Isnin, 21 Oktober 2019

Chempaka temua Perak pusingan kedua


ARKIB : 06/05/1998
CHEMPAKA Negeri Sembilan mara ke pusingan kedua bola sepak Piala FA apabila menang menerusi agregat 4-2 selepas mencatat kejayaan 2-1 ke atas Tentera pada perlawanan kedua pusingan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Chempaka yang berbekalkan satu gol selepas menang 2-1 di Paroi pada perlawanan pertama, memperoleh jaringan menerusi Yusafizan Johar pada minit ke-47 dan A. Ravichandran menambah gol kedua minit ke-68. Gol tunggal Tentera dijaringkan oleh Mohd. Rosdi Tahir minit ke-88.
Chempaka akan bertemu Perak pada perlawanan pertama pusingan kedua di Ipoh, 19 Mei ini.
Pasukan tuan rumah menguasai permainan dengan kerap membuat asakan ke kubu lawan tetapi penyudah yang lemah gagal mengubah kedudukan. Tiada sebarang percubaan menarik daripada kedua-dua pasukan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Bagai sesuatu yang menyuntik semangat Chempaka apabila bertindak garang babak kedua dengan permainan lebih agresif.
Hanya dua minit sebaik babak kedua bermula, gawang Tentera bergegar apabila hantaran lintang Mohamad Rizal Harun disambar kemas oleh Yusafizan yang tidak dikawal untuk gol pembukaan.
Jaringan Yusafizan menyemarakkan semangat rakan dengan serangan demi serangan diatur. Yusafizan berpeluang menambah jaringan pada minit ke-63 tetapi gagal menolak masuk ke gawang selepas mendapat hantaran cantik Stephen Abarowei.
Begitupun, Chempaka terus mengasak ke pintu gol Tentera dan Ravichandran menggembirakan pasukan dengan gol kedua hasil percubaan dari jarak 20 meter yang menuju tepat ke penjuru gawang Tentera.
Namun, dua minit sebelum permainan tamat, Rosdi merapatkan kedudukan apabila menolak masuk selepas berlaku perebutan di depan gawang Chempaka tetapi jaringannya gagal mengubah kedudukan.
Sementara itu di Stadium Merdeka, Polis mara ke pusingan kedua selepas menang dengan agregat 4-3 ke atas Malay Mail.
Pada perlawanan kedua malam tadi, Polis menang 3-1. Polis mendahului menerusi Darul Nazri Daniyan pada minit ke-10 yang merembat masuk tendangan sudut oleh ketua pasukan Polis, Zulkhairi Mohd. Zabidi menewaskan penjaga gol Malay Mail, M. Pavalamani. Polis yang tewas 1-2 pada pertemuan pertama menghasilkan gol kedua menerusi El Mustaffa Azour pada minit ke-24.
Sepuluh minit kemudian, pemain gantian Malay Mail, Robert Paul menjaringkan gol untuk mengikat agregat 3-3. Darul Nazri menjaringkan gol kemenangn Polis minit ke-78.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menewaskan Johor FC 2-1.
Namun kemenangan itu belum cukup untuk tuan rumah menghalang Johor FC daripada meneruskan kemaraan ke pusingan kedua dengan kelebihan agregat 3-2.
Pada pusingan pertama Johor FC menang 2-0. Pemain import Johor FC, Aytek Genc memulakan jaringan pada minit ke-39 untuk mendahului 1-0.
Menyedari lawanya semakin kukuh dengan kelebihan agregat 3-0 Terengganu menggandakan asakan menerusi Badrul Hisham Abdullah dan juga Jozsef Kovach yang akhirnya berjaya menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat menerusi Anuar Jusoh.
Babak kedua ternyata menjadi milik Terengganu dengan gerakan-gerakan yang bahaya Badrul Hisham, Anuar, Kovach berjaya memecah kubu lawan.
Gerakan Anuar Jusoh pada minit ke-73 berjaya meletakkan Terengganu dihadapan, hantarannya mudah disudahi oleh Sapian Wahid yang tidak dikawal.
Pada perlawanan lain di Stadium Kubu, Melaka turut layak menerusi agregat 8-3 selepas menumpaskan Melaka Telekom dengan 4-2.
Gol Melaka diperolehi menerusi jaringan Arfandy Lokman pada minit ke-41, John Onwudegu (52), Belle Belle Yves (61) dan S. Sivaram minit ke-73.
Gol Melaka Telekom pula dijaringkan oleh Isaac Kuffour (25) dan Manzoor Azwira Wahid minit ke-88).
Melaka Telekom bagaimanapun tidak mudah putus asa dan merapatkan jurang gol untuk keputusan 4-2 hasil jaringan Manzoor Azwira Wahid, dua minit sebelum perlawanan tamat.

Rabu, 24 Julai 2019

Baddrol idam gelaran keempat


 BADDROL BAKHTIAR (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan
BADDROL BAKHTIAR (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Darul Aman semalam menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak Sabtu ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
24 Julai 2019 9:28 PM
KUALA LUMPUR - Selepas membantu Kedah merangkul gelaran Piala FA sebanyak tiga kali sebelum ini, kapten Baddrol Bakhtiar mengintai peluang untuk melakukan buat kali keempat pula apabila Lang Merah turun menentang Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain kebangsaan itu yang meraih trofi Piala FA bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2017 menjangkakan saingan sengit bakal ditampilkan Bos Gaurus yang kali terakhir mendakap Piala FA pada 2004.


Pemain tengah skuad Lang Merah itu pada masa sama turut mengakui, aksi kali ini agak istimewa kerana melibatkan dua wakil utara selepas edisi 2007 yang menyaksikan Kedah mengatasi Perlis 4-2 menerusi sepakan penalti pada aksi final di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Persediaan kami berjalan seperti biasa dan saya berharap rakan sepasukan dapat teruskan momentum cemerlang dalam saingan Liga Super ke final Piala FA dan saya harapkan keputusan positif pada kali ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Baddrol mengakui undian mudah yang diterima Kedah dalam saingan Piala Malaysia 2019 yang bermula awal bulan depan, dapat dijadikan dorongan untuk memburu keputusan positif kali ini.

Baddrol bagaimanapun, mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah keupayaan tiga pasukan lain dalam kumpulan A iaitu Terengganu FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan yang turut mempunyai peluang sama rata.

“Apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan A, ia sedikit sebanyak memberi satu motivasi kepada saya dan rakan sepasukan, dan kami seharusnya tidak mengambil mudah saingan sengit daripada tiga pasukan ini,” jelas Baddrol.

Pada aksi separuh akhir, Perak menewaskan Pahang dengan aggregat 4-3, manakala Kedah mengatasi Felda United menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3. – BERNAMA
SUMBER-UTUSAN ONLINE 24 Julai 2019 9:28 PM

Jumaat, 1 Februari 2019

Bayangan juara Piala FA


ARKIB : 06/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 KOTA BHARU - Pertembungan dua jaguh pantai Timur, Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super hari ini, disifatkan sebagai 'pembayang' siapa bakal memenangi final Piala FA di antara kedua-dua pasukan pada Sabtu ini.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, ia berpihak Red Warriors apabila menumbangkan skuad Penyu 3-0 pada pusingan kedua, selepas hanya seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu.

Namun musim ini ceritanya berbeza apabila kedua-dua pasukan berkongsi mata pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, awal Februari lalu.

Tugas sukar menanti pengendali Kelantan Datuk M.Karathu untuk merencanakan ramuan terbaik untuk memastikan Red Warriors membawa pulang tiga mata dalam usaha untuk mengukuhkan cengkaman tangga teratas Liga Super.

Meskipun turun tanpa penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat serta pertahanan kental, Zairul Fitree Ishak yang digantung, ia tidak menjejaskan peluang Red Warriors.

Ketiadaan Khairul Fahmi membuka peluang kepada Mohd. Shahrizan Ismail.

Begitu juga dengan posisi Zairul Fitree, yang akan diambil alih oleh Abdul Aziz Ismail.

Kembalinya, Dausu Jamaludin daripada penggantungan, akan memantapkan semula pertahanan Kelantan bersama Mohd. Farisham Ismail, S.Subramaiam serta Abdul Aziz Ismail.

Mereka mampu mengekang jentera serangan tuan rumah yang diketuai oleh penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat.

Kelibat penggempur sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingan S.Chanturu sekali lagi ditagih oleh peminat Red Warriors untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah seterusnya mengecewakan Mohd. Sarbinee Alaweedi di gawang gol Terengganu.

Berlainan pula bagi pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, selepas dimalukan 0-1 oleh Kedah pada perlawanan lalu, mereka pastikan berjuang berhabis-habisan, untuk merampas puncak liga.

Turun tanpa kelibat dua tonggak iaitu perancang tengah Mohd. Assahari Samsudin yang digantung serta pemain pertahanan Helmi Rameli, yang menyarung jersi skuad Olimpik negara, ia bukan masalah besar buat pengendali berpengalaman itu.

Kelibat Marzuki Yusoff pastinya akan ditagih untuk mengekang jentera serangan Kelantan.

Gandingan Joseph Kalang Tie, Ismail Faruqi Asha'ri dan Reeshafiq Alwi akan merencanakan jentera tengah Terengganu.

Ketajaman penyudah Abdul Hadi Yahya pastinya ditagih oleh Terengganu untuk terus meledakkan gol. Pengalaman yang diraih bersama Harimau Malaya pada perlawanan dengan Hong Kong Jumaat lalu pasti akan gunakan sebaik mungkin dalam perlawanan ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5eM3kFsc3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA: Selangor dibelasah teruk

ARKIB : 14/05/2011
 
Pemain Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal (tiga dari kiri) berjaya melepasi halangan dua pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak (dua dari kiri) dan Mohd. Nurul Azwan Roya pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi. Kelantan menang 5-1. – UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

KUALA LUMPUR - Sebelah tangan Kelantan sudah menguak pintu perlawanan akhir selepas membelasah Selangor 5-1 pada separuh akhir bola sepak Piala FA sementara Terengganu bangkit dengan mengagumkan untuk turut merebut satu lagi tiket setelah mengatasi Pahang 3-2, malam tadi.

Anak buah K. Devan yang juga juara 2009, bagaikan ‘dipukau’ dengan dua gol Ramzul Zahini Adnan pada minit ke-10 dan 40 selain masing-masing satu daripada ketua pasukan, Badri Radzi (43), Nurul Azwan Roya (67) dan Norshahrul Idlan Talaha (71) di Stadium Shah Alam.

Tuan rumah beroleh gol sagu hati menerusi ketua pasukan, Amri Yahyah dalam masa kecederaan untuk mencari sedikit modal bagi terus bersaing pada separuh akhir kedua, Isnin ini sekalipun menempah laluan yang amat berliku apatah lagi dengan peraturan jaringan tempat lawan.

Sebaliknya, pelawat bimbingan Datuk M. Karathu bakal kembali ke Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dengan cukup selesa malah sudah boleh memikirkan untuk hanya menurunkan barisan simpanan mahupun lebih banyak bertahan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula, Tok Gajah pula mensia-siakan pendahuluan dua gol menerusi sepakan bebas kaki kiri Munir Amran dan R. Surendren masing-masing pada minit ke-47 dan 54 gara-gara kelalaian barisan belakangnya pada setengah jam terakhir.

Terengganu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim sebaliknya kembali garang malah memanfaatkan keadaan tertekan lawan apabila merapatkan kedudukan menerusi jaringan sendiri pemain Pahang, Saifulnizam Miswan pada minit ke-63 yang tertampan sepakan Ashari Samsudin.

Wan Aliff Jasmi menambah derita tuan rumah dengan tandukan jarak dekatnya pada minit ke-81 sebelum Ismail Faruqi memastikan Sang Penyu beroleh kemenangan dan kelebihan satu gol di Kuala Terengganu, Isnin ini menerusi tandukannya dalam minit terakhir perlawanan.

Sementara itu, PKNS menempah tempat kenaikan ke Liga Super musim depan (sekiranya tiada pindaan peraturan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) setelah menumpaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya.

Kelab Selangor bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kini mengumpul 45 mata daripada 17 perlawanan sekali gus sukar dikejar untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok dua teratas Liga Perdana dan dipisahkan dengan sembilan mata berbanding Sarawak.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eKmyL9nw
© Utusan Melayu (M) Bhd