ARKIB : 21/05/2006
Oleh: AMRAN MULUP dan NORZIE
KHASBI
JUARA...SKUAD Pahang girang
meraikan kejayaan bergelar juara Piala FA selepas menewaskan Perlis menerusi
sepakan penalti 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Kuala Lumpur, malam tadi.- Gambar ABDUL RAHMAN SALEH.
KUALA LUMPUR - Kekecewaan
Pahang pada 1995 akhirnya terubat apabila dimahkotakan selaku juara Piala FA
edisi ke-17 selepas menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti
dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Skuad Tok Gajah terpaksa
mengerah keringat sehingga mengharungi 120 minit babak perlawanan termasuk masa
tambahan sebelum mendakap gelaran pertama persaingan bola sepak kalah mati
negara itu selepas hanya muncul naib juara pada 1995.
Ketua pasukan, Norhafiz Zamani
Misbah muncul wira Pahang setelah meledakkan penalti keempat selepas Mitchell
James Prentice, Josiah Seton dan Indra Putra Mahyuddin menyempurnakannya.
Buat Perlis, hanya Manzoor
Azwira Wahid dan Madzlan Emoi menyepak masuk sedangkan sepakan Efendi Malik
terkena palang dan Mohd. Lamin Conteh sempat diselamatkan penjaga gol Pahang.
Perlawanan akhir Piala FA ini
merupakan kali ketiga yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas 1999 dan
2000 yang menyaksikan Kuala Lumpur dan Terengganu memenanginya.
Babak awal permainan ternyata
kurang menyerlah akibat corak permainan berhati-hati kedua-dua pasukan malah
tidak banyak gerakan cantik atau percubaan tepat menyapa pintu gol Pahang
mahupun Perlis.
Hanya pada minit ke-24, sepakan
percuma pemain Perlis, Adrien Jurad Chamrong sedikit mencabar kewibawaan
penjaga gol Pahang, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.
Peluang terbaik mencipta
jaringan Pahang muncul pada minit ke-27 namun sepakan lemah Josiah Seton
sekadar singgah tepat ke dakapan penjaga gol Perlis, Amran Omar.
Pahang terpaksa mengeluarkan
ketua pasukan, Hairuddin Omar untuk digantikan dengan pemain veteran, Azizul
Kamaluddin akibat kecederaan yang kemudiannya bertukar pula dengan Ahmad Wahid.
Pada minit ke-53, skuad Singa
Utara nyaris-nyaris memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan kencang
Adrien ditepis keluar oleh Iqbal.
Mereka terus garang apabila
cubaan Manzoor Azwira diselamatkan sebelum melintasi garisan gol oleh Shahril
Faizal Sharifudin yang menolak keluar pada minit ke-61.
Pada minit ke-81, Pahang pula
terlepas peluang menjaringkan gol apabila sepakan kencang Seton sekadar
menyinggahi palang gol Perlis.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6St83Pr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan