ARKIB : 06/05/1999
SATU mara, satu terkandas -
gambaran nasib yang berbeza mengiringi juara bertahan, Johor dan naib juara
tahun lalu, Sabah selepas meninggalkan pusingan kedua bola sepak Piala FA
kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Sedang Johor tersungkur akibat
jaringan emas pemain Kelantan, Roslisham Mohd. Noor, Sabah pula cuma
menggunakan bekalan kelebihan 2-1 dari Kota Kinabalu untuk mara ke suku akhir.
Bersama taktik bertahan selain
ketumpulan jentera serangan Perlis kelmarin, Sabah, juara 1995, menghela nafas
cukup panjang selepas mengikat 0-0 sekali gus meneruskan cabaran pada kejohanan
edisi kesembilan ini.
Namun Johor dan Sabah
sebenarnya senasib tentang kemelut jurulatih masing-masing yang melanda
pasukan.
Juara bertahan kehilangan
penolong jurulatihnya di pertengahan aksi Liga Perdana Dua manakala si naib
juara terpaksa memecat Justin Ganai untuk memberi laluan kepada Ken Shellito.
Mujurlah tuah lebih gemar
menyebelahi Sabah di balik kedudukan tercorot Perdana Satunya walaupun ujian
Piala FA selepas ini bakal bertambah hebat dengan Kedah menantinya pada suku
akhir.
Kedah, penghuni tingkat empat
Perdana Satu, mengetuai senarai dua bekas juara FA lain - Sarawak dan Kuala
Lumpur yang turut layak ke suku akhir.
Sebaliknya Perak, penyandang
1990 dan Selangor, johan 1991, '97 yang terkandas kelmarin gagal menyusuli
langkahan bergaya itu.
Kedah, juara '96 bagaimanapun
agak bernasib baik kelmarin kerana cuma menghadapi lawan bertaraf kelab,
Telekom Melaka untuk menang dengan agregat 3-1 di tempat sendiri.
Sementara Sarawak, pemegang
Piala FA 1992, bakal berdepan dengan Kuala Lumpur pada suku akhir yang tidak
kurang hebatnya jika diambil kira kemampuan menjulang anugerah ketiga
berprestij ini pada 1993 dan '94.
Kelmarin, Kuala Lumpur ternyata
beroleh 'angin kedua' yang membantu memintas Melaka biarpun nyaris berputih
mata dengan gol pendahuluan lawan di Stadium Kubu dan ketinggalan 1-2 dalam
pusingan pertama di Cheras.
Terengganu tampak melangkah
penuh yakin berdasarkan tiga pertemuan terbaru dengan Pulau Pinang dan langkah
skuad Penyu ini kian panjang hingga turut mencecah suku akhir Piala FA.
Namun lawan yang menyaingi
Terengganu ialah Kelantan, sekali gus ini bakal mencipta pertembungan dua
negeri tetangga yang ditunggu-tunggu ribuan penyokong masing-masing.
Negeri Sembilan yang
menyingkirkan NS Chempaka kelmarin untuk ke suku akhir pula akan berentap
dengan Pahang - suatu pertemuan seimbang jika keputusan pusingan kedua
dijadikan ukuran.
Masing-masing terkenal sebagai
masih unggul di gelanggang sendiri dan pastinya percaturan strategi jurulatih
Irfan Bakti dan Fuzzeimi Ibrahim, akan turut memainkan peranan besar dalam
mempengaruhi keputusan suku akhir 18 Mei ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RjHSe6nW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan