ARKIB : 06/05/1998
Chempaka temua Perak pusingan
kedua
CHEMPAKA Negeri Sembilan mara
ke pusingan kedua bola sepak Piala FA apabila menang menerusi agregat 4-2
selepas mencatat kejayaan 2-1 ke atas Tentera pada perlawanan kedua pusingan
pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Chempaka yang berbekalkan satu
gol selepas menang 2-1 di Paroi pada perlawanan pertama, memperoleh jaringan
menerusi Yusafizan Johar pada minit ke-47 dan A. Ravichandran menambah gol
kedua minit ke-68. Gol tunggal Tentera dijaringkan oleh Mohd. Rosdi Tahir minit
ke-88.
Chempaka akan bertemu Perak
pada perlawanan pertama pusingan kedua di Ipoh, 19 Mei ini.
Pasukan tuan rumah menguasai
permainan dengan kerap membuat asakan ke kubu lawan tetapi penyudah yang lemah
gagal mengubah kedudukan. Tiada sebarang percubaan menarik daripada kedua-dua
pasukan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Bagai sesuatu yang menyuntik
semangat Chempaka apabila bertindak garang babak kedua dengan permainan lebih
agresif.
Hanya dua minit sebaik babak
kedua bermula, gawang Tentera bergegar apabila hantaran lintang Mohamad Rizal
Harun disambar kemas oleh Yusafizan yang tidak dikawal untuk gol pembukaan.
Jaringan Yusafizan
menyemarakkan semangat rakan dengan serangan demi serangan diatur. Yusafizan
berpeluang menambah jaringan pada minit ke-63 tetapi gagal menolak masuk ke gawang
selepas mendapat hantaran cantik Stephen Abarowei.
Begitupun, Chempaka terus
mengasak ke pintu gol Tentera dan Ravichandran menggembirakan pasukan dengan
gol kedua hasil percubaan dari jarak 20 meter yang menuju tepat ke penjuru
gawang Tentera.
Namun, dua minit sebelum
permainan tamat, Rosdi merapatkan kedudukan apabila menolak masuk selepas
berlaku perebutan di depan gawang Chempaka tetapi jaringannya gagal mengubah
kedudukan.
Sementara itu di Stadium
Merdeka, Polis mara ke pusingan kedua selepas menang dengan agregat 4-3 ke atas
Malay Mail.
Pada perlawanan kedua malam
tadi, Polis menang 3-1. Polis mendahului menerusi Darul Nazri Daniyan pada
minit ke-10 yang merembat masuk tendangan sudut oleh ketua pasukan Polis,
Zulkhairi Mohd. Zabidi menewaskan penjaga gol Malay Mail, M. Pavalamani. Polis
yang tewas 1-2 pada pertemuan pertama menghasilkan gol kedua menerusi El
Mustaffa Azour pada minit ke-24.
Sepuluh minit kemudian, pemain
gantian Malay Mail, Robert Paul menjaringkan gol untuk mengikat agregat 3-3.
Darul Nazri menjaringkan gol kemenangn Polis minit ke-78.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Terengganu menewaskan Johor FC 2-1.
Namun kemenangan itu belum
cukup untuk tuan rumah menghalang Johor FC daripada meneruskan kemaraan ke
pusingan kedua dengan kelebihan agregat 3-2.
Pada pusingan pertama Johor FC
menang 2-0. Pemain import Johor FC, Aytek Genc memulakan jaringan pada minit ke-39
untuk mendahului 1-0.
Menyedari lawanya semakin kukuh
dengan kelebihan agregat 3-0 Terengganu menggandakan asakan menerusi Badrul
Hisham Abdullah dan juga Jozsef Kovach yang akhirnya berjaya menyamakan
kedudukan seminit sebelum rehat menerusi Anuar Jusoh.
Babak kedua ternyata menjadi
milik Terengganu dengan gerakan-gerakan yang bahaya Badrul Hisham, Anuar,
Kovach berjaya memecah kubu lawan.
Gerakan Anuar Jusoh pada minit
ke-73 berjaya meletakkan Terengganu dihadapan, hantarannya mudah disudahi oleh
Sapian Wahid yang tidak dikawal.
Pada perlawanan lain di Stadium
Kubu, Melaka turut layak menerusi agregat 8-3 selepas menumpaskan Melaka
Telekom dengan 4-2.
Gol Melaka diperolehi menerusi
jaringan Arfandy Lokman pada minit ke-41, John Onwudegu (52), Belle Belle Yves
(61) dan S. Sivaram minit ke-73.
Gol Melaka Telekom pula
dijaringkan oleh Isaac Kuffour (25) dan Manzoor Azwira Wahid minit ke-88).
Melaka Telekom bagaimanapun
tidak mudah putus asa dan merapatkan jurang gol untuk keputusan 4-2 hasil jaringan
Manzoor Azwira Wahid, dua minit sebelum perlawanan tamat.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JHDIm8Re
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan