ARKIB : 14/05/2011
Pemain Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal (tiga dari kiri) berjaya melepasi halangan dua pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak (dua dari kiri) dan Mohd. Nurul Azwan Roya pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi. Kelantan menang 5-1. UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi
KUALA LUMPUR - Sebelah tangan Kelantan sudah menguak pintu perlawanan akhir selepas membelasah Selangor 5-1 pada separuh akhir bola sepak Piala FA sementara Terengganu bangkit dengan mengagumkan untuk turut merebut satu lagi tiket setelah mengatasi Pahang 3-2, malam tadi.
Anak buah K. Devan yang juga juara 2009, bagaikan dipukau dengan dua gol Ramzul Zahini Adnan pada minit ke-10 dan 40 selain masing-masing satu daripada ketua pasukan, Badri Radzi (43), Nurul Azwan Roya (67) dan Norshahrul Idlan Talaha (71) di Stadium Shah Alam.
Tuan rumah beroleh gol sagu hati menerusi ketua pasukan, Amri Yahyah dalam masa kecederaan untuk mencari sedikit modal bagi terus bersaing pada separuh akhir kedua, Isnin ini sekalipun menempah laluan yang amat berliku apatah lagi dengan peraturan jaringan tempat lawan.
Sebaliknya, pelawat bimbingan Datuk M. Karathu bakal kembali ke Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dengan cukup selesa malah sudah boleh memikirkan untuk hanya menurunkan barisan simpanan mahupun lebih banyak bertahan.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula, Tok Gajah pula mensia-siakan pendahuluan dua gol menerusi sepakan bebas kaki kiri Munir Amran dan R. Surendren masing-masing pada minit ke-47 dan 54 gara-gara kelalaian barisan belakangnya pada setengah jam terakhir.
Terengganu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim sebaliknya kembali garang malah memanfaatkan keadaan tertekan lawan apabila merapatkan kedudukan menerusi jaringan sendiri pemain Pahang, Saifulnizam Miswan pada minit ke-63 yang tertampan sepakan Ashari Samsudin.
Wan Aliff Jasmi menambah derita tuan rumah dengan tandukan jarak dekatnya pada minit ke-81 sebelum Ismail Faruqi memastikan Sang Penyu beroleh kemenangan dan kelebihan satu gol di Kuala Terengganu, Isnin ini menerusi tandukannya dalam minit terakhir perlawanan.
Sementara itu, PKNS menempah tempat kenaikan ke Liga Super musim depan (sekiranya tiada pindaan peraturan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) setelah menumpaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya.
Kelab Selangor bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kini mengumpul 45 mata daripada 17 perlawanan sekali gus sukar dikejar untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok dua teratas Liga Perdana dan dipisahkan dengan sembilan mata berbanding Sarawak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eKmyL9nw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan