terengganu akan melayan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu manakala Perak menanti kunjungan PKNS Selangor dalam pertembungan antara dua pasukan dari Pantai Barat di Ipoh.
Dilihat kepada rekod, Pahang dan Perak mempunyai kelebihan berbanding lawan masing-masing.
Malah, boleh dikatakan Pahang adalah pilihan untuk muncul juara dan hanya semangat pemain Terengganu serta nasib yang mampu membantu mereka untuk mencipta keajaiban di depan penyokong sendiri malam ini.
Pahang boleh mendabik dada dengan barisan pemain-pemainnya. Ketua pasukan, Hairuddin Omar mungkin tidak bermain tetapi dengan adanya penyerang kebangsaan dan penjaring terbanyak Liga Super dengan 15 gol, Indra Putra Mahayuddin, Pahang mempunyai senjata paling ampuh.
Seorang lagi pemain berbahaya Pahang, Anthony Milicic dari Australia turut berada dalam senarai penjaring hebat setelah sembilan kali membolosi gawang lawan pada persaingan Liga Super.
Dengan barisan pemain hebat, maka tidak hairanlah apabila bekas pemain antarabangsa, Zainal Abidin Hassan berkata bahawa dia akan menggunakan 11 pemain terbaik dalam asuhannya untuk pertemuan dengan Terengganu.
Ia merupakan amaran awal bahawa Pahang akan bermain secara agresif untuk memperoleh kemenangan.
``Suntikan semangat terbaik bagi semua pasukan ialah mengelak daripada menerima kekalahan.
``Dan, ketika Pahang begitu kuat ketika ini, Terengganu sudah pasti mahu memastikan bahawa mereka juga bukan calang-calang pasukan terutama di gelanggang sendiri.
``Kami pula mempunyai suntikan semangat tersendiri iaitu mahu menjulang tiga trofi musim ini,'' kata Zainal.
Bekas penyerang dan pemain pertahanan skuad kebangsaan itu juga boleh berasa lega kerana pemain kebangsaan, Juzaili Samion sudah pulih daripada kecederaan dan akan mengisi kekosongan di bek kiri yang ditinggalkan oleh Subri Sulong, yang dijangka tidak akan bermain sehingga tamat musim ini apabila menjalani pembedahan lutut.

Selasa, 18 April 2017

Pahang tempah laluan selesa

 ARKIB : 17/04/2004
NAIB Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (kanan) sedang membuat undian pasukan-pasukan yang akan bertanding dalam pusingan ketiga Piala FA, di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam
PASUKAN pilihan, Pahang mendapat laluan mudah untuk ke suku akhir pertandingan bola sepak Piala FA ketika para pencabarnya pula dilihat berdepan cabaran sukar selepas undian pusingan ketiga dilakukan semalam.
Pahang diundi bertemu pasukan kerdil, JPS Kelantan di mana mereka juga mendapat kelebihan selaku tuan rumah perlawanan pertama.
Perlawanan pertama pusingan ketiga akan berlangsung 28 April ini manakala perlawanan kedua dijadualkan pada 12 Mei.
Bagaimana pun, juara tahun lepas, Negeri Sembilan masih belum pasti akan kedudukan mereka kerana terlebih dulu perlu menumpaskan TNB Kelantan dalam perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Dalam undian yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam Negeri Sembilan, yang menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir di Ipoh tahun lepas, jika mara ke pusingan ketiga akan bertemu Melaka, seteru mereka dalam Kumpulan B Liga Perdana.
Melaka kini di tangga ketiga dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua kali seri manakala Negeri Sembilan terperosok di tangga keenam dengan lima mata, seri semua perlawanan.
Pasukan lain yang belum menamatkan pusingan kedua ialah MPPJ Selangor yang akan bertemu Kedah, dan Polis bertemu Kelantan.
Bagaimana pun, juara Piala Malaysia, MPPJ dijangka mara berikutan kemenangan besar 7-1 ke atas Kedah dalam perlawanan pertama.
Pemenang perlawanan itu akan berdepan dengan Johor FC, pasukan terkuat dalam Kumpulan A Liga Perdana ketika ini.
Naib juara tahun lepas, Perlis dilihat mendapat tugas paling mencabar apabila diundi bertemu Sabah, naib juara Piala Malaysia dan pendahulu Liga Super ketika ini.
Sabah empat kali mara ke perlawanan akhir, juara pada 1995. Kali terakhir mereka layak ke final ialah pada 1998 di mana mereka kalah kepada Johor.
Undian juga kelihatan tidak menyebelahi Perak apabila diundi bertemu Telekom Melaka yang masih dianggap bahaya.
Perak merupakan pemenang pertama Piala FA dan naib juara 1991 dan 2002 dan kini belum membuktikan kehebatan sebenar mereka, untuk hanya berada di tangga keempat Liga Super.
Pertembungan menarik juga dijangka berlaku di Shah Alam pada 28 April ini apabila juara pada 1991, 1997 dan 2001, Selangor berdepan dengan juara tahun 2000, Terengganu.
Pertarungan sengit juga menanti di Stadium Selayang apabila dua pasukan kelab dari Lembah Klang, MK Land bertemu pasukan jirannya, PKNS Selangor.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin memberitahu perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung pada 12 Mei.
``Tetapi, bagi perlawanan di Lembah Klang, ia dijadualkan berlangsung pada 11 Mei kerana tidak mahu ia bertindih dengan pertemuan Malaysia dengan China dalam kelayakan Olimpik,'' katanya.
Beliau berkata, perlawanan suku akhir pertama akan berlangsung pada 16 Jun dan 30 Jun untuk perlawanan kedua; separuh akhir pada 11 dan 28 Ogos manakala perlawanan akhir pada 28 September.
``Sekiranya ada perlawanan yang bertindih di satu-satu negeri, pasukan yang terbabit hendaklah memaklumkan kepada jawatankuasa pertandingan sebelum 20 April,'' katanya.
Undian pusingan ketiga Piala FA:
Perlawanan pertama:
Pahang lwn JPS Kelantan
Terengganu lwn Selangor
MPPJ lwn Johor FC
MK Land lwn PKNS Selangor
Melaka lwn TNB Kelantan/Negeri Sembilan
Perlis lwn Sabah
Telekom Melaka lwn Perak
Tentera lwn Polis/Kelantan
*Pasukan pertama akan menjadi tuan rumah perlawananpertama
*Perlawanan kedua akan dilangsungkan pada 12 Mei
*Semua perlawanan di Lembah Klang akan berlangsung pada 11 Me

Pasukan negeri teruskan kemaraan

ARKIB : 15/04/2004
PASUKAN negeri tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan ketiga bola sepak Piala FA selepas menang ke atas lawan masing-masing pada perlawanan kedua pusingan kedua, semalam.
Skuad Pahang mengetuai senarai itu dengan membelasah kelab Pahang Kesura 5-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk mara dengan agregat besar 8-0.
Pemain kebangsaan, Hairuddin Omar dan Shelizin Salleh masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-23, 31, 49 dan 65 manakala penyerang veteran, Azizul Kamaluddin turut mencatat nama sebagai penjaring Pahang pada minit ke-72.
Terengganu turut menang besar dengan agregat 10-0 selepas menumpaskan kelab Pulau Pinang, Suria NFTA 4-0 di Stadium Negeri, Batu Kawan.
Azmi Che Ngah membuka jaringan buat Terengganu pada minit ke-51 sebelum dua lagi gol menyusul menerusi Jurandir Dos Santos (53, 89) dan Mat Hirool Mohamad (85).
Aksi antara dua pasukan negeri, Perlis dan Kuala Lumpur di Stadium Utama, Kangar berkesudahan pasukan tuan rumah menang tipis 3-0 tetapi mara dengan agregat 5-2.
Gol Perlis dijaringkan oleh Philimon Chipeta (10), Zainuddin Ariffin (75) dan Faizal Esahar (90).
Sabah turut mara dengan kemenangan agregat 2-1 selepas menumpaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Likas hasil jaringan Zaykiel Leong (72).
Perak turut ke pusingan ketiga selepas menewaskan Sarawak 3-0 di Stadium Perak untuk menang agregat 3-1.
Selangor pula menumpaskan Kedah LADA 6-2 di Stadium Shah Alam untuk mara dengan agregat 8-3.
Dalam perlawanan lain, PKNS Selangor menang agregat 6-4 selepas menang 4-2 dengan MPSJ Selangor di Stadium Petaling Jaya.
Tentera mengecewakan Johor dengan kemenangan 2-1 di Stadium Larkin, Johor Bahru. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama sebelum ini.
Melaka turut mara dengan agregat 5-2 selepas seri 2-2 dengan Proton Selangor di Stadium UiTM, Shah Alam manakala Johor FC menang penalti 5-3 selepas terikat agregat 2-2 apabila aksi di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah berkesudahan seri 1-1.

MK Land mara

ARKIB : 13/04/2004
MK LAND Selangor mara ke suku akhir bola sepak Piala FA sekali pun tunduk 3-1 kepada pasukan Liga Super, Public Bank Selangor di gelanggang sendiri dalam pertemuan kedua pusingan kedua di Stadium Selayang, Kuala Lumpur semalam.
Keputusan itu bagaimana pun sudah cukup untuk memberikan tiket bermain di suku akhir kepada MK Land yang menang dengan agregat 5-4.
Pada pertemuan pertama pusingan kedua, MK Land mengejutkan Public Bank dengan kemenangan 4-1 di Stadium Shah Alam pada Mac lepas.
Public Bank, yang berusaha keras untuk mengubah nasib, kelihatan mampu merealisasikannya apabila Milan Strelec menjaringkan gol pembukaan perlawanan semalam pada minit ke-28.
Namun, kealpaan barisan pertahanan mereka memberikan Marlon Alex ruang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-31, jaringan gol yang akhirnya menjadi pemusnah kepada impian Public Bank.
Strelec sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-64 dan kemudian Fatrurazi Rozi menjadikan kedudukan 3-1 menerusi jaringan pada minit ke-77.
Public Bank terus berusaha sehingga ke minit terakhir perlawanan, namun MK Land bertahan dengan baik untuk tidak membenarkan pasukan pelawat menambah jaringan, sekali gus meletakkan mereka ke suku akhir.

Ahad, 16 April 2017

Perak TKN kena 10 jaringan

ARKIB : 27/03/2004
TELEKOM Melaka membelasah Perak TKN 10-1 di Stadium Stadium Perak, Ipoh semalam untuk meletakkan mereka pada kedudukan paling selesa pada perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA semalam.
Gol-gol Telekom dijaringkan oleh Jenes Erik (minit 6, 14, 67), Mohd Badrul Azam (8, 40), Mohd. Khairul Anwar (12), Roshadi Wahab (34), Vidra Jozef (59), Moh Tuang Tung (83) dan Arsendy Lokman (85) manakala TKN memperoleh gol saguhati menerusi Mohd. Rani Md. Hussin (73).
Kedua-dua pasukan bermain dengan 10 orang apabila pemain tuan rumah, Sharin Sood bergaduh dengan Khairul Anwar pada minit ke-31.
Sarawak menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas juara liga, Perak di Stadium Sarawak, Kuching, semalam.
Gol tunggal Sarawak dihasilkan menerusi tandukan Wong Sai Kong selepas mendapat hantaran Gilbert Cassidy Gawing pada minit ke-31.
Sementara itu, Johor FC pula sekadar seri 1-1 dengan SKMK Kelantan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru.
Malah Johor FC hampir menerima aib apabila ketinggalan pada minit ke-55 menerusi rembatan kencang Ahmad Syiham Mohamad di dalam kawasan penalti. Johor FC bernasib baik apabila Mohd. Ezaidy Mohd. Khadar menyempurnakan peluang di depan gol pada minit ke-73 untuk gol penyamaan.
Pulau Pinang turut seri 1-1 dengan Sabah sekali pun pasukan pelawat kehilangan Josiah Seton dalam pertemuan di Stadium Negeri, Batu Kawan.
Pulau Pinang memperoleh gol seawal minit kedua menerusi pemain Rusia, Viacheslav Melnikov manakala Sabah membalas melalui tandukan Md. Reithuddin Emran, pada minit ke-70.
Sabah kehilangan penyerang, Josiah Seton yang dilayangkan kad merah pada minit ke-79 setelah mengkasari Abdul Aziz Ismail.

Ahad, 9 April 2017

Tugas berat MPPJ, Perak



ARKIB : 13/01/2004
JUARA Piala Malaysia, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor dan juara liga Perdana Satu musim lalu, Perak menggalas tugas berat untuk merangkul satu lagi trofi kebanggaan, Piala FA musim ini apabila diundi bertemu pasukan setanding mereka pada undian pusingan kedua di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

MPPJ, pasukan kelab pertama merangkul Piala Malaysia, diundi bertemu Kedah yang semakin menunjukkan kematangan dalam Liga Malaysia musim lalu.

Perak yang muncul juara liga dua musim berturut-turut, bertemu seteru dari Borneo, Sarawak. Pulau Pinang pula bertemu Sabah.

Juara bertahan Piala FA, Negeri Sembilan juga tidak mendapat laluan mudah apabila diundi bertemu pasukan yang sukar diramal, TNB Kelantan.

Perlis yang tewas kepada Negeri Sembilan pada perebutan piala itu musim lalu, bagaimanapun dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga setelah diundi menentang Kuala Lumpur.

Undian yang melibatkan 33 pasukan itu dikendalikan oleh Penasihat Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Karl Heinz Weigang dan Penolong Setiausaha FAM, Datuk Yap Nyim Keong.

Hanya dua pasukan iaitu Kedah LADA dan Pahang Kuantan Port bermain dalam pusingan pertama yang berlangsung secara timbal balik pada 10 dan 17 Mac ini manakala 31 lagi pasukan mendapat bye.

Perlawanan pusingan kedua akan berlangsung pada 24 dan 31 Mac.

Musim ini, FAM mengubah format perlawanan Piala FA iaitu dengan menggunakan format yang biasa digunakan dalam perlawanan Piala FA England dan Eropah.

Pasukan yang menang pada pusingan kedua akan sekali lagi diundi untuk menentukan lawan untuk pertarungan pusingan ketiga yang melibatkan 16 pasukan.

Undian pusingan ketiga dijadual dilakukan pada 1 April manakala perlawanan akan berlangsung pada 14 dan 28 April.

Lapan pasukan yang menang dalam pertarungan itu akan diundi pula untuk peringkat suku akhir yang dijadual dibuat pada 29 April. Perlawanan suku akhir berlangsung pada 12 Mei dan 30 Jun.

Undian empat pasukan pada separuh akhir pula akan dilakukan pada 26 Julai dan perlawanan pula berlangsung pada 11 dan 28 Ogos.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada 25 September di tempat yang akan ditetapkan kemudian oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

UNDIAN PUSINGAN KEDUA
(10 dan 17 Mac 2004)
Sabah lwn Pulau Pinang

Sarawak lwn Perak

Johor FC lwn SKMK Kelantan

Perlis lwn Kuala Lumpur

MPSJ lwn PKNS

Telekom Melaka lwn Perak TKN

MPPJ Selangor lwn Kedah

Pahang Kesura lwn Pahang

Kedah LADA/Pahang Kuantan Port lwn Selangor

Melaka lwn Selangor Proton

MK Land lwn Public Bank

TNB Kelantan lwn Negeri Sembilan

Johor lwn Tentera

Polis lwn Kelantan

JPS Kelantan lwn Perak Jenderata

Pulau Pinang Suria NATA lwn Terengganu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dka71CZl
© Utusan Melayu (M) Bhd