ARKIB : 06/05/1998
CHEMPAKA Negeri Sembilan mara ke pusingan kedua bola sepak Piala FA apabila
menang menerusi agregat 4-2 selepas mencatat kejayaan 2-1 ke atas Tentera pada
perlawanan kedua pusingan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras,
malam tadi.
Chempaka yang berbekalkan satu gol selepas menang 2-1 di Paroi pada
perlawanan pertama, memperoleh jaringan menerusi Yusafizan Johar pada minit
ke-47 dan A. Ravichandran menambah gol kedua minit ke-68. Gol tunggal Tentera
dijaringkan oleh Mohd. Rosdi Tahir minit ke-88.
Chempaka akan bertemu Perak pada perlawanan pertama pusingan kedua di Ipoh,
19 Mei ini.
Pasukan tuan rumah menguasai permainan dengan kerap membuat asakan ke kubu
lawan tetapi penyudah yang lemah gagal mengubah kedudukan. Tiada sebarang
percubaan menarik daripada kedua-dua pasukan dengan bola lebih banyak berlegar
di tengah padang.
Bagai sesuatu yang menyuntik semangat Chempaka apabila bertindak garang
babak kedua dengan permainan lebih agresif.
Hanya dua minit sebaik babak kedua bermula, gawang Tentera bergegar apabila
hantaran lintang Mohamad Rizal Harun disambar kemas oleh Yusafizan yang tidak
dikawal untuk gol pembukaan.
Jaringan Yusafizan menyemarakkan semangat rakan dengan serangan demi
serangan diatur. Yusafizan berpeluang menambah jaringan pada minit ke-63 tetapi
gagal menolak masuk ke gawang selepas mendapat hantaran cantik Stephen
Abarowei.
Begitupun, Chempaka terus mengasak ke pintu gol Tentera dan Ravichandran
menggembirakan pasukan dengan gol kedua hasil percubaan dari jarak 20 meter
yang menuju tepat ke penjuru gawang Tentera.
Namun, dua minit sebelum permainan tamat, Rosdi merapatkan kedudukan
apabila menolak masuk selepas berlaku perebutan di depan gawang Chempaka tetapi
jaringannya gagal mengubah kedudukan.
Sementara itu di Stadium Merdeka, Polis mara ke pusingan
kedua selepas menang dengan agregat 4-3 ke atas Malay Mail.
Pada perlawanan kedua malam tadi, Polis menang 3-1. Polis mendahului
menerusi Darul Nazri Daniyan pada minit ke-10 yang merembat masuk tendangan
sudut oleh ketua pasukan Polis, Zulkhairi Mohd. Zabidi menewaskan penjaga gol
Malay Mail, M. Pavalamani. Polis yang tewas 1-2 pada pertemuan pertama
menghasilkan gol kedua menerusi El Mustaffa Azour pada minit ke-24.
Sepuluh minit kemudian, pemain gantian Malay Mail, Robert Paul menjaringkan
gol untuk mengikat agregat 3-3. Darul Nazri menjaringkan gol kemenangn Polis
minit ke-78.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu
menewaskan Johor FC 2-1.
Namun kemenangan itu belum cukup untuk tuan rumah menghalang Johor FC
daripada meneruskan kemaraan ke pusingan kedua dengan kelebihan agregat 3-2.
Pada pusingan pertama Johor FC menang 2-0. Pemain import Johor FC, Aytek
Genc memulakan jaringan pada minit ke-39 untuk mendahului 1-0.
Menyedari lawanya semakin kukuh dengan kelebihan agregat 3-0 Terengganu
menggandakan asakan menerusi Badrul Hisham Abdullah dan juga Jozsef Kovach yang
akhirnya berjaya menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat menerusi Anuar Jusoh.
Babak kedua ternyata menjadi milik Terengganu dengan gerakan-gerakan yang
bahaya Badrul Hisham, Anuar, Kovach berjaya memecah kubu lawan.
Gerakan Anuar Jusoh pada minit ke-73 berjaya meletakkan Terengganu
dihadapan, hantarannya mudah disudahi oleh Sapian Wahid yang tidak dikawal.
Pada perlawanan lain di Stadium Kubu, Melaka turut layak
menerusi agregat 8-3 selepas menumpaskan Melaka Telekom dengan 4-2.
Gol Melaka diperolehi menerusi jaringan Arfandy Lokman pada minit ke-41,
John Onwudegu (52), Belle Belle Yves (61) dan S. Sivaram minit ke-73.
Gol Melaka Telekom pula dijaringkan oleh Isaac Kuffour (25) dan Manzoor
Azwira Wahid minit ke-88).
Melaka Telekom bagaimanapun tidak mudah putus asa dan merapatkan jurang gol
untuk keputusan 4-2 hasil jaringan Manzoor Azwira Wahid, dua minit sebelum
perlawanan tamat.