Jumaat, 31 Mac 2017

Sabah, Perlis, NS ke separuh akhir



ARKIB : 20/04/2003

PEMAIN kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan mengubah nasib Perlis pada saat akhir untuk meletakkan Singa Utara ke separuh akhir bola sepak Piala FA apabila menjaringkan gol emas untuk menewaskan Johor FC dengan agregat 4-3 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Pasir Gudang, semalam.

Perlis bertandang ke Pasir Gudang dengan ketinggalan satu gol selepas tewas 1-0 di tempat sendiri minggu lalu.

Bagaimanapun, Singa Utara mengamuk di tempat lawan dan membolosi gawang Johor FC empat kali termasuk gol emas Tengku Hazman untuk menang 4-2.

Begitupun, Johor FC tampak lebih gagah untuk ke separuh akhir apabila Jon Ben Angelucci membuka jaringan buat pasukannya seawal minit ketujuh untuk menjadikan agregat 2-0.

Bagaimanapun, Kelvin Musungu merapatkan jurang dengan gol penyamaan minit ke-19 sebelum Adrian Jurat Chamrong menyamakan agregat dengan jaringan minit ke-35.

Tengku Hazman meletakkan Perlis di depan dengan jaringan ketiga pada minit ke-37 tetapi Mohd. Hamzani Omar menyamakan kedudukan agregat 3-3 pada minit ke-58.

Kedudukan agregat 3-3 terikat sehingga tamat perlawanan yang memaksa masa tambahan sudden-death sebelum Tengku Hazman menceriakan Singa Utara dengan gol emas minit ke-93.

Sementara itu juara sulung, Perak turut tersingkir daripada persaingan biarpun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan, tetapi tewas agregat 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Negeri Sembilan bertandang ke Ipoh dengan bekalan dua gol selepas menang 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Perak yang mara ke perlawanan akhir musim lalu sebelum tewas kepada Pulau Pinang yang turut sudah terkeluar daripada persaingan, meraih gol tunggal itu pada minit ke-86 menerusi Chan Wing Hong.

Gol berpunca daripada ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian yang melintangkan bola ke tengah dari sebelah kini sebelum ditolak masuk oleh Wing Hong.

Perlawanan di Ipoh sedikit tercemar apabila pengadil melayangkan dua kad merah, masing-masing kepada pemain tuan rumah dan Negeri Sembilan.

Pemain Negeri Sembilan, Shahrizam Mohamad terpaksa melangkah keluar padang pada minit ke-53 selepas menerima kad kuning kedua manakala Perak turut bermain sepuluh orang sejak minit ke-63 selepas Faizal Zainal diperintah keluar padang pada minit ke-63 kerana mengasai pemain lawan.

Perak banyak dihampakan dengan kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan, Azlisham Ibrahim yang menyelamatkan tiga percubaan berbahaya penyerang Seladang, Khalid Jamlus.

Sabah memaksa MPPJ Selangor mengharungi penentuan sepakan penalti sebelum mengetepikan pasukan kelab itu dengan kemenangan 4-3 selepas agregat terikat 1-1.

Zainizam Marjan menyamakan agregat dengan gol pada minit ke-56, selepas MPPJ menang 1-0 di Kelana Jaya, minggu lalu.

Perlawanan sebenar tamat dengan kedudukan 1-0 dan agregat 1-1 dan masa tambahan juga gagal mencari pemenang sehingga penentuan sepakan penalti

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ctmlQRWM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sarawak dapat bekalan selesa



ARKIB : 13/04/2003
SARAWAK memperoleh bekalan selesa untuk bertandang ke Stadium Larkin, Johor bagi menghadapi perlawanan bola sepak suku akhir kedua Piala FA 2003 apabila mengalahkan Johor 5-2 pada suku akhir pertama di Stadium Sarawak, Kuching, semalam.

Pemain import Sarawak, Robert Eshun menyemarakkan semangat skuad Bujang Senang apabila memperoleh jaringan awal pada minit ke-17 dan 26 untuk menamatkan babak pertama dengan tuan rumah mendahului 2-0.

Sebaik permainan bersambung dalam separuh masa kedua, pemain Johor Mohd. Shukri Ismail merapatkan jurang selepas menghasilkan gol minit ke-49.

Bagaimanapun, Sarawak terus memberi tekanan kepada pelawat untuk menambah jaringan menerusi sepakan penalti Ramos Sari pada minit ke-53 dan Wong Sai Kong pada minit ke-58.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Wong Sai Kong menambah jaringan minit ke-58, diikuti sepakan penalti Ramles Sari pada minit ke-80.

Johor yang tidak mengaku kalah menyerang balas untuk mendapatkan gol menerusi penyerangnya Farid Ideris pada minit ke-89.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis bernasib malang apabila tindakan penyerang kesayangannya, Phillimon Chipeta menerima kad merah kerana menampan bola dengan tangan dalam kawasan penalti Singa Utara memaksa pasukan itu tewas 1-0 kepada Johor FC.

Tindakan Chipeta menyaksikan hadiah sepakan penalti kepada Johor mudah disempurnakan oleh Jonathan Ben Angelucci pada minit ke-73.

Sebelum itu, dalam babak pertama, kedua-dua pasukan gagal memperoleh sebarang jaringan.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, Negeri Sembilan selaku tuan rumah membuat kejutan apabila mengalahkan Perak 2-0.

Gol-gol Negeri Sembilan dihasilkan Everson Martinelli pada minit ke-15 dan Luciano Osmar Gonzales pada minit ke-64.

Perak mendapat sepakan penalti pada minit ke-68 tetapi tendangan Plavio Rochagalvo diselamatkan penjaga gawang, Azlisham Ibrahim untuk memastikan kemenangan Negeri Sembilan.

Di Stadium Petaling Jaya, dua pemain import MPPJ Selangor memastikan kelab dalam Perdana Dua itu menang tipis 2-1 ke atas Sabah.

Bruno Sebastian menghasilkan gol minit ke-47 manakala Juan Manuel Arostegui pada minit ke-83 dan gol tunggal Sabah pula oleh Zainizam Marjan pada minit ke-53.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4csyljI8p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 Mac 2017

Piala FA - Bekalan selesa tiga pasukan

ARKIB : 26/02/2003
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
AKSI perlawanan kedua pusingan pertama bola sepak Piala FA 2003 tentunya semakin menarik, bukan sekadar mencari pemenang untuk mencerahkan peluang memburu kejuaraan malah lebih kepada pertarungan bagi menjaga ``maruah'' di antara pasukan Liga Perdana Satu dan Perdana Dua musim ini.

Pastinya musim ini menyaksikan pasukan Perdana Dua termasuk yang berstatus kelab cuba mengukir sejarah untuk menjulang Piala FA 2003 berdasarkan persembahan meyakinkan dalam pusingan pertama.

Sebagai contoh, Johor, Telekom Melaka dan Selangor Public BANK beraksi cemerlang untuk mengatasi lawan masing-masing dalam perlawanan pertama untuk membawa bekalan selesa dalam perlawanan kedua hari ini.

Johor yang menewaskan TNB Kelantan 4-1 lebih mudah untuk mencari kemenangan menerusi kelebihan agregat kerana bakal berdepan musuhnya itu di gelanggang sendiri iaitu di Stadium Larkin.

Berbeza pula pasukan kelab dari Perdana Satu, Telekom Melaka yang beraksi cemerlang untuk menang 2-1 ke atas pasukan kelab Perdana Dua, SKMK Kelantan tetapi kali ini di gelanggang lawan iaitu Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Sebuah lagi pasukan Perdana Dua, Selangor Public Bank mempunyai bekalan selesa hasil kemenangan 3-1 ke atas Kedah walaupun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, Stadium Darulaman dalam perlawanan kedua.

Pahang agak selesa untuk menanti Kelantan di Stadium Darulmakmur selepas mendahului 2-1 manakala skuad Singa Utara berbekalkan agregat 2-0 bagi menghadapi Tentera di Stadium TLDM, Lumut, Perak, malam ini.

