ARKIB : 06/05/1999
WALAUPUN pasukan Negeri
Sembilan berjaya melangkah ke pusingan suku akhir bola sepak Piala FA apabila
mengalahkan 'adiknya', NS Cempaka dengan agregat 3-2, ia tidak bermakna kerana
kemenangan itu dikecapi dengan bantuan nasib dan tuah gelanggang sendiri.
Justeru, barisan pemain skuad
bergelar 'Rusa' itu perlu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam siri
perlawanan Perdana Satu dan Piala FA yang akan ditempuhi sekiranya ingin kekal
di dalam kelompok pasukan yang terbaik negara ini.
Berdasarkan perlawanan pusingan
kedua Piala FA di Paroi kelmarin, pasukan Perdana Satu Negeri Sembilan tampak
pincang di segenap posisi terutama jentera serangan yang begitu sukar
mendapatkan gol walaupun peluang berbuat demikian cukup banyak.
Pada perlawanan yang
berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin, skuad 'Hobin Jang
Hobin' terpaksa bekerja keras mendapatkan gol tungal hasil jaringan Faizal
Zainal pada minit ke-81 sebelum melangkah ke suku akhir Piala FA.
Setiausaha Kehormat Persatuan
Bola Sepak Negeri Sembilan, Abdullah Sani Abdul Hamid mahu setiap pemain
memikul tanggungjawab di setiap posisi dengan berkesan dan tidak bergantung
pada nasib untuk mendapatkan kemenangan.
''Sebagai pasukan yang dianggap
favourite, kita mesti menunjukkan kebolehan kita dan keputusan perlawanan tidak
seharusnya semata-mata bergantung kepada nasib sahaja.
''Berdasarkan keputusan
perlawanan yang lepas, Negeri Sembilan seolah-olah menang kerana nasib,''
katanya di Seremban, semalam.
Sementara itu, pengurus pasukan
itu, Jamaluddin Ahmad berkata, beliau telah berbincang dengan jurulatih, Irfan
Bakti untuk merancang satu strategi bagi memperkemaskan lagi bahagian
penggempur bagi mencari gol dalam perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium
Bandaraya, Sabtu ini.
Jamaluddin juga mengingatkan
setiap pemain supaya meningkatkan lagi persefahaman sesama mereka bagi
mewujudkan sebuah pasukan mantap dan disegani oleh pasukan negeri lain.
Katanya, skuad tersebut tidak
mengalami masalah untuk mencari pemain gantian untuk diletakkan pada posisi
pemain pertahanan.
Ini kerana Khairul Anuar
Baharom tidak dapat bermain pada perlawanan menentang Pulau Pinang, Sabtu ini
kerana menerima kad merah dalam perlawanan semalam.
''Kita ada ramai pemain gantian
berwibawa yang dapat menggantikan tempat Khairul,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RjV0cjii
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan