Khamis, 6 Februari 2014

Selangor kena 'ngap'

KUALA LUMPUR - Biarpun menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, Sarawak masih mampu melakar kejutan besar dengan menyingkirkan pendahulu Liga Super, Selangor 1-0 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Gol tunggal Zamri Morshidi pada minit ke-33 cukup untuk membawa skuad Bujang Senang melangkah ke suku akhir.

Sarawak terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penjaga gol, Sani Anuar Kamsani, dilayangkan kad merah pada minit ke-62 selepas menjatuhkan Mohd. Fitri Shazwan Raduwan, namun Red Giants gagal mencari formula untuk memecah kekebalan benteng lawan yang diketuai pemain import dari Hungary, Gabor Gyepes.

Felda United bakal menjadi lawan Sarawak di suku akhir selepas mengalahkan Sime Darby 1-0 di Stadium Selayang melalui jaringan tunggal Zah Rahan Krangar pada minit ke-84.

Di Alor Setar, Kedah menceriakan 25,000 penyokong yang hadir di Stadium Darul Aman setelah menyingkirkan Perlis 4-0. Billy Mehmet membuka tirai jaringan pada minit ke-43, sebelum Adam Griffiths yang tidak dikawal menanduk bola hantaran lintang Baddrol Bakhtiar di minit ke-53 .

Sepuluh minit kemudian, stadium terus bergema dengan sorakan penyokong Helang Merah apabila Baddrol menyudahkan hantaran Mohd. Syazwan Tajuddin menerusi rembatan dari dalam kotak penalti dan Khairul Helmi Johari melengkapkan jaringan keempat Kedah apabila menanduk bola sepakan sudut yang diambil oleh Baddrol.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, PDRM menepati ramalan apabila mengetepikan PBAPP FC 2-0, hasil jaringan Chad Souza pada minit ke-65 dan tiga minit kemudian, Bobby Gonzales mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua.

Dollah Salleh yang merupakan jurulatih PDRM bakal berdepan dengan pasukan yang dibimbingnya pada musim lalu, Pahang di suku akhir.

PKNS berjaya menebus kekalahan sulung Liga Super di tangan Terengganu dengan kemenangan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi biarpun pemain pertahanan mereka, Abdul Ghani Rahman dilayangkan kad merah pada minit ke-54.

Patrick Wleh Ronaldinho yang bergaya memperdayakan empat pemain pertahanan Terengganu memberikan PKNS gol pendahuluan pada minit ke-37 tetapi dapat disamakan Ismail Faruqi pada minit ke-47.


Akhirnya, bekas penyerang Sime Darby, Karlo Primorac memastikan kemenangan buat The Red Ants dengan jaringan pada minit ke-79 bagi menempah pertemuan dengan Kelantan di suku akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan