ARKIB : 22/04/1998
Johor FC malukan Terengganu
JOHOR FC yang belum tewas dalam
Perdana Dua menewaskan pendahulu liga itu, Terengganu 2-0 dalam pusingan
pertama bola sepak Piala F.A di Stadium Larkin, Johor, malam tadi.
Gol pertama Johor FC
dijaringkan oleh Fuad Adam pada minit ke-55 melalui satu tendangan hasil
umpanan Armi Shariff dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Zubir
Ibrahim.
Pemain gantian Johor, Junaidi
Latip yang dimasukkan bagi menggantikan Aytec Genc pada minit ke-59,
menjaringkan gol kedua Johor FC pada minit ke-68.
Sembilan minit kemudian Junaidi
yang berjaya menewaskan pemain Terengganu, Mustaffa Kamal mengelecek lalu
merembat bola ke gawang setelah mendapat hantaran dari Armi Shariff dan gagal
diselamatkan oleh Zubir.
Terengganu yang berjaya
memasuki peringkat separuh akhir Piala FA tahun lalu tidak membuat
serangan-serangan yang berbahaya sebaliknya banyak bertahan.
Pada separuh masa pertama,
kedua-dua pasukan bermain dengan agak lembap dan Terengganu hampir menjaringkan
gol pertama pada minit ke-3 hasil tandukan Joszef Kovach setelah mendapat
hantaran Anuar Jusoh tetapi tersasar.
Terengganu terus mengasak dan
pada minit ke-16, Joszef sekali lagi mendapat peluang terbaik setelah salah
faham antara pertahanan Johor FC, Suhaimi Jamil dan Mirco Jurilj berlaku di
luar kotak penalti.
Johor FC kemudian membuat satu
percubaan pada minit ke-27 melalui Ramlan Sarman hasil gerakan Aytec Genc,
bagaimanapun bola tendangan Ramlan melepasi palang gol.
Sementara itu, pasukan NS
Chempaka mengejutkan juara Piala FAM, Angkatan Tentera (ATM) 2-1 pada pusingan
yang sama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Walaupun beraksi di tempat
sendiri, NS Chempaka gagal memanfaatkan beberapa peluang terbuka untuk
menjaringkan gol setelah kehilangan penyerang berbahaya Steven Aborowei.
NS Cempaka yang merupakan naib
juara Piala FAM menghasilkan gol pertamanya pada minit ke-44 melalui Yustafizan
Johar setelah menerima bola lantunan dan membuat sepakan kencang yang gagal
diselamatkan oleh penjaga gol, Aris Fadilah Aziz.
Pasukan tuan rumah memperoleh
gol keduanya pada minit ke-53 melalui Mohd Khaidir Mohd. Dom.
ATM tertekan tetapi bangkit
memberikan saingan apabila berjaya merapatkan jaringan pada minit ke-54 hasil
tendangan penalti ketua pasukan, Azmi Mohd Nazir setelah pemain pertahanan NS
Cempaka menjatuhkan Abdul Latib Mohd. Sharip dalam kawasan penalti.
Di Stadium Kubu, Melaka
menewaskan Telekom Melaka 4-1 dalam perlawanan pertama pusingan awal.
Gol Melaka dijaringkan oleh Md.
Nor Sheikh Ibrahim minit ke-65, Azmi Ariffin (70), Arfandy Lokman (88) dan
bekas pemain Terengganu, Edward Dipreye pada minit ke-90 sementara gol tunggal
Telekom Melaka melalui Isaac Kufour minit ke-80.
Di Stadium KLFA, Malay Mail
menewaskan Polis 2-1 untuk mencerahkan peluang ke pusingan kedua.
Gol Malay Mail dijaringkan oleh
K. Hemadass pada minit ke-58 dan Robert Paul Maniam minit ke-70 sementara
jaringan tunggal Polis menerusi Okiyano Onyanbo pada minit ke-60.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JBbUa5dH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan