Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
PEMAIN Kedah, Mohd. Rizal
Ghazali (depan) cuba melepasi kawalan pemain Kuala Lumpur pada aksi pusingan
kedua kempen Piala FA 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.
Kedah menang 4-2.
BARISAN pemain Kedah diingatkan
jangan mudah leka, sebaliknya terus bekerja keras untuk mengatasi segala
kelemahan yang ada.
Demikian tegas pengendali skuad
Helang Merah, Tan Cheng Hoe selepas menyaksikan anak-anak buahnya menewaskan
Kuala Lumpur 4-2 pada pusingan kedua kempen Piala FA 2017 di Stadium Darul
Aman, Alor Setar malam kelmarin, sekali gus layak ke pusingan ketiga.
Menurut Cheng Hoe, para pemain
tidak boleh berasa selesa, sebaliknya terus berusaha untuk meningkatkan
prestasi masing-masing.
Pada aksi menentang Kuala
Lumpur itu, barisan pemain Kedah telah memperagakan rentak permainan yang
menakjubkan sehingga berjaya menghasilkan empat gol.
“Namun, atas kelekaan bahagian
pertahanan, kita dibolosi dua gol oleh pasukan lawan,” kata Cheng Hoe ketika
ditemui selepas aksi menentang Kuala Lumpur itu malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Kedah
terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain import, Liridon
Krasniqi pada m-32 disusuli tiga gol disumbangkan Muhammad Farhan Roslan pada
minit ke-35, ke-42 dan ke-62.
Kuala Lumpur pula memperoleh
gol mereka menerusi jaringan sendiri pemain import Kedah, Zachary Michael
Anderson pada minit ke-75 selepas berlaku salah faham dengan penjaga golnya,
Abd. Hadi Abd Hamid, diikuti gol kedua oleh Ibrahim Syaihul.
Jelas Cheng Hoe, para pemain
perlu belajar daripada setiap perlawanan yang dilalui selain meningkatkan fokus
kepada permainan.
“Kalau diikutkan, kita
mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua, namun
ia tidak dapat disempurnakan dengan baik, jadi kita perlu lebih bersedia dan
fokus ketika berada di depan pintu gol pasukan lawan,” ujarnya.
Cheng Hoe bagaimanapun memuji
prestasi pemain muda, Muhammad Farhan yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang
dengan menyumbang tiga gol buat Kedah.
“Farhan mempunyai momentum dan
keyakinan yang cukup baik selepas berjaya menjaringkan gol semasa menentang
Pahang pada aksi Liga Super minggu lalu,” katanya.
Mengenai pertemuan Kedah dengan
Kelantan pada aksi Liga Super, Sabtu ini, Cheng Hoe menjelaskan bahawa semua
pemain Kedah perlu bersiap-sedia kerana Kelantan sudah pasti memberi tentangan
hebat berdasarkan prestasi yang mereka pamerkan dalam dua perlawanan sebelum
ini.
“Walaupun Kelantan berdepan
dengan pelbagai krisis dalaman pada awal musim ini, namun mereka berjaya meraih
kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini, jadi kami perlu
sentiasa bersedia,” tambahnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4YrRCJpF5
Hakcipta terpelihara