15 April 2016 1:08 AM
IPOH 14 April – Memperkemaskan bahagian pertahanan menjadi fokus utama pasukan Perak untuk mengharungi perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang PKNS di Stadium Hang Jebat, Melaka esok.
Vokhid Shodiev
Pengurus pasukan Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, bahagian pertahanan diberikan keutamaan selepas skuad Bos Gaurus dibolosi enam gol dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.
Menurutnya, perkara itu perlu diberikan perhatian kerana sebelum ini pertahanan pasukan Perak disifatkan antara yang sukar dibolosi pemain lawan.
Namun, tegas beliau, dibolosi dua gol ketika kalah 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan empat gol ketika kalah 3-4 kepada Pahang, sesuatu yang perlu diberikan perhatian untuk mengharungi aksi separuh akhir Piala FA esok.
“Walaupun kalah dalam dua perlawanan terakhir Liga Super, tetapi saya yakin pemain tetap bersemangat untuk bangkit dalam perlawanan esok,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelas Shahrul Zaman, di sebalik kerapuhan bahagian pertahanan, skuad Perak mencatat prestasi positif di bahagian serangan apabila penyerangnya mula meledak gol.
Beliau berkata, paling ketara ialah ketika menentang Pahang apabila Perak meledak tiga gol namun akhirnya kalah 3-4 dalam perlawanan tersebut.
Katanya penyerang import yang ketandusan gol sejak sekian lama seperti Vokhid Sodiev dan Elias Olivera sudah mula menunjukkan kemampuan sebenar di posisi depan.
“Ini merupakan perkembangan positif menjelang aksi separuh akhir pertama esok.
“Walaupun beraksi di tempat lawan esok, saya yakin pemain akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mencari bekalan selesa sebelum separuh akhir kedua di laman sendiri pada 30 April ini,” katanya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/perak-perkemas-pertahanan-jumpa-pkns-1.260186#sthash.RPBQK9mM.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan