Jumaat, 1 Februari 2019

Bayangan juara Piala FA


ARKIB : 06/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 KOTA BHARU - Pertembungan dua jaguh pantai Timur, Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super hari ini, disifatkan sebagai 'pembayang' siapa bakal memenangi final Piala FA di antara kedua-dua pasukan pada Sabtu ini.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, ia berpihak Red Warriors apabila menumbangkan skuad Penyu 3-0 pada pusingan kedua, selepas hanya seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu.

Namun musim ini ceritanya berbeza apabila kedua-dua pasukan berkongsi mata pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, awal Februari lalu.

Tugas sukar menanti pengendali Kelantan Datuk M.Karathu untuk merencanakan ramuan terbaik untuk memastikan Red Warriors membawa pulang tiga mata dalam usaha untuk mengukuhkan cengkaman tangga teratas Liga Super.

Meskipun turun tanpa penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat serta pertahanan kental, Zairul Fitree Ishak yang digantung, ia tidak menjejaskan peluang Red Warriors.

Ketiadaan Khairul Fahmi membuka peluang kepada Mohd. Shahrizan Ismail.

Begitu juga dengan posisi Zairul Fitree, yang akan diambil alih oleh Abdul Aziz Ismail.

Kembalinya, Dausu Jamaludin daripada penggantungan, akan memantapkan semula pertahanan Kelantan bersama Mohd. Farisham Ismail, S.Subramaiam serta Abdul Aziz Ismail.

Mereka mampu mengekang jentera serangan tuan rumah yang diketuai oleh penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat.

Kelibat penggempur sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingan S.Chanturu sekali lagi ditagih oleh peminat Red Warriors untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah seterusnya mengecewakan Mohd. Sarbinee Alaweedi di gawang gol Terengganu.

Berlainan pula bagi pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, selepas dimalukan 0-1 oleh Kedah pada perlawanan lalu, mereka pastikan berjuang berhabis-habisan, untuk merampas puncak liga.

Turun tanpa kelibat dua tonggak iaitu perancang tengah Mohd. Assahari Samsudin yang digantung serta pemain pertahanan Helmi Rameli, yang menyarung jersi skuad Olimpik negara, ia bukan masalah besar buat pengendali berpengalaman itu.

Kelibat Marzuki Yusoff pastinya akan ditagih untuk mengekang jentera serangan Kelantan.

Gandingan Joseph Kalang Tie, Ismail Faruqi Asha'ri dan Reeshafiq Alwi akan merencanakan jentera tengah Terengganu.

Ketajaman penyudah Abdul Hadi Yahya pastinya ditagih oleh Terengganu untuk terus meledakkan gol. Pengalaman yang diraih bersama Harimau Malaya pada perlawanan dengan Hong Kong Jumaat lalu pasti akan gunakan sebaik mungkin dalam perlawanan ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5eM3kFsc3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA: Selangor dibelasah teruk

ARKIB : 14/05/2011
 
Pemain Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal (tiga dari kiri) berjaya melepasi halangan dua pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak (dua dari kiri) dan Mohd. Nurul Azwan Roya pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi. Kelantan menang 5-1. – UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

KUALA LUMPUR - Sebelah tangan Kelantan sudah menguak pintu perlawanan akhir selepas membelasah Selangor 5-1 pada separuh akhir bola sepak Piala FA sementara Terengganu bangkit dengan mengagumkan untuk turut merebut satu lagi tiket setelah mengatasi Pahang 3-2, malam tadi.

Anak buah K. Devan yang juga juara 2009, bagaikan ‘dipukau’ dengan dua gol Ramzul Zahini Adnan pada minit ke-10 dan 40 selain masing-masing satu daripada ketua pasukan, Badri Radzi (43), Nurul Azwan Roya (67) dan Norshahrul Idlan Talaha (71) di Stadium Shah Alam.

Tuan rumah beroleh gol sagu hati menerusi ketua pasukan, Amri Yahyah dalam masa kecederaan untuk mencari sedikit modal bagi terus bersaing pada separuh akhir kedua, Isnin ini sekalipun menempah laluan yang amat berliku apatah lagi dengan peraturan jaringan tempat lawan.

Sebaliknya, pelawat bimbingan Datuk M. Karathu bakal kembali ke Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dengan cukup selesa malah sudah boleh memikirkan untuk hanya menurunkan barisan simpanan mahupun lebih banyak bertahan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula, Tok Gajah pula mensia-siakan pendahuluan dua gol menerusi sepakan bebas kaki kiri Munir Amran dan R. Surendren masing-masing pada minit ke-47 dan 54 gara-gara kelalaian barisan belakangnya pada setengah jam terakhir.

Terengganu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim sebaliknya kembali garang malah memanfaatkan keadaan tertekan lawan apabila merapatkan kedudukan menerusi jaringan sendiri pemain Pahang, Saifulnizam Miswan pada minit ke-63 yang tertampan sepakan Ashari Samsudin.

Wan Aliff Jasmi menambah derita tuan rumah dengan tandukan jarak dekatnya pada minit ke-81 sebelum Ismail Faruqi memastikan Sang Penyu beroleh kemenangan dan kelebihan satu gol di Kuala Terengganu, Isnin ini menerusi tandukannya dalam minit terakhir perlawanan.

Sementara itu, PKNS menempah tempat kenaikan ke Liga Super musim depan (sekiranya tiada pindaan peraturan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) setelah menumpaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya.

Kelab Selangor bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kini mengumpul 45 mata daripada 17 perlawanan sekali gus sukar dikejar untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok dua teratas Liga Perdana dan dipisahkan dengan sembilan mata berbanding Sarawak.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eKmyL9nw
© Utusan Melayu (M) Bhd