Sabtu, 30 September 2017

Kedah singkir Perlis rangkul Piala FA



RKIB : 01/07/2007
 
JUARA... Pemain dan pegawai pasukan Kedah meraikan kejayaan mereka bersama piala kemenangan selepas muncul juara Piala Fa setelah menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar Sazali Che Din.

NIBONG TEBAL 30 Jun – Kedah menjulang trofi Kejohanan Bola Sepak Piala FA musim 2006/07 buat kali kedua selepas 11 tahun dengan menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, malam ini.

Perlawanan terpaksa diheret hingga ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 0-0 selepas tamat saingan getir 120 minit.

Ini adalah gelaran kedua diperoleh Kedah selepas kali pertama muncul juara pada 1996 apabila menewaskan Sarawak 1-0 dalam perlawanan akhir.

Manakala bagi Perlis ini adalah kekecewaan ketiga sejak Piala FA mula diperkenalkan pada 1990 dan kali kedua berturut-turut dihampakan menerusi penentuan sepakan penalti.

Tahun lalu, skuad Singa Utara turut hampa untuk bergelar juara buat pertama kali apabila tunduk kepada Pahang 4-3 juga menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada perlawanan akhir 2003, Perlis tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.

Kemenangan Kedah itu mencetuskan laluan skuad Hijau Kuning untuk memburu tiga kejuaraan dalam semusim selepas ini iaitu Piala Malaysia dan Liga Super.

Di hadapan kira-kira 40,000 penonton yang memenuhi setiap ruang stadium bertempik sorak sejurus pemain Kedah, Sabri Abu menyempurnakan sepakan penalti keempat yang membawa kemenangan mutlak kepada skuad hijau kuning bergelar juara.

Penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias muncul hero apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti awal Perlis menerusi Zacharia Simukonda dan Mohd. Nazaruddin Zain.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Sebelum itu, kesesakan teruk di Stadium Batu Kawan ekoran jumlah kehadiran peminat yang luar biasa untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perlis malam ini, turut menjejaskan kelancaran laluan tetamu diraja ke stadium.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Tuanku Syed Sirajuddin menjadi antara ribuan peminat yang terperangkap dalam kesesakan itu, namun ia tidak menghalang hasrat baginda untuk terus menonton perlawanan itu.

Baginda dibawa keluar dari kesesakan itu dengan menaiki motosikal untuk ke stadium.

Sultan Kedah juga adalah antara yang terperangkap dalam kesesakan namun baginda tetap tidak membatalkan niat untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Sementara itu, puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan yang tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir itu akibat terperangkap dalam kesesakan tersebut, rata-rata menyalahkan pihak pengurusan perlawanan yang lemah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4uB5HK2Uh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 September 2017

Piala FA: FAM singkir TMFC



ARKIB : 05/04/2007
 PETALING JAYA – Gara-gara menurunkan pemain yang tidak memiliki Sijil Perpindahan Negeri (SPN), kemaraan Telekom Melaka (TMFC) ke suku akhir Piala FA telah dibatalkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Jawatankuasa yang bersidang dipengerusikan oleh Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar turut membatalkan kemenangan TMFC 2-0 ke atas Perlis pada saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Kangar, 27 Mac lalu.

Sebaliknya, Perlis pula diberikan kemenangan 3-0 ke atas TMFC sekali gus menyaksikan mereka kembali beraksi di suku akhir Piala FA bermula 15 Mei ini.

Jawatankuasa yang bersidang semalam, mendapati TMFC melanggar peraturan 4.6.8 kerana menurunkan bekas pemain skuad Piala Presiden Kelantan, Mohd. Farishan Ismail, 22, tanpa memiliki sijil SPN.

Mohd. Farishan yang pernah beraksi di Kelantan pada musim 2005/2006, bermain sebagai pemain gantian pada pertemuan Piala FA pusingan kedua di Stadium Utama Kangar yang dimenangi oleh TMFC.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah mengemukakan surat bantahan kepada jawatankuasa beliau bertarikh 29 Mac.

‘‘Mesyuarat semalam telah menyiasat dengan terperinci bantahan daripada PFA dan mendapati TMFC melanggar peraturan kerana menurunkan pemain yang belum mendapat sijil SPN,’’ ujarnya pada sidang akhbar selepas majlis undian Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Mengikut peraturan 4.6.8 menyebut, mana-mana pasukan, pegawai dan pemain yang mengingkari peraturan perkara 4.6.1 hingga 4.6.7 atau mendaftar pemain menggunakan maklumat yang tidak tepat atau palsu walaupun telah disahkan pendaftaran oleh persatuan tetapi kemudiannya didapati tidak menepati syarat-syarat dan peraturan kelayakan dan pendaftaran maka pasukan dan pemain terbabit akan dibatalkan pendaftaran dan dikenakan tindakan mengikut 2.1.2.

Katanya, Mohd. Farishan dikenakan penggantungan sementara sehingga pedia memperoleh sijil SPN bagi membolehkannya kembali beraksi dan TMFC turut didenda RM10,000.

Dalam pada itu Raja Ahmad Zainuddin turut mengumumkan kelab KL Maju United digantung beraksi selama tiga tahun dan dikenakan denda sebanyak RM30,000.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tVWyXoTD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 16 September 2017

Tiga pasukan terima kejutan Piala FA



ARKIB : 07/02/2007

KUALA LUMPUR – Tiga pasukan elit Liga Super menjadi mangsa pertama pasukan kerdil disingkir pada pusingan pertama Piala FA yang berlangsung, semalam.

Paling mengejutkan pasukan di tangga ketiga Liga Super, Terengganu yang tumpas 0-2 kepada PBT Pasir Gudang dalam perlawanan di Stadium Larkin, Johor Bahru.

Dua gol dalam masa lima minit menerusi Mohd. Khairul Ismail (m-70) dan Tambo Masauso (m-75) membolehkan PBT Pasir Gudang penuh gah mara ke pusingan kedua.

Pulau Pinang pula menjadi mangsa Shahzan Muda di gelanggang sendiri iaitu Stadium Bandaraya apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti 4-2.

Kedudukan terikat 2-2 dalam permainan sebenar selepas Pulau Pinang memperoleh gol menerusi Mohd. Azrul Ahmad (m-21, 52) manakala Shahzan Muda kedua-duanya menerusi sepakan penalti Abd. Afees Abd. Salam (m-62) dan Victor Alejandro (m-88).

Pasukan Liga Perdana, Sabah pula mengejutkan Melaka 2-1 dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Gol skuad Badak dijaringkan Charles Obi menerusi sepakan penalti pada minit ke-5 dan gol padang Azrul Ijati Damsah minit ke-86 manakala gol tunggal Melaka dijaringkan Eduardo Escobar.

Pendahulu Liga Super, Perlis seperti dijangka mudah menewaskan Proton FC 4-0 dalam perlawanan di Stadium Utama, Kangar.

Gol-gol Perlis disumbang Francis Kombe (m-41), Philimon Chipieta (m-57) dan Azlan Ismail (m-63, 75)

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan NAZA diheret hingga ke masa tambahan sebelum mencatat kemenangan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam 90 minit permainan sebenar dan masa tambahan sebelum lapan pemain bagi setiap pasukan terpaksa membuat sepakan penalti bagi mencari pemenang.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, tuan rumah Kelantan menewaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 3-1.

DBKL bagaimanapun lebih dulu mengejutkan Kelantan dengan gol pendahuluan menerusi Mohd. Azmani Kadir pada minit ke- 32.

Namun, Kelantan bangkit dengan tiga gol bermula dengan jaringan Mohd. Saaufi Saaidi menerusi sepakan percuma pada minit ke-51.

Ini diikuti dengan dua lagi gol menerusi Gustaro Alberto Romeo (m-63) dan Khairan Eroza Razali (m-80).

Telekom Melaka juga melayakkan diri ke pusingan kedua selepas menewaskan Sarawak 2-0 dalam perlawanan di Stadium Petaling Jaya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sqi9YKkc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Jun 2017

Piala FA milik Pahang

ARKIB : 21/05/2006
Oleh: AMRAN MULUP dan NORZIE KHASBI
 
JUARA...SKUAD Pahang girang meraikan kejayaan bergelar juara Piala FA selepas menewaskan Perlis menerusi sepakan penalti 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.- Gambar ABDUL RAHMAN SALEH.

KUALA LUMPUR - Kekecewaan Pahang pada 1995 akhirnya terubat apabila dimahkotakan selaku juara Piala FA edisi ke-17 selepas menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad Tok Gajah terpaksa mengerah keringat sehingga mengharungi 120 minit babak perlawanan termasuk masa tambahan sebelum mendakap gelaran pertama persaingan bola sepak kalah mati negara itu selepas hanya muncul naib juara pada 1995.

Ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah muncul wira Pahang setelah meledakkan penalti keempat selepas Mitchell James Prentice, Josiah Seton dan Indra Putra Mahyuddin menyempurnakannya.

Buat Perlis, hanya Manzoor Azwira Wahid dan Madzlan Emoi menyepak masuk sedangkan sepakan Efendi Malik terkena palang dan Mohd. Lamin Conteh sempat diselamatkan penjaga gol Pahang.

Perlawanan akhir Piala FA ini merupakan kali ketiga yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas 1999 dan 2000 yang menyaksikan Kuala Lumpur dan Terengganu memenanginya.

Babak awal permainan ternyata kurang menyerlah akibat corak permainan berhati-hati kedua-dua pasukan malah tidak banyak gerakan cantik atau percubaan tepat menyapa pintu gol Pahang mahupun Perlis.

Hanya pada minit ke-24, sepakan percuma pemain Perlis, Adrien Jurad Chamrong sedikit mencabar kewibawaan penjaga gol Pahang, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.

Peluang terbaik mencipta jaringan Pahang muncul pada minit ke-27 namun sepakan lemah Josiah Seton sekadar singgah tepat ke dakapan penjaga gol Perlis, Amran Omar.

Pahang terpaksa mengeluarkan ketua pasukan, Hairuddin Omar untuk digantikan dengan pemain veteran, Azizul Kamaluddin akibat kecederaan yang kemudiannya bertukar pula dengan Ahmad Wahid.

Pada minit ke-53, skuad Singa Utara nyaris-nyaris memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan kencang Adrien ditepis keluar oleh Iqbal.

Mereka terus garang apabila cubaan Manzoor Azwira diselamatkan sebelum melintasi garisan gol oleh Shahril Faizal Sharifudin yang menolak keluar pada minit ke-61.

Pada minit ke-81, Pahang pula terlepas peluang menjaringkan gol apabila sepakan kencang Seton sekadar menyinggahi palang gol Perlis.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6St83Pr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 Jun 2017

Piala FA: Sarawak kena belasah



ARKIB : 13/04/2006
KUALA LUMPUR - Sarawak memilih jalan sukar ke separuh akhir Piala FA selepas menjadi mangsa belasahan pasukan kebangsaan Bawah 23 Tahun Singapura pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam.

Kekalahan besar 2-7 yang dialami pasukan bimbingan Jalil Rambli itu pasti menyukarkan mereka untuk bangkit pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching, 19 April ini.

Malang bagi Sarawak apabila kekalahan mereka itu turut dibantu dua gol sendiri pemainnya, Sanjos Sundawat (m-54) dan B. Rajinikandh (m-66).

Namun wira perlawanan semalam pastinya menjadi milik pemain pasukan Bawah 23 Singapura, Khairul Amri yang menjaringkan empat daripada lima lagi gol.

Jaringan Khairul pada minit ke-23, 36, 38 dan 42 itu menyentap semangat melawan Sarawak sebelum Shariff Abdul Samad mengukuhkan lagi kedudukan Bawah 23 Tahun Singapura dengan gol ketujuh pada minit ke-72.

Walaupun Mohd. Safee Sali berjaya menghasilkan kedua-dua gol Sarawak pada minit ke-33 dan 88 tetapi itu tidak cukup untuk mengurangkan defisit perbezaan gol yang dimiliki Bawah 23 Tahun Singapura.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l3m0DDlr
© Utusan Melayu (M) Bhd