Oleh Azlan Muhammad Zain azlanmz@hmetro.com.my
Shah Alam: Tuah jelas tidak memihak Selangor apabila terpaksa akur disingkirkan Terengganu dalam aksi 120 minit pusingan ketiga Piala FA malam tadi.
Juara lima kali Piala FA itu tewas 1-3 dalam masa tambahan selepas terikat 1-1 masa penuh perlawanan dalam aksi kalah mati yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Merah Kuning begitu hampir ke suku akhir apabila Guilherme De Paula meledak jaringan pada minit ke-22 untuk menceriakan kira-kira 14,000 penyokong.
Walaupun tanpa pemain sayap lincah Andik Vermansah yang digantung perlawanan dan mengalami kecederaan, rentak Merah Kuning tidak terjejas apabila turun dengan misi membalas dendam kekalahan di tangan Terengganu pada perlawanan pertama Liga Super bulan lalu.
Jentera serangan Selangor yang diketuai De Paula dan Afiq Azmi selain gerakan sebelah tepi Ahmad Hazwan Bakri sering mengancam kubu pelawat namun nasib tidak memihak tuan rumah untuk menambah jaringan.
Semuanya tampak sempurna untuk Selangor termasuk dapat mengekang pergerakan bekas penyerangnya Paulo Rangel.
Namun ketika Selangor di ambang meraikan kejayaan, pemain pertahanan Terengganu Vincent Bikana meledak jaringan penyamaan pada minit ke-90 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Lebih mengecewakan pertahanan import Selangor dari Australia Robert Cornthwaite pula tertanduk bola ke gawang sendiri hasil hantaran penyerang lawan Gustavo Lopez sebelum Zairo Anuar Zailani menambah gol ketiga pada minit ke-120.
Kemenangan ini membolehkan Terengganu bertemu Perak pada suku akhir awal bulan depan dengan saingan berlangsung secara timbal balik.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:22 AM
PEMAIN Selangor Mohd Fitri Shazwan (kiri) diasak Bikana.
- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/37923#sthash.xA3zI9pV.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan