Sabtu, 7 Jun 2014

Pahang tampil dalam kelas tersendiri

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
PARA pemain Pahang bersorak kegembiraan selepas berjaya menjulang gelaran juara Piala FA hasil kemenangan 2-1 ke atas Felda United pada final di Stadium Shah Alam, Selangor malam tadi.

PAHANG tampil dalam kelas tersendiri apabila memusnahkan impian Felda United pada perlawanan akhir Piala FA 2014 yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pada perlawanan yang disaksikan 60,000 penoton itu, Pahang menang 2-1 menerusi jaringan Mohd. Faizol Hussaini pada minit ke-79 dan Dickson Nwakaeme (88).

Pada aksi malam tadi, Pahang bermula hambar apabila dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Felda United pada minit ke-22 menerusi Edward Wilson Junior namun, Tok Gajah bangkit gagah pada separuh masa kedua untuk memusnahkan impian lawan mereka itu.

Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama lapan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Pahang.

Kejayaan itu juga membolehkan Pahang layak untuk beraksi dalam Piala AFC musim depan.

Pada perlawanan malam tadi, Pahang yang dilabel pasukan pilihan bermula hambar, namun selepas mendapat rentak, mereka dilihat garang melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan.

Penyerang import berbisa skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme terlebih dahulu menguji kekebalan penjaga gol The Fighters, Farizal Harun tetapi percubaannya tersasar pada minit kelima.

Tok Gajah terus mempamerkan persembahan agresif dengan melancarkan serangan bertali arus dan mereka hampir membuka jaringan menerusi bintang Argentina, Matias Conti.

Bagaimanapun, Conti gagal menendang masuk bola ke gawang Felda hasil hantaran kemas daripada pemain sayap Pahang, R. Gopinathan pada minit ke-16.

Ketika skuad Tok Gajah ghairah mencari gol pembukaan, saat-saat yang dinantikan Felda United akhirnya tiba apabila Edward Wilson Junior memastikan pasukannya mendahului perlawanan pada minit ke-22.

Jaringan itu hadir apabila penyerang kelahiran Liberia itu bijak meloloskan diri menerusi gerakan satu dua bersama perancang, Indra Putra Mahayuddin sebelum mudah menolak bola dan menewaskan penjaga gol Pahang, Md Khairul Azhan Khalid.

Bersambung di babak kedua, Felda United tidak memperlahankan tempo untuk terus mencari kedudukan lebih selesa dan hasilnya, Junior hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-49.

Begitupun, percubaan tepat Junior terkena tiang dan kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan berjaya mengeluarkan bola tersebut daripada kawasan bahaya.

Pahang hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Conti tetapi penjaga gol Felda, Farizal tenang menyelamatkan keadaan pada minit ke-52.

Namun, pencaturan Zainal memasukan Mohd. Faizol Hussaini akhirnya berbaloi apabila pemain kelahiran Johor Bahru itu meledak gol penyamaan pada minit ke-79.

Faizol yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Johor Darul Takzim 1-0 pada separuh akhir kedua Piala FA, berjaya melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh Farizal.

Skuad Tok Gajah melengkapkan kebangkitan bergaya apabila Dickson menjaringkan gol kemenangan Pahang pada minit terakhir perlawanan untuk mengesahkan kemenangan 2-1 memihak kepada Pahang.

Kali terakhir Pahang menjulang Piala FA ialah pada tahun 2006.

RUJUKAN-http://www.kosmo.com.my/kosmo 8.6.14

Kebangkitan dramatik Tok Gajah!

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FADHILUL IZMEL ISHAK
pengarang@utusan.com.my
PEMAIN-pemain Pahang meraikan kejayaan menjuarai Piala FA selepas menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.- MINGGUAN/MOHD. NAIM AZIZ
SHAH ALAM - Kebangkitan menakjubkan yang ditunjukkan Pahang pada 10 minit terakhir permainan menghadiahkan kejuaraan Piala FA buat kali kedua buat Tok Gajah sejak 2006 dengan menewaskan Felda United 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Ketika Felda kelihatan akan menamatkan perlawanan sebagai pemenang apabila selesa mendahului 1-0 hasil jaringan Edward Junior Wilson pada minit ke-23, segala-galanya berubah pada minit ke-80.

Mohd. Faizol Hussain yang dimasukkan menggantikan Azidan Sarudin pada minit ke-69 menukar segala cerita permainan apabila rembatan kaki kirinya dari luar kotak penalti menerjah jaring Felda, malah Farizal Harun sekadar terpaku memerhatikan bola.

Gol itu nyata menyalakan semangat api perjuangan pemain Tok Gajah dan jaringan yang dicari-cari hadir dua minit sebelum permainan memasuki masa kecederaan.

Melalui sepakan percuma diambil Mohd. Faizol, bola sekadar melantun mengenai kaki Farizal sebelum Dickson Nwakaeme menggamatkan kira-kira 50,000 penyokong Pahang yang hadir dengan meledak masuk gol kemenangan.

Kekalahan ini pasti sukar ditelan oleh anak-anak buah Irfan Bakti yang beraksi penuh berdisiplin sepanjang permainan, namun semangat juang dan pengalaman nyata berpihak kepada Tok Gajah.

Kejuaraan Piala FA ini juga memastikan Pahang menempah kejuaraan berganda pada musim ini selepas menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah selain turut menempah tiket Piala AFC musim hadapan.

Selain membawa pulang kejuaraan, Mohd. Faizol turut diumumkan pemain terbaik perlawanan akhir.

Berdasarkan kesebelasan utama yang diturunkan kedua-dua pasukan, tiada sebarang kejutan dengan Pahang mempertaruhkan Nwakaeme mengepalai jentera serangan, manakala Farizal Harun sembuh sepenuhnya untuk mengemudi gawang Felda.

Beraksi tanpa sebarang tekanan, Felda menceriakan 20,000 penyokong mereka dengan gol pendahuluan pada minit ke-23.

Orang lama, Indra Putra Mahayuddin menjadi perancang utama di sebalik jaringan pertama The Fighters selepas lorongan bolanya berjaya mencelah pertahanan Tok Gajah pantas dihidu Edward.

Penjaring terbanyak Liga Perdana Indonesia 2008/09 itu bijak memperdayakan Mohd.Khairul Azhan Khalid sebelum bola bergolek masuk ke dalam gawang Pahang.

Felda hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-49 namun pintu gol Pahang diselamatkan oleh tiang walaupun Khairul Azhan sudah tertewas dengan rembatan padu Edward.

Selepas melihat segala perencanaan tidak menjadi, jurulatih Pahang akhirnya melakukan rombakan taktikal dengan membawa masuk Fauzi Rozlan, Faizol dan Zesh Rehman.

Ia akhirnya memberikan pulangan berbaloi kepada Tok Gajah untuk pulang sebagai juara.
RUJUKAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140608/su_01/Kebangkitan-dramatik-Tok-Gajah#ixzz33zvoOWvs © Utusan Melayu (M) Bhd

TERKINI PAHANG 1-1 FELDA UNITED

OLEH – AHMAD BIN YAAKOB
Pahang                         1-1 Felda United
m-80 Faizul Hussin         m-23 Junior Wilson

PEMAIN PAHANG
01 Khairul Azhan Khalid
03 Saifulnizam Miswan
04 Damion Stewart
13 Razman Roslan -k
20 Sahrizan Salleh
08 Azidan Sarudin
09 Matias Conti
10 Dickson Nwakaeme
12 Azamuddin Akil
21 Hafiz Kamal
24 R.Gopinathan
PEMAIN GANTIAN

PEMAIN FELDA UNITED
30 Farizal Harun
26 Hasnizaidi Jamian
03 Yaroslav Krushelnitskiy
07 Khairul Ismail
18 Mohd Aizulridzwan Razali
11 Ahmad Syamim Yahya
15 Raimi Md Noor
12. Syukur Adan
23 Indraputra Mahayuddin
22 Junior Wilson
10 Zah Rahan Krangar
PEMAIN GANTIAN
19 Zahid Zaidon
08 Sahrulnizam Mustafa 



Jumaat, 6 Jun 2014

Misi berbeza 2 kapten

Oleh Sufian Abdul Hadi sukan@utusan.com.my
 
MOHD. Shukor Adan (kanan) turun dengan misi menghadiahkan kejuaraan sulung buat Felda, manakala Mohd. Razman Roslan mahu mengembalikan Piala FA kepada Pahang selepas 8 tahun.
SHAH ALAM - Mohd. Shukor Adan turun bersama misi untuk membantu Felda United melakar sejarah merangkul kejuaraan Piala FA buat kali pertama, manakala Mohd. Razman Roslan mahu mengembalikan trofi itu kepada Pahang selepas kali terakhir mereka memenanginya pada 2006.

