ARKIB : 25/05/1999
DUA saingan terbaik, Liga
Perdana dan Piala FA England membabitkan kelab kesayangan ramai seolah-olah
melupakan peminat bola sepak tempatan terhadap perlawanan di tanah air yang
masih menarik untuk ditonton pada malam ini dan esok.
Seharusnya, persembahan hebat
Manchester United sewaktu menewaskan Newcastle United 2-0 untuk meraih
kejuaraan Piala FA England menjadi pembakar semangat kepada lapan pasukan yang
berentap dalam peringkat suku akhir pertama Piala FA di negara ini.
Di Stadium Sarawak, skuad tuan
rumah berdepan tugas agak berat kerana menghadapi Kuala Lumpur, skuad 'warga
kota' yang cukup berdendam dengan pasukan bumi ''kenyalang.''
Kuala Lumpur sudah pasti ingin
menebus kekecewaan selepas dimalukan Sarawak dalam Liga Perdana Satu di stadium
yang sama apabila dibelasah 1-5.
Kekalahan 2-4 kepada Pulau
Pinang dalam Liga Perdana Satu turut mencabar keupayaan Kuala Lumpur untuk
bangkit memberi saingan getir Piala FA yang turut mahu dimiliki Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, 'anak-anak buah'
jurulatih Jalil Rambli bukannya mudah ditewaskan, apatah lagi di gelanggang
sendiri yang memudahkan Ramos Sari untuk terus berlari pantas bagi memerangkap
Kuala Lumpur.
Sementara itu, pertembungan
'antara dua darjat' bagi dua negeri berjiran di Pantai Timur, Terengganu dengan
Kelantan pasti menarik dengan aksi yang bakal menghiburkan.
Walaupun Kelantan merupakan
skuad Perdana Dua, Terengganu pasti tidak akan memandang rendah keupayaan skuad
'kijang' yang mempunyai barisan mantap.
Dengan barisan tonggak
berpengalaman seperti Zahasmi Ismail, Khamal Idris Ali, Nidzam Adzha Yusuf dan
Affendi Julaihi, Kelantan cukup berbahaya walaupun bertandang ke Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah.
Keesokannya pula, saingan
menarik terhidang lagi apabila Sabah akan menentang Kedah di Stadium Likas
manakala Negeri Sembilan menghadapi Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi.
Sabah pasti berhempas pulas
kerana ingin memburu Piala FA selepas saingan Liga Perdana Satu agak
mengecewakan apabila kini menduduki tangga ketiga tercorot.
Kejayaan menewaskan Negeri
Sembilan 3-2 selepas mendapat khidmat jurulatih baru Ken Worden menjadi
pendorong untuk ''Negeri Di Bawah Bayu'' mencipta kemenangan di stadium sendiri
sebagai bekalan sebelum ke gelanggang lawan dalam pusingan kedua.
Begitu juga Negeri Sembilan
yang akan memastikan kemenangan kejayaan di gelanggang sendiri untuk memudahkan
laluan kerana Pahang cukup sukar untuk ditewaskan apatah lagi di Stadium
Darulmakmur.
Jadi, sebelum segala-galanya
menjadi lebih sukar, jurulatih Irfan Bakti sudah tentu mengerah ''bala
tenteranya'' menyekat kemaraan Pahang, pasukan yang dibarisi rangkaian
penyerang terbaik, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RmH02xn4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan