Selasa, 13 September 2016

Sabah-Johor ke final

ARKIB : 05/08/1998
SABAH dan Johor akan menentukan juara bola sepak Piala FA pada 15 Ogos ini selepas masing-masing mencatat kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mempamerkan satu daripada permainan terbaiknya musim ini apabila membelasah Kedah 5-1.

Dengan kemenangan itu, Sabah yang pernah menjadi juara 1995 mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-2.

Pada pertemuan pertama minggu lalu, Sabah tewas 0-1 kepada Kedah.

Johor pula menewaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam satu lagi perlawanan di Johor Bahru.

Gol-gol Sabah dijaringkan Veselin Kovacevic melalui sepakan penalti pada minit ke-23 diikuti gol David Rocastle (61), Mohd Jaya Kasim (65, 75) dan Suharmin Yusof pada minit ke-78.

Gol tunggal Kedah dijaringkan pemain import Andre Luis Nascimento pada minit ke-52 melalui sepakan penalti.

Sabah yang kelihatan bersungguh-sungguh untuk menaikkan semula nama mereka dalam arena bola sepak tempatan selepas persembahan kurang bermaya di peringkat Liga Perdana, memulakan asakan sebaik sahaja permainan bermula dan menguasai sebahagian besar permainan malam ini.

Sabah mendapat peluang seawal minit keempat melalui hantaran lintang Jainin Tinin, tetapi Yap Wai Loon yang mendapat bola di hadapan gol gagal menewaskan S. Ragesh.

Sabah sekali lagi mendapat peluang lapan minit kemudian tetapi Mohd Jaya Kassim, yang mendapat hantaran lintang daripada Jainin, juga gagal menewaskan penjaga gol Kedah.

Sabah akhirnya mendapat gol yang dicari-cari pada minit ke-23 melalui sepakan penalti Kovacevic apabila Jaya dikasari, sekali gus menyamakan agregat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan serangan Kedah lebih tersusun dan berhasil mendapatkan gol melalui sepakan penalti Nascimento selepas Nidzam Adzha dikasari di dalam kotak penalti pada minit ke-52.

Kedah terpaksa bermain 10 orang selepas Roslan Abdul Rahim diperintah keluar padang pada minit ke-60 dan ini memberi ruang kepada Sabah untuk bergerak lebih selesa ketika melancarkan serangan.

Gol kedua Sabah muncul pada minit ke-61 melalui sepakan penalti apabila David Rocastle dikasari. Sepakan yang diambil Kovacevic melantun daripada dakapan S. Ragesh dan terus disambar Rocastle.

Jaya muncul wira Sabah apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit hasil serangan pantas yang dilakukan Sabah sebelum Suharmin Yusof melengkapkan kemenangan Sabah dengan gol pada minit ke-78. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KD4uzzmb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan