ARKIB : 10/06/1998
Selangor sekat Sarawak
JUARA musim lalu, Selangor
melangkah ke perlawanan suku akhir Piala FA apabila berjaya mengikat Sarawak
dengan keputusan 1-1 di Stadium Sarawak, Kuching malam tadi.
Keputusan seri 1-1 membolehkan
Selangor layak ke suku akhir menerusi agregat 3-2 selepas mencatat kemenangan
tipis 2-1 dalam perlawanan peringkat pertama di Stadium Shah Alam.
Jaringan Azman Adnan pada minit
ke-80, seminit selepas pemain Sarawak yang berharga RM9.95, Bobby Chua menyumbat
gol, sudah cukup untuk meleburkan impian tuan rumah untuk mara.
Perlawanan dimulakan dengan
pertembungan antara Shamsurin Abd Rahman dengan penjaga gol Selangor, Abd Hadi
Tahir sehingga menyaksikan permainan terhenti selama lima minit dan penjaga gol
itu diusung keluar digantikan dengan Azlisham Ibrahim seawal minit pertama.
Pasukan pelawat membuka tirai
serangan menerusi gerakan cantik enam minit kemudian apabila tendangan Asmawi
Bakiri sedikit melampaui bucu kiri pintu gol Sarawak hasil daripada sepakan
percuma di luar kotak penalti.
Selangor sekali lagi hampir
berjaya melenyapkan sorakan 7,000 penyokong Bujang Senang menerusi tendangan
Azman Adnan pada minit ke-15 hasil larian solonya selepas mendapat umpanan dari
tengah padang.
Bagaimanapun penjaga gol
Sarawak, Mazlan Wahid yang bersedia dengan kedatangan Azman itu sempat menepis
bola yang menuju ke arahnya.
Sarawak yang cuba menyamai
agregat mula melakukan gerakan tetapi penyudah yang lemah menyebabkan mereka
berputih mata dengan menyaksikan percubaan melepasi palang gol pada minit ke-27
dan 41.
Permainan yang disambung semula
menyaksikan Sarawak ghairah mencari gol namun pasukan tuan rumah itu hampir
dikejutkan dengan tendangan kencang Azman yang mengenai badan penjaga gol
setelah menerima hantaran daripada Shahril.
Gol yang dicari-cari oleh
Sarawak kunjung tiba pada minit ke-79 hasil tandukan Billy Chua setelah
menerima hantara Ramles Sari.
Bagaimanapun kegembiraan
penyokong tuan rumah hanya bertahan tidak sampai seminit apabila tendangan
deras Azman Adnan memukau pertahanan Sarawak untuk menyamakan kedudukan.
Sementara itu, Perak tidak
perlu bekerja keras untuk melayakkan diri ke suku akhir apabila menang mudah
3-0 kepada NS Cempaka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Dengan beraksi di hadapan 200
penonton, pasukan pelawat layak dengan agregat 6-1 selepas datang dengan
bekalan 3-1 sebelum ini.
Skuad bimbingan Khaidir Buyong
sememangnya mempamerkan aksi cemerlang selepas kecewa dalam beberapa perlawanan
dalam Perdana Satu.
Gol kemenangan Perak
dijaringkan oleh Noel Arthur Kipre minit ke-9,57 dan M. Nagarajah (85).
Kemenangan tersebut memberi peluang
kepada Perak untuk menaikkan kembali reputasi yang agak kurang memberangsangkan
buat masa ini.
Di Stadium Kubu, Melaka
melakukan kejutan untuk layak ke suku akhir selepas membelasah Negeri Sembilan
4-1 dalam perlawanan Piala FA pusingan kedua, malam tadi.
Kemenangan mengejutkan
diperoleh oleh Melaka membolehkan mereka layak dengan agregat 5-2 selepas
mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan peringkat pertama.
Gol-gol Melaka telah
dijaringkan oleh Mohd. Faizal Mat Isa (m-4), Moaur Nonces (m-18 dan m-25) dan
Azni Ariffin (m-90) manakala gol saguhati Negeri Sembilan dijaringkan oleh
Affendi Abdul Malik (m-40).
Sementara itu dalam perlawanan
yang sama di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang kembali bangkit tidak
menghadapi masalah untuk menempah tempat ke suku akhir Piala FA.
Skuad warga kota tidak
menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran Polis apabila mencatat kemenangan
selesa 3-0.
Ini membolehkan Kuala Lumpur
mara ke suku akhir menerusi agregat 4-0 selepas dalam perlawanan pertama mereka
mencatat kemenangan tipis 1-0.
Gol-gol kemenangan Kuala Lumpur
menerusi Meor Nor Ismail (m-15), M.Chandran (m-54) dan Meor Nor Shamsul (m-80).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JsK0sFvu
© Utusan Melayu (M) Bhd