Selasa, 28 Mac 2017

Piala FA dicemari kekasaran

ARKIB : 20/02/2003
AKSI pusingan pertama Piala FA 2003 dicemari kekasaran dalam perlawanan yang menyaksikan Telekom Melaka menewaskan SKMK Kelantan 2-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam.

Telekom yang menjadi tuan rumah memperoleh jaringan menerusi sepakan penalti pemain import Isaac Kuffour pada minit ke-45 dan K. Kumaran pada minit ke-68.

SKMK yang membalas menerusi Safri Che Mat pada minit ke-22 semakin tertekan setelah ketua pasukannya, Mat Anuar Semail dan Mohd. Faizal Asmar diperintahkan keluar padang kerana mengasari pemain lawan.

Pemain-pemain dan pegawai pasukan SKMK kemudiannya terpaksa diberikan kawalan oleh pihak Polis ketika keluar meninggalkan stadium.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis yang sebelum ini membelasah Terengganu 4-0 dalam Liga Perdana Satu terus mengaum garang apabila menewaskan Tentera 2-0 menerusi jaringan Mohd. Nazaruddin Zain (minit ke-38) dan pemain import Phillemon Chipieta (m-46).

Pasukan kelab, Public BANK Selangor pula mencipta kejutan apabila menundukkan pasukan pilihan, Kedah 3-1 di Stadium Selayang, Kuala Lumpur. Public Bank harus berterima kasih kepada dua gol pemain importnya, Ivan Ziga (m-27 dan 33) sebelum Paul Raj menambah gol ketiga (m-49).

Kedah, yang merupakan juara Perdana Dua tahun lepas berusaha bangkit tetapi hanya mampu membalas menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-68).

Di Stadium Petaling Jaya, hasrat MPPJ Selangor untuk mendapat tiga mata penuh dileburkan oleh jaringan penyamaan pasukan pelawat pada minit-minit terakhir perlawanan untuk seri 1-1 dengan Melaka.

MPPJ Selangor mendahului menerusi tendangan cantik Bruno Marte Lotto (m-28) tetapi Melaka bangkit menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang Ahmad Termizi Saiban (m-81).

Sementara itu, Sarawak mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Perak TKN di Stadium Sarawak, Kuching.

Gol pasukan tuan rumah diperolehi menerusi Ramles Sari (minit ke-13), Ramos Sari (m-48), Robert Ishun (m-57) dan Mohamad Amri Hamlet (m-73).

Kelantan pula menempa kekalahan kali kedua berturut-turut kepada Pahang apabila tunduk 2-1 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Pahang memperoleh jaringan menerusi Juzaili Samion (m-34) dan Md. Fadzli Saari (m-60). Kelantan yang kalah 4-1 kepada Pahang di tempat yang sama dalam kempen Perdana Satu pada Sabtu lepas membalas menerusi Helton Soares Pereira dari Brazil (m-64).

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur tumpas kepada Terengganu 3-1.

Pasukan pelawat memperoleh gol menerusi Norsyazuwan Md. Nor (m-20), Shahalrizam Mat Rani (m-65 dan 80). Kuala Lumpur memperoleh gol tunggalnya menerusi Lubomir Horochonic (m-68).

Pemain Terengganu, Norisham Hassan diperintah keluar padang oleh pengadil, Muhammad Naim Nair Abdullah dari Selangor pada minit ke-87 kerana mengkasari lawan.

smberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cceaJGQz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan