ARKIB : 22/06/2008
PENYERANG Kedah, Khyril
Muhymeen Zambri (kanan) melepasi dua pemain Selangor, Mohd. Shukor Adan
(tengah) dan Elie Aiboy dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam,
malam tadi.
SHAH ALAM - Walaupun beraksi
dengan 10 pemain ekoran kekasaran Sabri Mat Abu terhadap pemain Selangor, Amri
Yahya sehingga pemain Hijau Kuning itu dilayangkan kad merah pada minit ke-75,
Kedah masih berjaya mengesahkan kejaguhan arena bola sepak untuk merangkul
Piala FA semalam.
Barisan bimbingan Azraai Khor
Abdullah itu berjaya menundukkan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir edisi
ke-19 yang sengit dengan serangan kedua-dua belah pihak di Stadium Shah Alam,
semalam.
Biarpun penyokong Kedah
dihantui dengan harga tiket yang dikatakan mahal, namun sokongan dan jeritan
penyokong Selangor yang lebih ramai itu tidak mematahkan semangat Sang Kenari
untuk membawa kembali trofi persaingan kalah mati kebangsaan itu menerusi
jaringan Mohd. Fadly Baharom, Mohd. Khyril Muhymeen serta Mohd. Shafiq Zainal.
Dengan kejayaan itu, Kedah kini
mampu untuk mengulangi pencapaian merangkul tiga kejuaraan seperti 2007 selepas
menjuarai Liga Super, Mei lalu.
Musim ini, Kedah memenangi
semua tiga pertemuan mereka dengan Selangor selepas menang 6-2 dan 1-0 dalam
saingan liga.
Sekalipun tanpa tulang
belakang, Cornelius Bernard Huggings dan penjaring terbanyak liga, Marlon Alex
James, Kedah tetap menyerlah dengan anak tempatan seperti Khyril, Fadly, Shafiq
dan Shafizan Hashim.
Kedah tidak menunggu lama untuk
memperoleh gol pembukaan apabila Fadly menolak umpanan lintang Badrul Bakhtiar
dari sebelah kanan pada minit pertama.
Bagaimanapun Selangor cuba
bangkit menerusi gerakan Mohd. Safee Sali yang melarikan bola ke sebelah kanan,
namun hantarannya ditolak lemah oleh Amri Yahya untuk mudah ditepis penjaga gol
Kedah, Helmi Eliza Elias.
Lapan minit kemudian, Selangor
berjaya menyamakan kedudukan selepas Amirulhadi Zainal merembat bola di depan
pintu gol pada ketika perlawanan cuba mengekang gerakan solo Elie Aiboy.
Selepas minit ke-22, Selangor
berpeluang untuk menambah gol namun percubaan Safee, R. Surendran dan Mohd.
Shukor Adan dinafikan benteng Kedah.
Kelincahan Khyril Muhymeen
Zambri berjaya melebarkan kedudukan Kedah dengan 2-1 hasil gerakan satu dua
dengan Nelson San Martin yang menewaskan penjaga gol Selangor, Suffian Abdul
Rahman pada minit ke-33.
Minit ke-50 menyaksikan Shafiq
menyulitkan harapan Selangor dengan gol ketiga Kedah gara-gara kelalaian bek
kiri Selangor, P. Gunalan menahan umpanan Khyril.
Selangor yang terdesak mencari
gol memasukkan Frank Seator untuk menggantikan Surendran dan ternyata penyerang
gantian itu membalasnya dengan menjaringkan penalti selepas dia dijatuhkan oleh
Helmi.
Peluang terakhir Selangor untuk
menyamakan kedudukan dan mengheret permainan ke masa tambahan turut lebur dalam
masa kecederaan apabila rembatan lemah Safee disambut mudah oleh Helmi.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcNJy0ic
© Utusan Melayu (M) Bhd