Biarpun Felda dilabel sebagai pasukan underdog, Shukor percaya, status tersebut membuatkan dia lebih bersemangat untuk membuktikan skuad The Fighters mampu melakar kejutan.

Pemain tengah yang berasal dari Melaka itu mengakui, semangat pasukannya kini membara setelah dianggap pasukan bukan pilihan dalam perlawanan di Shah Alam, malam ini.

"Bagi saya, dilabel sedemikian tidak memberi masalah untuk jadi juara. Sebelum ini pun mereka tak jangka kami layak sehingga ke tahap ini.

"Ini membuktikan meskipun berstatus kelab, kami dapat menjalankan tugas yang terbaik untuk The Fighters. Memang ramai yang ramal Pahang akan menang, tapi itu tidak mematahkan semangat kami," kata kapten The Fighters itu pada sidang akhbar menjelang final Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam.

Sementara itu kapten Pahang, Razman mahu rakan-rakan sepasukan beraksi pada tahap terbaik bagi memastikan Tok Gajah dapat menjuarai Piala FA selepas kali terakhir memiliki trofi tersebut, lapan tahun lalu.

Pemain pertahanan itu berkata, jenteranya sudah bersedia sepenuhnya dan menasihatkan mereka supaya tidak memandang rendah kepada The Fighters.

"Memang kami tidak sabar untuk beraksi di final dan pemain telah bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi.

"Kita perlu fokus setiap minit. Masing-masing perlu bertanggungjawab dalam menjalankan tugas," kata pemain berusia 29 tahun itu.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140607/su_01/Misi-berbeza-2-kapten#ixzz33ufLjPkm © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 5 Jun 2014

'Tiada istilah pasukan pilihan'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
IRFAN (kanan) memberi kata-kata perangsang kepada para pemain Felda United pada sesi latihan di Pusat Latihan BSN, Bangi Selangor semalam.

KAPTEN Felda United, Muhammad Shukor Adan menegaskan, skuad The Fighters tidak akan memberikan laluan mudah kepada Pahang pada final Piala FA di Stadium Shah Alam malam esok.

Shukor melaungkan amaran itu meskipun skuad Tok Gajah dilabel sebagai pasukan pilihan berbanding skuad The Fighters.

Namun, bekas pemain Selangor dan Negeri Sembilan itu berkata, istilah ‘atas kertas’ tidak akan sesekali memberikan kelebihan buat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu.

Shukor mengakui bahawa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu telah bersedia untuk menyajikan satu persembahan bertenaga ketika menentang Pahang nanti.

“Apa yang kami lihat sekarang ini, semua orang memilih Pahang untuk menjadi Piala FA.

“Bagi saya, selama saya bermain bola sepak dalam mana-mana pentas final, perkara ini (menyaksikan Pahang dinobatkan sebagai juara Piala FA) tidak akan berlaku.

“Dulu, orang pilih pasukan yang kuat tetapi pasukan yang biasa pula menjadi juara.

“Pahang memang satu pasukan hebat tetapi kami perlu pastikan setiap individu kena berjaya atasi terutamanya dalam situasi satu lawan satu dalam aksi final nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Felda, Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Shukur tidak mahu pertukaran venue pentas final dijadikan sebagai satu alasan buat skuad The Fighters ketika menentang Pahang nanti.

Sebelum ini, FAM telah mengumumkan bahawa aksi final yang sepatutnya diadakan di Stadium Nasional telah ditukar ke Stadium Shah Alam kerana keadaan padang di stadium tersebut masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

FAM membuat keputusan itu selepas Perbadanan Stadium Malaysia tidak mahu menganggu kerja membaik pulih Stadium Nasional sejak ia ditutup pada 2 Disember tahun lalu.

Namun, segelintir penyokong terutamanya peminat-peminat Pahang, tidak bersetuju dengan keputusan FAM dan mendesak badan induk bola sepak negara itu mengubah kembali jadual aksi perlawanan akhir Piala FA tersebut ke Stadium Nasional.

Mengulas mengenai situasi tersebut, Shukur menegaskan bahawa Felda United tiada masalah untuk bermain di Stadium Shah Alam.

“Mungkin itu hanya masalah bagi penyokong. Pada pendapat saya, sama ada beraksi di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Bukit Jalil, ia tetap sama bagi pemain-pemain,” katanya.
 RUJUKAN- KOSMO ONLINE 6.6.14


Rabu, 4 Jun 2014

Felda United FC jual tiket mulai esok

2 Jun 2014
WAKIL kelab Felda United FC akan menjual tiket final Piala FA kepada penyokong mereka di Menara Felda, Jalan Tun Razak di sini bermula lewat petang esok.

Pengurus pasukan Datuk Jamaludin Ahmad berkata baki tiket perlawanan yang tidak terjual akan diagih kepada pengurus wilayah Felda di seluruh negara untuk dijual kepada penyokong pasukan itu.

Felda akan menentang Pahang pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Kita berharap penyokong kita turun beramai-ramai ke Shah Alam Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pasukan Felda United FC yang layak beraksi buat julung kali pada final Piala FA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Datuk Akbar V.V. Abu berkata pihaknya akan menjual tiket perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Mini Temerloh mulai Rabu ini.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan esok untuk memastikan kaedah agihan tiket untuk penyokong skuad 'Tok Gajah'.

"Menerusi mesyuarat ini, kita akan menentukan jumlah tiket yang akan diperuntukkan bagi setiap kaunter di dua stadium itu selain jumlah tiket yang bakal diagihkan kepada setiap persatuan bola sepak di setiap daerah seluruh Pahang," katanya.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2014 yang diadakan hari ini, FAM memperuntukkan 30,000 tiket untuk setiap pasukan dengan baki 10,000 lagi dijual menerusi dalam talian di www.tickethotline.com.my.

Harga tiket bagi dewasa ditetapkan pada RM40 manakala kanak-kanak RM5. 


Pahang mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 2-1 ke atas finalis musim lepas, Johor Darul Ta'zim, sementara Felda United FC ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan, setelah terikat agregat 5-5 dengan Kelantan. - Bernama

Ahad, 1 Jun 2014

'Kelantan tak boleh cari tiga gol'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
NDUMBA MAAECHE (kiri) memainkan peranan penting ketika membantu Felda United menyekat kemaraan Kelantan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

JURULATIH Felda United, Irfan Bakti Abu Salim akhirnya membuka mulut mengapa beliau tidak membenarkan skuad kendaliannya berlatih mengambil sepakan penalti dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala FA menentang Kelantan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Ini kerana Irfan optimis bahawa The Red Warriors tidak mampu untuk merobek gawang The Settlers lebih daripada tiga gol pada perlawanan tersebut.

Pada perlawanan tersebut, Felda telah berjaya mengikat juara bertahan itu dengan keputusan seri 2-2 dan merakamkan keputusan 5-5 secara agregat.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak-anak buah bimbingan George Boateng tersingkir daripada saingan Piala FA apabila Felda United mara ke pentas final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Sebelum aksi itu, Irfan mengakui ada beberapa saranan yang menyuruh pasukannya berlatih mengambil sepakan penalti menjelang aksi menentang Kelantan.

"Memang ada (saranan berlatih mengambil sepakan penalti) tetapi saya cukup yakin bahawa perlawanan tersebut tidak akan berlarutan sehingga ke sepakan penalti.

"Saya yakin bahawa Kelantan tidak akan mampu meledak tiga gol di Shah Alam (kelmarin) dan prestasi anak-anak buah saya juga semakin konsisten.

"Keyakinan itu hadir apabila kami berjaya mengikat mereka di (Stadium Sultan Muhammad IV) Kota Bharu dan dalam aksi itu, saya sendiri memberitahu pemain-pemain saya supaya menyelesaikan tugas mereka dalam tempoh 90 minit.

"Hasilnya, mereka berjaya layak ke final dan saya fikir kelebihan tiga gol di tempat lawan itu memberikan Felda satu kejayaan cukup bermakna," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain kejayaan Felda United yang layak buat pertama kali melangkah ke pentas final Piala FA, Irfan juga memiliki misi peribadi tersendiri ketika menentang Pahang di final nanti.

Irfan telah bersedia untuk memburu kejayaan peribadi dalam final keempat Piala FA selain berusaha membantu The Settlers muncul sebagai pasukan berstatus kelab pertama menjulang trofi tersebut dalam sejarah sejak 1990.

Sebagai rekod, Irfan pernah menjulang Piala sebanyak dua kali ketika bersama Terengganu (2011) dan Pulau Pinang (2002).

"Ini adalah final keempat Piala FA dalam karier saya. Sudah tentu saya ada misi peribadi.

"Pemain-pemain juga berazam untuk membantu Felda United melakarkan sejarah baharu dalam aksi final Piala FA.

"Jadi, kami akan memberikan fokus penuh kepada pertemuan menentang Pahang nanti," katanya.

RUJUKAN-http://www.kosmo.com.my/kosmo 2.6.14