ARKIB : 08/07/1998
Kedah kalah teruk
KEDAH menempah tiket ke separuh
akhir dengan agregat 6-5 sekalipun dibelasah teruk oleh Melaka 1-5 dalam
pertandingan Piala FA peringkat suku akhir pusingan kedua di Stadium Darulaman,
Alor Setar, malam tadi.
Kedah yang mempamerkan
permainan bersahaja selepas menang selesa pada pusingan pertama di Stadium Kubu
membenarkan gawangnya dibolosi sebanyak lima kali menerusi Arfandy Lokman yang
melakukan hatrick pada minit ke-23, 25 dan 79, Edward Dipreye (58) dan Moaoui
Monoef (65).
Gol tunggal Kedah dihasilkan
oleh Andre Luis Nascimento pada minit ke 54.
Melaka yang bermain
bermati-matian dalam usaha mencari ruang ke separuh akhir mencipta banyak
peluang namun gol yang dicari hanya hadir pada minit ke-23 bagi mendahului tuan
rumah.
Penyerang pasukan Hang Tuah,
Arfandy bertindak cemerlang dengan menggelecek tiga pemain pertahanan Kedah
sebelum menewaskan penjaga gol S. Ragesh.
Arfandy sekali lagi menceriakan
suasana dalam usaha menambah jaringan dengan gol keduanya dua minit kemudian
apabila tendangan leretnya dari jarak 20 meter gagal ditepis oleh Ragesh.
Dalam keadaan Melaka begitu
hebat melakukan serangan, Nascimento mencuri perhatian apabila meledakkan gol
pertama Kedah pada minit ke-54 menerusi sepakan kencangnya di luar kotak
penalti.
Hasil serangan bertubi-tubi
pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil untuk mendapatkan gol ketiga pada
minit ke-58 menerusi pemain importnya, Edward Dipreye.
Melaka terus menambah koleksi
jaringan untuk gol keempat pada minit ke-65 melalui gerakan cantik Dipreye yang
mengumpan bola kepada Moaoui untuk melakukan penyudahan.
Pada minit ke-79, Kedah pula
mengalami tekanan apabila Arfandy mencipta hatrick untuk gol kelima Melaka
selepas penyerang itu yang tidak dikawal melakukan larian ke arah gawang
seterusnya menewaskan Ragesh.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K2iTkfbg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan