Isnin, 5 September 2016

Chempaka NS, tentera kongsi mata

ARKIB : 09/05/1998
DENDAM Tentera disingkir Chempaka Negeri Sembilan pada Piala FA, Selasa lalu gagal ditebus apabila hanya mampu seri 1-1 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Ini merupakan pertarungan kali ketiga antara kedua-dua pasukan tetapi Chempaka lebih bergaya sesudah menang dalam kedua-dua perlawanan pusingan pertama Piala FA yang menyaksikan mereka mara ke pusingan kedua menerusi agregat 4- 2.

Penyerang Chempaka, Yusafizan Johar sekali lagi mengecewakan Tentera untuk gol pembukaan yang terhasil seawal minit pertama permainan babak pertama sebelum gol penyamaan Tentera hadir menerusi jaringan Mohd. Zahid Hashim pada minit ke-85.

Biarpun menguasai hampir 80 peratus permainan, Tentera terus gagal menggugat benteng Chempaka yang jelas kebal dengan kombinasi bintang importnya, Fatawu Ibrahim bersama Mohd. Khaidir Mohd. Dom dan A. Ravichandran.

Tentera yang kali terakhir membelasah Polis 6-1 dalam kempen liga ini, tersentak apabila gawang mereka bergegar sebaik sepak mula dibuat Chempaka.

Pertahanan yang leka menyaksikan Yusafizan yang langsung tidak dikawal, mudah menolak masuk hasil sepakan sudut Mohd. Rizal Harun selepas ditanduk Ma Roshan Perera.

Ketiadaan penyerang yang berwibawa jelas menjadi masalah utama Tentera untuk memperoleh gol biarpun anak-anak buah Jacob Joseph itu bekerja keras mencari gol penyamaan.

Begitupun, Tentera mampu menyamakan kedudukan jika gol pada minit ke-34 dikira selepas berlaku pergelutan di depan gawang Chempaka.

V. Arumugam cuba mengeluarkan bola tetapi terterjah ke gawang sendiri namun dia bernasib baik apabila pengadil tidak memberi gol kerana bola terkena tangan pemain Tentera terlebih dahulu.

Babak kedua, Tentera terus meningkatkan asakan tetapi mereka sekali lagi dihampakan oleh pengadil yang tidak memberikan gol jaringan Mohd. Zahid Hashim pada minit ke-61 kerana bola terkena tangan rakannya.

Dalam pada Tentera asyik menyerang, Chempaka yang sekali sekala melancarkan serangan kilat, hampir menambah gol pada minit ke-70 tetapi percubaan penyerang import dari India, Perera gagal menewaskan benteng terakhir Tentera, Aris Fadillah Aziz.

Tiga minit sebelum itu, Yusarman Yusof yang menggantikan Yusafizan, turut gagal menendang ke gawang yang menyaksikan bola terkena tiang gol sebelum dikeluarkan oleh pertahanan Tentera.

Namun, Zahid akhirnya memecah kebuntuan apabila menolak masuk hantaran Jeffri Yusof di depan gawang untuk gol penyamaan.

Sementara itu, Kelantan menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan yang sama di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV malam tadi.

Kehebatan Hashim Mustapha menjadi inspirasi kemenangan Kelantan apabila dia menyumbangkan kedua-dua gol pada minit ke-38 dan minit ke-55.

Melaka sekadar merapatkan jurang dengan gol tunggal menerusi jaringan Ridzuan Abu Shah pada minit ke-65.

Sementara itu perlawanan antara Johor FC dan Johor di Stadium Larkin akan berlangsung hari ini.

Oleh: JOHARI SYAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JNKTX7Ds © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan