ARKIB : 25/05/1999
SARAWAK akan turun berbekalkan
keyakinan tinggi apabila berhadapan Kuala Lumpur pada pusingan pertama suku
akhir bola sepak Piala FA di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam ini.
Beraksi di gelanggang sendiri,
skuad Bujang Senang mengharapkan kemenangan berpihak kepadanya di samping dapat
mempamerkan sekali lagi sentuhan emas yang melenyapkan cabaran Kuala Lumpur 5-1
pada saingan liga, dua minggu lalu.
Biarpun kesan kekalahan 1-2
kepada juara Piala Malaysia, Perak tiga hari lalu masih lagi dirasai, namun ia
bukan menjadi halangan bagi anak-anak buah Abdul Jalil Rambli untuk memenuhi
hasrat tersebut.
Namun begitu, harapan tersebut
tidak akan mudah dicapai kerana banyak liku yang perlu ditempuhi.
Skuad warga kota pimpinan bekas
pemain, Mat Zan Mat Aris tentu sudah menyusun strategi dan membuat percaturan
rapi dalam misi untuk membalas dendam ekoran kekalahan yang dialami pada 11 Mei
lalu.
Bagi Sarawak pula, kemenangan
malam ini begitu bermakna sekali dalam memastikan matlamat mereka untuk beraksi
pada perlawanan akhir Piala FA musim ini dapat dikotakan.
Menurut jurulatih Sarawak,
Jalil, pasukannya akan turun habis-habisan untuk mendapatkan kemenangan mutlak
biarpun menyedari tugas yang dihadapinya cukup berat.
Katanya, kekalahan kepada Perak
di Ipoh, Sabtu lalu tidak sedikitpun menjejaskan tumpuan pemain untuk
mempamerkan aksi yang terbaik.
''Para pemain kini sudah
bersedia dan mereka kini sedang gigih menjalani latihan dan memperbaiki
kelemahan yang ada sebelum perlawanan bermula,'' ujarnya ketika dihubungi di
Kuching, semalam.
Menurut Jalil, tonggak utama,
Zaidel Sakup tidak akan diturunkan kerana menerima dua kad kuning, sementara
kedudukan pemain kebangsaan, Nazri Yunos yang menerima satu kad kuning pada
cabaran liga, belum ditentukan lagi.
Beliau berkata, apa yang
penting, Bujang Senang perlu mencari kemenangan walaupun dengan jaringan
tunggal 1-0.
''Saya yakin jika pemain dapat
memberi komitmen dan kesungguhan terbaik selain bijak memanfaatkan peluang yang
diperoleh, pasukan Bumi Kenyalang boleh mengutip tiga mata penuh,'' ujarnya.
Jalil menambah, Sarawak masih
lagi mempunyai ruang untuk bersaing di peringkat yang lebih jauh dalam Piala FA
kali ini.
Katanya, para pemain terutama
pemain muda sudah mula menunjukkan peningkatan dan ini merupakan petanda
positif ke arah mewujudkan skuad Bujang Senang yang berwibawa pada masa depan.
Pada pusingan kedua Piala FA,
Sarawak berjaya mengatasi Perak dengan agregat 2-1 selepas mengalahkan skuad
'Seladang' 1-0 di Kuching dan seri 1-1 di Ipoh.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RmHnhcMI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan