ARKIB : 21/05/1998
Pahang lebih ghairah bersaing
dalam Perdana Satu
HAMPIR kesemua pemain Pahang
berwajah merah padam, tetapi tidak jurulatihnya, Jorgen E. Larsen yang tenang
menyaksikan pasukan bimbingannya tewas 0-1 kepada Pulau Pinang pada perlawanan
pusingan kedua Piala FA di Stadium Bandaraya, kelmarin.
ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
melaporkan, Larsen mudah menjawab ketika diajukan soalan: ''Pemain sememangnya
mengharapkan kejayaan untuk mencerahkan harapan dalam saingan Piala FA bagi
meraih gelaran yang belum lagi dimiliki Pahang, tetapi berbeza dengan pendapat
peribadi saya.''
Secara peribadi, kata Larsen,
keghairahan memburu Piala FA boleh mengakibatkan prestasi sesuatu pasukan
menurun dalam saingan Liga Perdana Satu mahupun Piala Malaysia.
''Ini kerana, kita (pasukan
bola sepak di Malaysia) belum boleh menandingi Eropah yang mampu bermain dua
perlawanan dalam masa seminggu.
''Bukannya Pahang tidak
berminat dengan Piala FA, tetapi bagaikan berada di tengah-tengah, antara dua
kerusi yang akhirnya menyaksikan orang lain yang dapat duduk,'' kata beliau
kelmarin.
Ada benarnya dakwaan Larsen,
sebagai contoh Pulau Pinang sebagai pasukan yang berkemampuan ke perlawanan
akhir Piala FA musim lalu, tetapi tersingkir dalam saingan Piala Malaysia
sehingga terpaksa mengharungi pusingan kelayakan sebelum layak ke Perdana Satu.
Ditanya apakah keistimewaan
Eropah, Larsen mengambil contoh terbaik pasukan Arsenal yang mempunyai
sekurang-kurangnya 35 pemain bertaraf antarabangsa sedangkan di Malaysia,
sesebuah skuad negeri seperti Pahang terlalu sukar untuk mengumpulkan 18 pemain
dalam senarai.
''Begitu juga dengan Pahang,
kita seringkali bermain dalam sesuatu perlawanan tanpa khidmat tiga atau empat
tonggak,'' kata beliau.
Menurut Larsen, dalam
perlawanan kelmarin turut menyaksikan dua tonggak, Jalaluddin Jaafar dan
Zulhamizan Zakaria tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.
Itu cerita kelmarin, sedangkan
malang berterusan menimpa Pahang apabila Azizul Kamaluddin tidak dapat
diturunkan dalam perlawanan akan datang kerana bakal menjalani pergantungan
permainan selepas mengumpul dua kad kuning.
Mengenai kekalahan kepada Pulau
Pinang, Larsen memberitahu, sikap ''malas'' yang diamalkan pemain dalam separuh
masa pertama memberi manfaat kepada lawan.
Jurulatih berkenaan menyifatkan
aksi separuh masa pertama kelmarin sebagai yang paling buruk pernah
dipersembahkan Pahang.
''Separuh masa pertama, pemain
'lembab' sehingga memberi peluang kepada Pulau Pinang mengasak bertalu-talu,
cuma babak kedua kita kembali bangkit tetapi sudah terlewat,'' tambah beliau.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JStdUE4e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan