JOHOR BAHARU 4 Feb. - Jurulatih
Johor Darul Ta'zim (JDT), César Ferrando Jiménez hari ini membuat laporan polis
berhubung dakwaan kejadian di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain
di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.
Menurut peguamnya Datuk Baljit
Singh Siddhu, dalam laporan itu Ferrando menyatakan bahawa beliau merupakan
mangsa dalam kejadian itu.
"Jiménez berkata beliau
adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi T-Team telah memutar belit fakta,"
katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini
hari ini.
Menurut Baljit, Ferrando
menyatakan bahawa instruktur kecergasan T-Team telah bertindak menarik kolar
bajunya, manakala pemain T-Team berjersi nombor 16 menolaknya.
"Kita akan lihat perkara
ini secara terperinci dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana fitnah
atau tohmahan mengenai perkara tersebut," katanya.
Setiausaha Kehormat JDT, Mohd.
Fahmy Yahya turur hadir di balai polis tetapi pihak media yang turut berada di
situ tidak diberikan salinan laporan polis tersebut.
Perlawanan antara JDT dan T-Team
di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team
yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.
Semalam pemain T-Team, pihak
pengurusan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.
Pemain dan jurulatih kecergasan
T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues
dan jurulatih Stefano Impagliazzo. - BERNAMA
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140204/su_13/Jurulatih-JDT-pula-dakwa-jadi-mangsa#ixzz2sSGshwir
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan