Isnin, 12 September 2016

Empat tempat jadi rebutan -- Suku akhir Piala FA

ARKIB : 07/07/1998
Empat tempat jadi rebutan -- Suku akhir Piala FA
TANPA perlu memikirkan perjuangan empat negara pada kancah Piala Dunia, lapan pasukan di Malaysia pula akan berentap untuk mencari empat tempat dalam perlawanan suku akhir Piala FA, malam ini.

Jelas kehebatan Piala Dunia seolah-olah merentap kemeriahan Liga Malaysia tetapi apa yang lebih penting adalah memastikan mereka dapat melepasi ranjau meskipun kerancakannya jelas dirindui.

Apa yang pasti hanya Kedah dijangka akan melalui laluan selesa untuk ke separuh akhir setelah mendapat bekalan besar dengan membelelasah Melaka 5-0, pada pusingan pertama perlawanan.

Tugas yang harus diharungi oleh Melaka boleh diibaratkan sebagai hendak melepasi ombak setinggi gunung yang hampir pasti sukar dilepasi lebih-lebih lagi dengan bertandang di Alor Setar.

Perak yang bermain di Perdana Satu juga akan menghadapi tugas berat apabila bermain di Johor Bahru setelah ketinggalan 1-3 semasa di Ipoh.

Mungkin Johor boleh melebarkan senyuman kerana pasukan yang beraksi di Perdana Dua kali ini pasti tidak mahu melepaskan peluang terbaik untuk layak ke separuh akhir.

Namun Johor juga harus berhati-hati kerana Perak meskipun mempunyai masalah tersendiri mampu bangkit untuk memintas pasukan tuan rumah jika lawan mereka mengambil jalan mudah.

Sementara itu, pertemuan abang dan adik di Lembah Klang juga dijangka menarik kerana masing-masing mahu membuktikan kejaguhan masing-masing.

Bagitupun tekanan pasti berpihak kepada Selangor lebih-lebih lagi kini pasukan berkenaan kini sedang menghadapi kemelut kepimpinan termasuk prestasi menurun skuad Merah Kuning itu.

Dengan ketinggalan 0-2 serta peningkatan prestasi Kuala Lumpur selepas tampuk jurulatih diambil alih oleh Mat Zan Mat Aris sudah pasti akan merimaskan Selangor malam ini.

Keadaan sedemikian juga dijangka sudah cukup untuk menambah derita Selangor meskipun masih mempunyai harapan untuk melakukan kejutan pada perlawanan pusingan kedua suku akhir ini.

Perlawanan Pulau Pinang dan Sabah bagaimanapun dijangka rancak dan saingan sengit berdasarkan pasukan Mutiara hanya mendahalui 1-0 semasa pertemuan di Kota Kinabalu.

Meskipun perlawanan malam ini akan berlangsung di Pulau Pinang tetapi pasukan tuan rumah harus berhati-hati dengan kebangkitan Sabah yang dibarisi oleh pemain berpengalaman serta mempunyai semangat juang tinggi.

Keadaan ini sekiranya tidak diambil kira sudah pasti akan menggagalkan impian pasukan tuan rumah ke separuh akhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K2gtS2OR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan