Jumaat, 6 Jun 2014

Misi berbeza 2 kapten

Oleh Sufian Abdul Hadi sukan@utusan.com.my
 
MOHD. Shukor Adan (kanan) turun dengan misi menghadiahkan kejuaraan sulung buat Felda, manakala Mohd. Razman Roslan mahu mengembalikan Piala FA kepada Pahang selepas 8 tahun.
SHAH ALAM - Mohd. Shukor Adan turun bersama misi untuk membantu Felda United melakar sejarah merangkul kejuaraan Piala FA buat kali pertama, manakala Mohd. Razman Roslan mahu mengembalikan trofi itu kepada Pahang selepas kali terakhir mereka memenanginya pada 2006.

Biarpun Felda dilabel sebagai pasukan underdog, Shukor percaya, status tersebut membuatkan dia lebih bersemangat untuk membuktikan skuad The Fighters mampu melakar kejutan.

Pemain tengah yang berasal dari Melaka itu mengakui, semangat pasukannya kini membara setelah dianggap pasukan bukan pilihan dalam perlawanan di Shah Alam, malam ini.

"Bagi saya, dilabel sedemikian tidak memberi masalah untuk jadi juara. Sebelum ini pun mereka tak jangka kami layak sehingga ke tahap ini.

"Ini membuktikan meskipun berstatus kelab, kami dapat menjalankan tugas yang terbaik untuk The Fighters. Memang ramai yang ramal Pahang akan menang, tapi itu tidak mematahkan semangat kami," kata kapten The Fighters itu pada sidang akhbar menjelang final Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam.

Sementara itu kapten Pahang, Razman mahu rakan-rakan sepasukan beraksi pada tahap terbaik bagi memastikan Tok Gajah dapat menjuarai Piala FA selepas kali terakhir memiliki trofi tersebut, lapan tahun lalu.

Pemain pertahanan itu berkata, jenteranya sudah bersedia sepenuhnya dan menasihatkan mereka supaya tidak memandang rendah kepada The Fighters.

"Memang kami tidak sabar untuk beraksi di final dan pemain telah bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi.

"Kita perlu fokus setiap minit. Masing-masing perlu bertanggungjawab dalam menjalankan tugas," kata pemain berusia 29 tahun itu.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140607/su_01/Misi-berbeza-2-kapten#ixzz33ufLjPkm © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 5 Jun 2014

'Tiada istilah pasukan pilihan'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
IRFAN (kanan) memberi kata-kata perangsang kepada para pemain Felda United pada sesi latihan di Pusat Latihan BSN, Bangi Selangor semalam.

KAPTEN Felda United, Muhammad Shukor Adan menegaskan, skuad The Fighters tidak akan memberikan laluan mudah kepada Pahang pada final Piala FA di Stadium Shah Alam malam esok.

Shukor melaungkan amaran itu meskipun skuad Tok Gajah dilabel sebagai pasukan pilihan berbanding skuad The Fighters.

Namun, bekas pemain Selangor dan Negeri Sembilan itu berkata, istilah ‘atas kertas’ tidak akan sesekali memberikan kelebihan buat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu.

Shukor mengakui bahawa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu telah bersedia untuk menyajikan satu persembahan bertenaga ketika menentang Pahang nanti.

“Apa yang kami lihat sekarang ini, semua orang memilih Pahang untuk menjadi Piala FA.

“Bagi saya, selama saya bermain bola sepak dalam mana-mana pentas final, perkara ini (menyaksikan Pahang dinobatkan sebagai juara Piala FA) tidak akan berlaku.

“Dulu, orang pilih pasukan yang kuat tetapi pasukan yang biasa pula menjadi juara.

“Pahang memang satu pasukan hebat tetapi kami perlu pastikan setiap individu kena berjaya atasi terutamanya dalam situasi satu lawan satu dalam aksi final nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Felda, Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Shukur tidak mahu pertukaran venue pentas final dijadikan sebagai satu alasan buat skuad The Fighters ketika menentang Pahang nanti.

Sebelum ini, FAM telah mengumumkan bahawa aksi final yang sepatutnya diadakan di Stadium Nasional telah ditukar ke Stadium Shah Alam kerana keadaan padang di stadium tersebut masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

FAM membuat keputusan itu selepas Perbadanan Stadium Malaysia tidak mahu menganggu kerja membaik pulih Stadium Nasional sejak ia ditutup pada 2 Disember tahun lalu.

Namun, segelintir penyokong terutamanya peminat-peminat Pahang, tidak bersetuju dengan keputusan FAM dan mendesak badan induk bola sepak negara itu mengubah kembali jadual aksi perlawanan akhir Piala FA tersebut ke Stadium Nasional.

Mengulas mengenai situasi tersebut, Shukur menegaskan bahawa Felda United tiada masalah untuk bermain di Stadium Shah Alam.

“Mungkin itu hanya masalah bagi penyokong. Pada pendapat saya, sama ada beraksi di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Bukit Jalil, ia tetap sama bagi pemain-pemain,” katanya.
 RUJUKAN- KOSMO ONLINE 6.6.14


Rabu, 4 Jun 2014

Felda United FC jual tiket mulai esok

2 Jun 2014
WAKIL kelab Felda United FC akan menjual tiket final Piala FA kepada penyokong mereka di Menara Felda, Jalan Tun Razak di sini bermula lewat petang esok.

Pengurus pasukan Datuk Jamaludin Ahmad berkata baki tiket perlawanan yang tidak terjual akan diagih kepada pengurus wilayah Felda di seluruh negara untuk dijual kepada penyokong pasukan itu.

Felda akan menentang Pahang pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Kita berharap penyokong kita turun beramai-ramai ke Shah Alam Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pasukan Felda United FC yang layak beraksi buat julung kali pada final Piala FA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Datuk Akbar V.V. Abu berkata pihaknya akan menjual tiket perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Mini Temerloh mulai Rabu ini.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan esok untuk memastikan kaedah agihan tiket untuk penyokong skuad 'Tok Gajah'.

"Menerusi mesyuarat ini, kita akan menentukan jumlah tiket yang akan diperuntukkan bagi setiap kaunter di dua stadium itu selain jumlah tiket yang bakal diagihkan kepada setiap persatuan bola sepak di setiap daerah seluruh Pahang," katanya.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2014 yang diadakan hari ini, FAM memperuntukkan 30,000 tiket untuk setiap pasukan dengan baki 10,000 lagi dijual menerusi dalam talian di www.tickethotline.com.my.

Harga tiket bagi dewasa ditetapkan pada RM40 manakala kanak-kanak RM5. 


Pahang mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 2-1 ke atas finalis musim lepas, Johor Darul Ta'zim, sementara Felda United FC ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan, setelah terikat agregat 5-5 dengan Kelantan. - Bernama

Ahad, 1 Jun 2014

'Kelantan tak boleh cari tiga gol'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
NDUMBA MAAECHE (kiri) memainkan peranan penting ketika membantu Felda United menyekat kemaraan Kelantan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

JURULATIH Felda United, Irfan Bakti Abu Salim akhirnya membuka mulut mengapa beliau tidak membenarkan skuad kendaliannya berlatih mengambil sepakan penalti dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala FA menentang Kelantan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Ini kerana Irfan optimis bahawa The Red Warriors tidak mampu untuk merobek gawang The Settlers lebih daripada tiga gol pada perlawanan tersebut.

Pada perlawanan tersebut, Felda telah berjaya mengikat juara bertahan itu dengan keputusan seri 2-2 dan merakamkan keputusan 5-5 secara agregat.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak-anak buah bimbingan George Boateng tersingkir daripada saingan Piala FA apabila Felda United mara ke pentas final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Sebelum aksi itu, Irfan mengakui ada beberapa saranan yang menyuruh pasukannya berlatih mengambil sepakan penalti menjelang aksi menentang Kelantan.

"Memang ada (saranan berlatih mengambil sepakan penalti) tetapi saya cukup yakin bahawa perlawanan tersebut tidak akan berlarutan sehingga ke sepakan penalti.

"Saya yakin bahawa Kelantan tidak akan mampu meledak tiga gol di Shah Alam (kelmarin) dan prestasi anak-anak buah saya juga semakin konsisten.

"Keyakinan itu hadir apabila kami berjaya mengikat mereka di (Stadium Sultan Muhammad IV) Kota Bharu dan dalam aksi itu, saya sendiri memberitahu pemain-pemain saya supaya menyelesaikan tugas mereka dalam tempoh 90 minit.

"Hasilnya, mereka berjaya layak ke final dan saya fikir kelebihan tiga gol di tempat lawan itu memberikan Felda satu kejayaan cukup bermakna," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain kejayaan Felda United yang layak buat pertama kali melangkah ke pentas final Piala FA, Irfan juga memiliki misi peribadi tersendiri ketika menentang Pahang di final nanti.

Irfan telah bersedia untuk memburu kejayaan peribadi dalam final keempat Piala FA selain berusaha membantu The Settlers muncul sebagai pasukan berstatus kelab pertama menjulang trofi tersebut dalam sejarah sejak 1990.

Sebagai rekod, Irfan pernah menjulang Piala sebanyak dua kali ketika bersama Terengganu (2011) dan Pulau Pinang (2002).

"Ini adalah final keempat Piala FA dalam karier saya. Sudah tentu saya ada misi peribadi.

"Pemain-pemain juga berazam untuk membantu Felda United melakarkan sejarah baharu dalam aksi final Piala FA.

"Jadi, kami akan memberikan fokus penuh kepada pertemuan menentang Pahang nanti," katanya.

RUJUKAN-http://www.kosmo.com.my/kosmo 2.6.14

Felda bukan lawan kerdil

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
 
PEMAIN-pemain Pahang meraikan kejayaan menyingkirkan Johor Darul Ta'zim pada separuh akhir minggu lalu untuk menempah pertemuan dengan Felda United dalam perlawanan akhir Piala FA, hujung minggu ini.
KUANTAN - Walaupun lawan mereka cuma sebuah kelab Liga Perdana, namun Pahang mula membuka mata terhadap keupayaan Felda United menjelang final Piala FA, Sabtu ini selepas melihat pasukan itu mengejutkan juara bertahan, Kelantan pada separuh akhir kelmarin.

Tonggak paling senior dalam skuad Tok Gajah, Jalaludin Jaafar mengakui, kehadiran pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Shukor Adan membawa impak besar terhadap Felda.

Malah, faktor bahawa Pahang tidak pernah berdepan pasukan itu musim ini menjadikan pertarungan hujung minggu ini pasti mendebarkan.

"Pahang tidak pernah bertemu Felda United musim ini kerana mereka bermain dalam Liga Perdana, jadi kita memang tidak tahu banyak corak permainan serta taktikal pasukan itu.

"Tetapi selepas melihat bagaimana mereka menewaskan Kelantan semalam (kelmarin), saya dapati Felda adalah sebuah pasukan yang amat bagus biarpun sekadar berstatus kelab.

"Mereka berjaya mengekang asakan Kelantan serta mengatur sera­ngan yang kemas," ujar Jalaludin.

Felda United memahat sejarah apabila menempah pertemuan akhir Piala FA menentang Pahang, Sabtu ini setelah berjaya mengikat The Red Warriors 2-2 pada saingan separuh kedua Piala FA kelmarin.

Terikat menerusi agregat 5-5 setelah seri pada separuh akhir pertama 3-3, skuad The Settlers itu layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Jalaludin berkata, selain dibarisi beberapa pemain senior, Felda United turut dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang pasti mempunyai pe­rancangan terbaik pada perlawanan akhir itu nanti.

Sementara itu, seorang lagi pemain Pahang, Mohd. Fauzi Roslan atau Kojie berkata, dia berharap rakan-rakannya tidak memandang rendah Felda United biarpun pasukan berkenaan hanya berstatus kelab.

"Kita sendiri dapat lihat dalam saingan Liga Perdana, Felda Uni­ted menunjukkan permainan yang cukup bagus, begitu juga dalam sai­ngan Piala FA kali ini.

"Saya harap rakan-rakan pemain akan terus fokus, bermain seperti diarahkan jurulatih untuk kita menjuarai Piala FA musim ini," katanya.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140602/su_07/Felda-bukan-lawan-kerdil#ixzz33RxFb9RL © Utusan Melayu (M) Bhd

Keazaman tinggi dorong Tok Gajah

ROSILAWATI ROSEDI
1 Jun 2014
Luciano Figueroa (JDT, kanan) dan Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
Luciano Figueroa (JDT, kanan) dan Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Luciano Figueroa (JDT, kanan) dan Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

KERJA keras dan bermain satu pasukan menjadi formula kejayaan skuad Tok Gajah melangkah ke pentas final Piala FA 2014 selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT), 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Pada saingan separuh akhir kedua itu, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan mara ke perlawanan akhir akhir dengan agregat 2-1 sekali gus menebus kehampaan musim lalu di tangan lawan sama.

Zainal memberitahu, pemain mempamerkan komitmen dan keazaman tinggi untuk melakar kejayaan di hadapan penyokong sendiri.

“Walaupun skuad ini dikatakan tempang kerana ketiadaan tiga tonggak utama, namun mereka (pemain) buktikan kesungguhan dan bekerja keras hingga mampu menebus duka musim lalu.

“Saya bangga dan gembira dengan komitmen mereka walaupun sebelum ini sedikit gusar apatah lagi dua pertemuan menentang Selangor dan Terengganu tidak memihak Pahang,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, pemain berjaya menyerap tekanan dan tidak terikut-ikut dengan rentak Harimau Selatan.

Menurutnya lagi, pemain juga mampu mengawal permainan dan berusaha keras khususnya pada babak kedua sehingga berjaya membolosi gawang lawan.

“Saya berterima kasih kepada pemain dan mengharapkan mereka mempamerkan aksi terbaik apabila beraksi di pentas final nanti,” katanya.

SINAR HARIAN ONLINE 1.6.14

The Red Warriors kempunan

The Red Warriors kempunan
 
PEMAIN Kelantan, Hussien Alaa Salma (dua dari kanan) merembat bola ke pintu gol Felda ketika seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi. Felda United layak ke final Piala FA 2014 menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 7 Jun depan.

IMPIAN Kelantan untuk melakarkan sejarah baharu menjadi pasukan pertama menjuarai kempen Piala FA buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas terikat 2-2 dengan Felda United pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.

Keputusan seri itu sudah memadai buat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim untuk melangkah ke pentas final berdasarkan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 5-5.

Dalam aksi malam tadi, Kelantan terlebih dahulu melancarkan beberapa percubaan tepat ke gawang pintu gol Felda.

Namun, dua percubaan tepat yang dilancarkan Khairul Izuan Rosli dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria gagal membolosi gawang Felda yang dikawal Farizal Harun pada minit pertama dan ketiga.

Bagaimanapun, serangan bertali arus itu tidak menjejaskan semangat skuad The Settlers apabila bekas tonggak skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah apabila meledakkan gol pertama pada minit ke-20.

Kelebihan anak-anak Irfan Bakti hanya bertahan selama lapan minit apabila Khairul Izuan menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang yang gagal didakap kemas Farizal.

Kerancakan perlawanan semakin dirasai apabila penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe meletakkan skuad bimbingan George Boateng di depan pada minit ke-34.

Tersentak dengan jaringan itu, Felda kembali mengatur gerak dan hasilnya, Edward Junior Wilson meletakkan skuad The Settlers di landasan tepat ke pentas final.

Penyerang kelahiran Liberia itu melepaskan satu rembatan yang cukup menarik, sekali gus menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat pada masa kecederaan babak pertama.

Pada separuh masa kedua, skuad The Red Warriors menggandakan usaha untuk merobek gawang skuad The Settlers tetapi Farizal berjaya menyelamatkan beberapa percubaan tepat yang dilancarkan Kelantan, sekali gus keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan itu menyaksikan Felda United muncul sebagai pasukan berstatus kelab kedua yang layak ke pentas final selepas Sime Darby layak ke final sebelum tewas 0-1 kepada Kelantan pada tahun 2011.

Skuad The Settlers membuat penampilan sulung dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2007.

Mereka menduduki tempat ketiga dan berjaya menjuarai Liga Premier 2010.

Felda United bakal berentap dengan Pahang yang menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-1 secara agregat pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.
RUJUKAN-

http://www.kosmo.com.my/kosmo.1.6.14