ARKIB : 26/02/2003
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
AKSI perlawanan kedua pusingan
pertama bola sepak Piala FA 2003 tentunya semakin menarik, bukan sekadar
mencari pemenang untuk mencerahkan peluang memburu kejuaraan malah lebih kepada
pertarungan bagi menjaga ``maruah'' di antara pasukan Liga Perdana Satu dan
Perdana Dua musim ini.
Pastinya musim ini menyaksikan
pasukan Perdana Dua termasuk yang berstatus kelab cuba mengukir sejarah untuk
menjulang Piala FA 2003 berdasarkan persembahan meyakinkan dalam pusingan
pertama.
Sebagai contoh, Johor, Telekom
Melaka dan Selangor Public BANK beraksi cemerlang untuk mengatasi lawan
masing-masing dalam perlawanan pertama untuk membawa bekalan selesa dalam
perlawanan kedua hari ini.
Johor yang menewaskan TNB
Kelantan 4-1 lebih mudah untuk mencari kemenangan menerusi kelebihan agregat
kerana bakal berdepan musuhnya itu di gelanggang sendiri iaitu di Stadium
Larkin.
Berbeza pula pasukan kelab dari
Perdana Satu, Telekom Melaka yang beraksi cemerlang untuk menang 2-1 ke atas
pasukan kelab Perdana Dua, SKMK Kelantan tetapi kali ini di gelanggang lawan
iaitu Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Sebuah lagi pasukan Perdana
Dua, Selangor Public Bank mempunyai bekalan selesa hasil kemenangan 3-1 ke atas
Kedah walaupun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, Stadium Darulaman dalam
perlawanan kedua.
Pahang agak selesa untuk
menanti Kelantan di Stadium Darulmakmur selepas mendahului 2-1 manakala skuad
Singa Utara berbekalkan agregat 2-0 bagi menghadapi Tentera di Stadium TLDM,
Lumut, Perak, malam ini.
Manakala Melaka berharap
Stadium Hang Tuah memberi kelebihan untuk menyekat kemaraan MPPJ Selangor
selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan pertama.
Terengganu yang menewaskan
Kuala Lumpur 3-1 seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mencari kemenangan
atau sekurang-kurangnya seri kerana meneruskan aksi malam ini di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin, di Kuala Terengganu.
Begitu juga Sarawak, kemenangan
besar 4-0 ke atas Perak TKN pasti menyakinkan untuk skuad Bujang senang
melengkapkan kemenangan ke atas lawannya itu sekalipun terpaksa bermain di
Stadium Perak.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4ccvAYHnE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan