Khamis, 6 Februari 2014

Kenyataan tak logik


 

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
AZLAN

NAMPAK gayanya, insiden 'panas' yang melibatkan pasukan T-Team dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dilihat semakin berlarutan.

Sabtu lalu, T-Team bertindak mengambil keputusan untuk menarik diri pada aksi kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru.

Ia gara-gara The Titans dilaporkan enggan mengambil risiko untuk meneruskan baki separuh masa kedua selepas pemain import Brazil, Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo didakwa dikasari dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan.

Skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah bertindak meninggalkan stadium di Larkin itu selepas menyaksikan Johor DT mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Semalam, seorang pemain T-Team, Muhammad Irfan Abdul Ghani tampil memberikan kenyataan berbeza tanpa pengetahuan majikannya.

Irfan mencetuskan skrip baharu apabila mendedahkan tiada sebarang insiden kekasaran berlaku pada aksi kedua Piala FA di Larkin.

Irfan ketika memberi kenyataan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan polis di Johor Bahru semalam mendakwa, dia berada di belakang penyerang Brazil, Rodrigues ketika insiden tersebut dan menegaskan perlawanan tersebut sebenarnya selamat diteruskan.

Bekas pemain Harimau Selatan itu turut mendakwa, penolong jurulatih, Azlan Johar yang sebenarnya membuat keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua dan mengarahkan pasukan meninggalkan stadium.

Mengulas mengenai kenyataan Irfan, Azlan mendedahkan, dia tidak berhak membuat keputusan untuk membatalkan aksi separuh kedua itu.

"Ia satu dakwaan yang betul-betul tidak logik. Saya masih ada ketua jurulatih (Azraai Khor) dan Ketua Eksekutif T-Team (Abdul Rasid Jusoh). Takkan saya pandai-pandai untuk membuat keputusan?

"Dia (Irfan) tidak menjalani sesi latihan selama dua hari dan memberikan alasan kepada pihak pengurusan T-Team kerana ada urusan keluarga di Johor.

"Dia adalah pemain simpanan. Dia langsung tiada bersama skuad utama ketika menuju ke bilik persalinan dan kami telah membuat keputusan (menarik diri untuk separuh masa kedua) ketika dia bermain di dalam padang (bersama pemain-pemain simpanan lain).

"Sebagai pemain simpanan, dia bukannya bersama pemain-pemain utama masuk dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan.

"Jadi, saya menganggap dia adalah pengkhianat T-Team," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan sama, Azlan berharap insiden panas di Larkin itu dapat membuka mata ramai pihak bahawa T-Team tidak terlintas untuk membuat kontroversi 'murahan'. Kami berbuat demikian demi keadilan untuk The Titans serta keselamatan pemain.

"Darah saya yang mengalir ini telah dididik oleh jurulatih-jurulatih hebat negara seperti Allahyarham Mohktar Dahari sejak dari kecil lagi.

"Mereka telah mendidik saya dan memastikan darah saya mengalir dengan penuh semangat kesukanan. Mereka telah mendidik saya tentang erti semangat kesukanan dan bukannya mencetuskan kekecohan. Ini adalah sukan.

"Saya tahu dengan adanya semangat kesukanan, saya akan menjadi manusia yang baik. Jadi, mengapa saya harus membuat fitnah?," ujarnya.

KOSMO ONLINE 6.2.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan