Jumaat, 17 Mac 2017

Piala FA milik siapa?

ARKIB : 10/06/2001
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
SELANGOR menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai bola sepak Piala FA buat kali ketiga apabila menentang Sarawak dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Walaupun hanya Rusdi Suparman, Asmawi Bakiri,Shamsul Amri Abu Bakar dan B. Rajnikandh pernah beraksi di pentas akhir Piala FA, namun Selangor digeruni dengan memiliki sebahagian besar pemain kebangsaan dan bawah-23 kebangsaan.

Selain itu, Selangor juga dilihat mempunyai kelebihan bermain di Bukit Jalil yang diibaratkan seperti gelanggang sendiri dan hampir pasti stadium dengan kapasiti 100,000 penonton itu bakal dibanjiri penyokong Merah Kuning.

Namun begitu jurulatih Selangor, Abdul Rahman Ibrahim memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terpedaya dengan status pilihan.

``Kalau Selangor dianggap pilihan kerana barisan pemainnya serta kelebihan di Stadium Nasional, Sarawak juga memiliki kelebihan pengalaman dan rekod pertemuan di tempat lawan,'' kata Abdul Rahman selepas sesi latihan terahir di Stadium Nasional, semalam.

``Saya fikir status tidak wujud dalam saingan akhir esok (malam ini). Selangor dan Sarawak mempunyai keupayaan setanding, kedua-dua pasukan boleh bergelar juara,'' katanya lagi.

Abdul Rahman juga berkata, ketiadaan pemain muda, Tengku Hazman Raja Hassan yang digantung enam perlawanan tidak menjejaskan Selangor. ``Sarawak juga tidak mempunyai kelebihan dengan ketiadaan Tengku Hazman,'' katanya.

``Malah, mereka sendiri kehilangan dua tonggak paling berpengalaman Bobby Chua dan Ibrahim Mantali. Saya fikir, kedua-dua pasukan ada kelebihan dan kelemahan.''

Sementara itu jurulatih Sarawak, Jalil Ramli mengakui kelebihan pastinya milik Selangor, bagaimanapun pasukannya tetap memiliki peluang cerah untuk membawa pulang kejuaraan Piala FA buat kali kedua.

Menurutnya, berdasarkan rekod Sarawak yang hanya tewas sekali di tempat lawan (1-3 kepada Pulau Pinang dalam saingan Perdana Satu) mereka pastinya tidak menghadapi kesukaran untuk beraksi di Stadium Nasional.

``Tidak dinafikan Selangor mempunyai ramuan yang cukup untuk merangkul gelaran tahun ini, bagaimanapun Sarawak tidak harus diketepikan walaupun berstatus underdog,'' katanya, semalam.

``Kemenangan besar 4-0 ke atas JKR Kelantan (separuh akhir kedua Piala FA) adalah bukti pasukan ini sedang berada di kemuncak prestasi, saya yakin kami juga memiliki barisan pemain yang setanding dengan Selangor,'' katanya lagi.

Kali terakhir Sarawak muncul juara Piala FA adalah pada 1992 dengan menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Negeri, sementara Selangor merupakan juara kejohanan pada 1991 dan 1997.

Sementara itu, Polis menggalakkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan pengangkutan awam terutama LRT bagi mengelak masalah kesesakan tempat meletak kereta pada perlawanan akhir Piala FA malam ini.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Supritendan Ishak Manan berkata, polis menganggarkan kira-kira 50,000 hingga 60,000 penonton akan datang menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA Malaysia yang diadakan antara Pasukan Selangor dan Sarawak.

Jumlah yang ramai itu, katanya, akan menimbulkan masalah kesesakan di tempat letak kereta.

``Jumlah ini adalah memihak kepada penonton yang akan menggunakan kenderaan persendirian seperti yang berlaku untuk acara-acara sukan sebelum ini.

``Berdasarkan ramalan tersebut, anggaran jumlah kenderaan yang akan menghala ke lokasi untuk menyaksikan perlawanan ini adalah kira-kira 6,000 hingga 8,000,'' katanya pada sidang akhbar di Balai Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur, semalam.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4beLng9zr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan