Jumaat, 17 Mac 2017

Hisamuddin tonggak JKR Kelantan

ARKIB : 29/05/2001
EDISI ke-12 bola sepak Piala FA memasuki separuh akhir dengan empat pasukan yang layak, dua dari Perdana Satu dan dua Perdana Dua bakal bertarung untuk separuh akhir pertama, malam ini, lapor JOHARI SHAWAL.

Sebagai kelab dan pasukan dari Perdana Dua, JKR Kelantan yang beraksi kali pertama di pentas separuh akhir pasti menjadi fokus utama berbanding tiga bekas juara - Selangor, Sabah dan Sarawak.

Kelab dari Pantai Timur itu nampaknya belum menemui noktah dalam kempen ini dan selagi ia tidak ditemui, pasukan Abdullah Mohamed ini bakal terus mencipta sejarah tersendiri.

Kedudukan terbaik dalam liga menyumbang kepada faktor kegagahan JKR Kelantan dalam mengharungi Piala FA musim ini.

Apa lagi dengan sentuhan penyerang utama mereka, Che Hisamuddin Hassan yang kini mendahului kedudukan penjaring terbanyak Piala FA dengan tujuh gol.

Zool Ihsan Yunus juga tajam sentuhannya apabila menjaringkan lima gol setakat ini dalam Piala FA.

Berdasarkan statistik itu, Sarawak, pasukan Perdana Satu yang juga juara 1992 dan bakal ditentang JKR Kelantan di Kota Bharu malam nanti, akan berdepan masalah mengekang dua penyerang gagah ini.

Pasukan Jalil Ramli perlu membuat percaturan terbaik untuk mengelak ditimpa aib, apa lagi beraksi di gelanggang lawan pada ketika pasukan yang ditentang sedang memuncak naik.

JKR Kelantan telah menumbangkan pasukan gagah termasuk Kuala Lumpur (agregat 2-1) pada pusingan kedua dan Negeri Sembilan pada suku akhir (agregat 3-2) setelah menang besar agregat 15-1 ke atas Kedah Ansell dalam aksi pusingan pertama.

Ayam tambatan Sarawak, Halim Jantan dan Ramles Sari perlu menggandakan usaha meranapkan benteng JKR Kelantan yang tampak kukuh sehingga kini.

Juara dua kali (1991 dan 1997), Selangor berkunjung ke Borneo untuk bertemu juara 1995, Sabah di Penampang - satu lagi pertembungan antara pasukan Perdana Satu dan Perdana Dua.

Dalam liga, Sabah kukuh di tangga kedua Perdana Dua di bawah Johor FC tetapi Selangor terkial-kial mencari rentak dalam Perdana Satu.

Begitupun, persaingan antara dua pasukan ini dijangka hebat kerana Sabah sudah menyingkir juara Piala Malaysia, Perak pada suku akhir manakala Selangor menang mudah ke atas Pulau Pinang dengan agregat 4-1 sesudah memperoleh bekalan selesa 4-0 pada suku akhir pertama di Batu Kawan.

Cuma yang jelas, sentuhan dua penyerang kebangsaan di Selangor, Rusdi Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof semakin tajam dan biarpun JKR Kelantan menjadi tumpuan, Red Giants lebih menjadi pilihan untuk menjulang Piala FA buat kali ketiga.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bdtsiEWv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan