ARKIB : 06/05/1999
SIKAP pemain yang terlalu
berpuas hati selepas mencipta kemenangan besar seharusnya dikikis segera oleh
Terengganu untuk memenuhi hajat mengecap kejayaan dalam Liga Malaysia musim
ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Jurulatih Yunus Alif berkata,
sikap seumpama itu boleh memusnahkan harapan Terengganu sekiranya pemain tidak
cepat menyedari kesilapan mereka seperti diamalkan ketika menentang Pulau
Pinang dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA, kelmarin.
''Saya cukup bimbang dengan
persembahan pemain Terengganu malam ini (kelmarin) kerana mereka seolah-olah
berpuas hati dengan bekalan 4-1 yang kita peroleh di gelanggang sendiri dalam
pusingan pertama.
''Ini menyebabkan Pulau Pinang
menghasilkan dua jaringan untuk mendekatkan lagi agregat sehinggalah kita
(Terangganu) menjarakkannya semula menerusi satu gol, menjadikan kedudukan
1-2,'' kata beliau selepas perlawanan berakhir di Stadium Bandaraya, kelamrin.
Sehubungan itu, kata Yunus,
beliau akan memastikan pemainnya tidak bersikap sambil lewa dalam menghadapi
saingan seterusnya, baik dalam Piala FA mahu pun Liga Perdana Satu.
''Perlawanan malam ini
(kelmarin) menjadi pengajaran betapa bekalan hasil jaringan besar masih belum
tentu menjaminkan kedudukan selesa kecuali jika pemain tetap mempamerkan aksi
terbaik mereka,'' kata beliau.
Dengan kemenangan tersebut,
Terengganu melangkah ke suku akhir untuk bertemu Kelantan yang menewaskan Johor
3-2 dalam pusingan kedua.
Mengenai saingan suku akhir,
Yunus menyifatkan pertemuan dengan negeri jirannya, Kelantan sebagai sengit
berdasarkan pencapaian pasukan Pantai Timur itu setakat ini.
''Apa pun, sikap pemain
memainkan peranan kerana mereka seharusnya mempamerkan permainan terbaik tanpa
mengira pasukan mana yang ditentang,'' kata Yunus.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RjWH1pPB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan