Ahad, 4 Jun 2017

Perak atau Selangor



ARKIB : 24/09/2005
 
PETALING JAYA - Walau apa cara sekali pun pemain Selangor mesti memenangi Piala FA,'' demikian amanat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada pemain skuad Merah Kuning.

Amanat tersebut disampaikan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kepada barisan pemain Selangor sebagai azimat pertemuan dengan Perak di Stadium Shah Alam, malam ini.

Mohamad Khir berkata, amanat daripada Sultan Selangor itu seharusnya menjadi suntikan semangat pemain bagi memastikan kejuaraan Piala FA menjadi milik Selangor.

``Saya yakin pemain Selangor boleh melakukannya, kita sebenarnya adalah pasukan terbaik di Malaysia dan pemain perlu membuktikannya.

``Saya yakin dengan barisan pemain Selangor kerana kita ada kelebihan ketahanan mental, berdisiplin dan tidak patah semangat walaupun ketinggalan,'' ujar beliau.

Mohamad Khir menyatakan demikian dalam pertemuan singkat dengan barisan pemain Selangor yang menjalani latihan ringan di padang PKNS, Kelana Jaya di sini, semalam.

Beliau berkata, kemenangan yang bakal dicapai itu akan melenyapkan kritikan pedas beberapa pihak yang mempertikaikan usaha FAS berbelanja besar ke atas pengurusan dan pemain musim ini.

``Bila Selangor berjaya ke akhir Piala FA dan Piala Malaysia baru mereka sedar usaha yang kita buat itu berhasil dan membawa kejayaan.

``Malam esok (malam ini) adalah peluang keemasan yang tidak wajar disia-siakan oleh pemain untuk membawa pulang Piala FA,'' tegasnya.

Beliau menambah, pelbagai ganjaran menanti pemain jika merealitikan impian menjulang kedua-dua kejuaraan tersebut selain imbuhan daripada FAS, Selangor musim depan akan mendapat dua atau tiga penaja baru.

Sehubungan itu juga, Mohamad Khir menasihatkan pemain agar memberikan komitmen dan bermain bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan menjadi milik Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3IdTxZD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor mungkin kempunan - Perak turun habis-habisan



 
ARKIB : 23/09/2005
Ads by Kiosked
Selangor mungkin kempunan - Perak turun habis-habisan

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS
TONI Netto (dua dari kanan) serius membincangkan strategi bersama pemain Perak untuk membenam Selangor pada sesi latihan di Stadium Perak, semalam.

KUALA LUMPUR - Perak yakin Selangor tidak mungkin menjulang kedua-dua piala berprestij bola sepak tempatan musim ini sebaliknya perlu memilih satu daripadanya ada Piala FA atau Piala Malaysia.

Jika tidak, pengurus pasukan bola sepak Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata Selangor akan mengalami nasib malang, ibarat pepatah `yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran'.

Situasi yang dialami Selangor itu, kata Jamal menguntungkan Perak kerana ia memberi peluang pasukan Kejor Yob Kejor beraksi tanpa tekanan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, esok.

``Perak dan Selangor melalui perlawanan akhir esok dalam situasi berbeza. Kita akan bermain habisan-habisan kerana Piala FA merupakan harapan terakhir kita musim ini.

``Sedangkan Selangor terpaksa menyimpan tenaga untuk satu lagi perlawanan akhir, Piala Malaysia menentang Perlis 1 Oktober ini.

``Selangor lebih tertekan kerana perlu mencari memiliki tenaga luar biasa untuk menjulang kedua-dua piala dan terpaksa memilih salah satu.

``Saya berpendapat Selangor lebih memberi tumpuan terhadap Piala Malaysia. Dan kita akan mengambil peluang dari sudut berkenaan,'' katanya.

Begitupun, kata Jamal, Perak menyedari bahawa Selangor lebih ghairah untuk mencari kemenangan malam esok sebagai menyuntik semangat pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

``Keghairahan yang terlalu tinggi kadang kala akan memakan diri. Dalam soal ini saya mengingatkan pasukan saya supaya usah terlalu ghairah kerana kita pernah kecundang gara-gara terlalu mengejar kemenangan.

``Perak akan bermain seperti biasa malam esok. Saya tidak gusar kerana jurulatih Toni Netto telah pun mendapatkan kesebelasan utama untuk menentang Selangor,'' katanya.

Perak kehilangan penyerang utama, Frank Seator dan pemain tengah, K. Nantha Kumar yang digantung perlawanan. Mengenai ketiadaan kedua-dua pemain tersebut, Jamal berkata, sengatan di bahagian serangan tetap dirasai tanpa Seator.

``Tetapi posisi Nantha Kumar akan diisi oleh Marian Juhas yang akan bergandingan dengan Ahmad Shahrul Azhar,'' ujarnya.

Sementara itu, Jamal berharap pengadil perlawanan esok bertegas dari awal bagi mengelak sebarang kekecohan dan tidak menunggu sehingga keadaan sudah menjadi tidak terkawal.

Beliau berkata, perlawanan itu mungkin bersuasana tegang dan khuatir, pengadil akan turut dikuasai emosi lantas mampu membuat keputusan yang kurang tepat dan meragukan.

Ingatan Jamal itu diluahkan ekoran pertemuan mereka pada peringkat Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 24 Ogos lalu, menyaksikan banyak insiden kekasaran pemain dan hampir mencetuskan pergaduhan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3Cnb4PK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 1 Jun 2017

Selangor juara Liga Perdana



 
ARKIB : 24/07/2005
Selangor juara Liga Perdana

Oleh AMRAN MULUP
PENYERANG Selangor, Bambang Pamungkas (kanan) dibentes P.Sivanantham dari Negeri Sembilan pada saingan penentuan juara Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. Selangor menang 4-2.


SEREMBAN - Pengalaman menjadi jarak pemisah buat Selangor dinobatkan selaku juara Piala Liga Perdana musim 2005 selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan akhir yang diheret hingga ke masa tambahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi

Pemain pertahanan, D. Surendran dan Bambang Pamungkas muncul hero, masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu Selangor mendakap gelaran pertama kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Selangor yang ketinggalan 0-2 ketika baki 12 minit perlawanan hendak ditamatkan selepas dua gol awal tuan rumah dijaringkan oleh ketua pasukan, Muhammad Anuar Jusoh (m-15) dan Idris Karim (m-53) seakan peluang sudah tertutup rapat.

Tetapi segalanya berubah dalam tempoh 12 minit dengan pengalaman Selangor selain semangat kental bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Brian Fuentes (m-79) dan K. Sanbagamaran (m-90).

Terikat dengan kedudukan 2-2 memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan tetapi pengalaman milik Selangor jelas tidak mampu ditandingi oleh Negeri Sembilan yang rebah menerusi dua gol pada minit ke-118 dan 119.

Kemenangan tersebut membolehkan Selangor menerima hadiah wang tunai RM200,000 manakala Negeri Sembilan menerima RM100,000.

Malam tadi, Selangor bermula garang apabila seawal minit pertama, Bambang Pamungkas meledakkan sepakan kencang tetapi penjaga gol tuan rumah, Azizon Abd. Kadir tangkas menolak bola keluar.

Selepas itu, benteng pertahanan Merah Kuning tenggelam punca dengan kelincahan Adewale Abdulateef dan Christian Bekamenga yang sering membolosi kawalan namun kecekapan penjaga gol, Jamsari Sabian menyelamatkan Selangor.

Peluang yang dicari Negeri Sembilan untuk memecah kebuntuan jaringan gol menjadi kenyataan pada minit ke-15.

Gara-gara kesilapan pemain pertahanan, D. Surendran mengkasari pemain tuan rumah memaksa Ahamad Khalidi Supian dari Kedah memberikan sepakan percuma.

Muhammad Anuar yang diberi kepercayaan mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang dengan sepakan lencong dari luar kotak penalti terlepas daripada tangkapan Jamsari yang terus menerjah jaring.

Pada minit ke-53 Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan apabila pemain veteran Idris Karim mudah menanduk masuk gol kedua hasil daripada sepakan percuma menewaskan Jamsari.

Selangor berjaya merapatkan jurang pada minit ke-79 menerusi tolakan mudah Brian Fuentes menewaskan Azizon.

Pada minit ke-90, Selangor berjaya mengikat kedudukan 2-2 apabila K. Sanbagamaran mudah menanduk masuk daripada sepakan sudut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ikNhyBLx
© Utusan Melayu (M) Bhd

90 minit yang mendebarkan -- Aksi akhir Selangor, Negeri Sembilan



ARKIB : 23/07/2005

Oleh AMRAN MULUP
Tonggak Negeri Sembilan, Norhainizam Shahabudin membuat aksi menarik sambil diperhatikan oleh rakan sepasukan dalam latihan menjelang pertemuan akhir Liga Perdana menentang Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.


KUALA LUMPUR - Atas kertas Selangor dianggap pasukan yang memiliki kelebihan berbanding lawannya, Negeri Sembilan.

Rata-rata jurulatih dan pemerhati bola sepak berpendapat, Selangor berupaya memenangi perlawanan itu tetapi pada masa yang sama tidak menafikan peluang tuan rumah untuk dinobatkan selaku juara.

Sering kali terjadi apabila pasukan yang diletakkan sebagai pilihan kecundang kepada skuad yang tidak diberikan sebarang harapan untuk bergelar juara.

Walau apapun pertembungan 90 minit akan menjadi penentu sama ada Selangor atau Negeri Sembilan bakal dinobatkan selaku juara Piala Liga Perdana musim 2005 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Buat Selangor yang bangkit selepas mengharungi suasana kelam sejak tiga musim lalu, peluang keemasan menjulang Piala Liga Perdana sudah tentu tidak akan dilepaskan begitu sahaja.

Selepas muncul juara Kumpulan A dan layak ke Liga Super musim depan, inilah peluang terbaik Selangor untuk mendakap gelaran pertama musim ini sebelum menyusul pula saingan separuh akhir Piala FA dan sesudah itu tumpuan untuk merampas kejuaraan Piala Malaysia daripada genggaman Perlis.

Impian yang sama juga turut dipahatkan oleh Negeri Sembilan walaupun pasukan ini kurang diberikan perhatian.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri sudah tentu menjadi suntikan semangat buat pemain Negeri Sembilan untuk berjuang habis-habisan menafikan impian menggunung Selangor.

Skuad yang digelar `The Red Giants' dianggap memiliki segala kelebihan kerana ketajaman jentera serangan diketuai Bambang Pamungkas selain dibantu oleh Muhammad Khalid Jamlus dan Brian Fuentes.

Keupayaan Selangor menjaringkan 61 gol daripada 21 aksi liga jelas membuktikan betapa jentera serangan Merah Kuning dianggap paling menonjol berbanding Negeri Sembilan.

Sementara Negeri Sembilan di bawah jurulatih K. Devan sekadar menjaringkan 45 gol tetapi mereka dilihat memiliki benteng pertahanan ampuh apabila melepaskan 19 gol berbanding Selangor sebanyak 25 gol.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ikBw1CZ1
© Utusan Melayu (M) Bhd