Manakala Melaka berharap Stadium Hang Tuah memberi kelebihan untuk menyekat kemaraan MPPJ Selangor selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan pertama.

Terengganu yang menewaskan Kuala Lumpur 3-1 seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mencari kemenangan atau sekurang-kurangnya seri kerana meneruskan aksi malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, di Kuala Terengganu.

Begitu juga Sarawak, kemenangan besar 4-0 ke atas Perak TKN pasti menyakinkan untuk skuad Bujang senang melengkapkan kemenangan ke atas lawannya itu sekalipun terpaksa bermain di Stadium Perak.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4ccvAYHnE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA dicemari kekasaran

ARKIB : 20/02/2003
AKSI pusingan pertama Piala FA 2003 dicemari kekasaran dalam perlawanan yang menyaksikan Telekom Melaka menewaskan SKMK Kelantan 2-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam.

Telekom yang menjadi tuan rumah memperoleh jaringan menerusi sepakan penalti pemain import Isaac Kuffour pada minit ke-45 dan K. Kumaran pada minit ke-68.

SKMK yang membalas menerusi Safri Che Mat pada minit ke-22 semakin tertekan setelah ketua pasukannya, Mat Anuar Semail dan Mohd. Faizal Asmar diperintahkan keluar padang kerana mengasari pemain lawan.

Pemain-pemain dan pegawai pasukan SKMK kemudiannya terpaksa diberikan kawalan oleh pihak Polis ketika keluar meninggalkan stadium.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis yang sebelum ini membelasah Terengganu 4-0 dalam Liga Perdana Satu terus mengaum garang apabila menewaskan Tentera 2-0 menerusi jaringan Mohd. Nazaruddin Zain (minit ke-38) dan pemain import Phillemon Chipieta (m-46).

Pasukan kelab, Public BANK Selangor pula mencipta kejutan apabila menundukkan pasukan pilihan, Kedah 3-1 di Stadium Selayang, Kuala Lumpur. Public Bank harus berterima kasih kepada dua gol pemain importnya, Ivan Ziga (m-27 dan 33) sebelum Paul Raj menambah gol ketiga (m-49).

Kedah, yang merupakan juara Perdana Dua tahun lepas berusaha bangkit tetapi hanya mampu membalas menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-68).

Di Stadium Petaling Jaya, hasrat MPPJ Selangor untuk mendapat tiga mata penuh dileburkan oleh jaringan penyamaan pasukan pelawat pada minit-minit terakhir perlawanan untuk seri 1-1 dengan Melaka.

MPPJ Selangor mendahului menerusi tendangan cantik Bruno Marte Lotto (m-28) tetapi Melaka bangkit menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang Ahmad Termizi Saiban (m-81).

Sementara itu, Sarawak mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Perak TKN di Stadium Sarawak, Kuching.

Gol pasukan tuan rumah diperolehi menerusi Ramles Sari (minit ke-13), Ramos Sari (m-48), Robert Ishun (m-57) dan Mohamad Amri Hamlet (m-73).

Kelantan pula menempa kekalahan kali kedua berturut-turut kepada Pahang apabila tunduk 2-1 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Pahang memperoleh jaringan menerusi Juzaili Samion (m-34) dan Md. Fadzli Saari (m-60). Kelantan yang kalah 4-1 kepada Pahang di tempat yang sama dalam kempen Perdana Satu pada Sabtu lepas membalas menerusi Helton Soares Pereira dari Brazil (m-64).

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur tumpas kepada Terengganu 3-1.

Pasukan pelawat memperoleh gol menerusi Norsyazuwan Md. Nor (m-20), Shahalrizam Mat Rani (m-65 dan 80). Kuala Lumpur memperoleh gol tunggalnya menerusi Lubomir Horochonic (m-68).

Pemain Terengganu, Norisham Hassan diperintah keluar padang oleh pengadil, Muhammad Naim Nair Abdullah dari Selangor pada minit ke-87 kerana mengkasari lawan.

smberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cceaJGQz © Utusan Melayu (M) Bhd