Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Hasil siasatan terhadap pergaduhan yang
tercetus di terowong ke bilik persalinan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos,
Larkin pada 1 Februari lalu bakal diketahui dalam masa terdekat apabila
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin hampir berada di peringkat
mengeluarkan surat pertuduhan kepada mana-mana individu yang terlibat.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata,
walaupun tidak boleh memberikan jaminan 100 peratus surat pertuduhan akan
dikeluarkan namun beliau membayangkan akan ada mereka yang dituduh berdasarkan
siasatan awal pihak Sekretariat FAM.
Katanya lagi, beliau juga belum pasti bagaimana bentuk
pertuduhan yang akan dikenakan sambil menegaskan isu pergaduhan itu akan
dipecahkan kepada beberapa aspek dan tidak semestinya bergantung kepada
serangan fizikal semata-mata.
"Isu pergaduhan itu kami hampir selesaikan dan
diharapkan semua pihak bersabar, kami akan keluarkan surat pertuduhan kepada
pihak yang terbabit, ada kemungkinan kategori pertuduhan itu akan dipecahkan
dalam banyak aspek.
"Kami memerlukan sedikit masa kerana beberapa
perkara perlu dilihat sebelum surat pertuduhan dapat dikeluarkan dan apabila
tiba masanya kami akan mengumumkan perkara itu kepada semua pihak.
"Perkara ini kita tidak boleh buat secara tergesa-gesa,
kena ikut proses supaya kes ini dapat diteliti dengan baik dan semua pihak
berpuas hati apabila kes ini mula diteliti," katanya dalam sidang akhbar
mengenai Piala Futsal Felda-FAM 2014 di Wisma FAM semalam.
Sebelum ini, JDT diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas
T-Team setelah Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM memutuskan alasan
skuad kendalian Azraai Khor Abdullah menarik diri daripada perlawanan itu atas
faktor keselamatan tidak dapat diterima.
Namun, insiden pemain T-Team, Evaldo Goncalves yang
didakwa ditumbuk oleh pemimpin tertinggi JDT dan jurulatih kecergasan, Stefano
Impagliazzo yang ditendang di bahagian kemaluan masih belum diputuskan oleh
pihak FAM sama ada terdapat kes atau tidak.
Menyentuh perkara lain, Hamidin berkata, terdapat dua kes
lain yang sedang diteliti oleh FAM iaitu insiden pergaduhan antara penyokong
Pahang dan JDT di Stadium Darul Makmur, 7 Februari lalu serta melibatkan kereta
pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad yang pecah di tempat letak kereta.
"Satu lagi, selepas perlawanan JDT dan Perak di
Larkin (18 Januari), kereta pengurus Perak telah dipecahkan tanpa diketahui
siapa yang melakukannya, perkara ini juga akan disiasat oleh FAM dalam masa
yang serentak ketika mengendalikan kes-kes yang saya sebutkan tadi,"
katanya.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140212/su_03/Siasatan-pergaduhan-hampir-selesai#ixzz2tHlWpy7b
© Utusan Melayu (M) Bhd