ARKIB : 11/03/2008
PETALING JAYA Juara bertahan,
Kedah berdepan laluan agak mudah apabila diundi menentang pasukan kedua tercorot
Liga Super, Sarawak manakala pertembungan juara 1990 dan 1991, Perak dan
Selangor bakal mencuri perhatian dalam perlawanan bola sepak pusingan kedua
Piala FA pada 21 Mac ini.
Kedah yang nyaris disekat oleh
PKNS dalam pusingan pertama sebelum layak dengan agregat 5-4, akan menjadi tuan
rumah perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Darul Aman, Alor Star
sebelum bertandang ke Kuching, 27 Mac ini.
Sang Kenari bimbingan Azraai
Khor Abdullah bagaimanapun dihimpit jadual perlawanan padat dan masalah
kecergasan pemain dalam tempoh dua hari apabila perlu melayani Perak bagi Liga
Super pada 23 Mac ini yang ditunda akibat bertembung dengan Pilihan Raya Umum
Ke-12.
Perak dan Selangor yang
masing-masing menang di tempat lawan dalam Liga Super (4-2 dan 4-1),
dipertemukan semula secara timbal balik bagi merebut tiket suku akhir Piala FA
dalam majlis pengundian pusingan kedua ini yang berlangsung di Wisma FAM,
Kelana Jaya, semalam.
Satu lagi pertemuan menarik
pusingan kedua Piala FA melibatkan juara 2006, Pahang dengan KL PLUS bimbingan
Mat Zan Mat Aris yang digelar pembunuh gergasi kerana berjaya menumpaskan
naib juara musim lalu, Perlis dalam pusingan pertama dengan agregat 5-2 pada 4
Mac lalu.
Dua pasukan yang mendapat
laluan percuma ke pusingan kedua Piala FA ialah Terengganu dan Sabah dengan
kedua-dua juara 2000 dan 1995 ini akan melayani Negeri Sembilan dan mengunjungi
Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menentang Polis.
Format pertandingan masih
secara timbal balik dengan mana-mana kedudukan perlawanan yang terikat selepas
perlawanan kedua pusingan kedua pada 27 Mac ini akan diputuskan menerusi
peraturan gol di tempat lawan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yn8x57w1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan