Ahad, 31 Disember 2017

Pasukan pilihan kurang bermaya


 

RKIB : 04/03/2009
PEMAIN Harimau Muda, Muzaki Abu Bakar (belakang) cuba mengasak pemain Perlis, Ahmad Fakri Saraani pada perlawanan Piala FA di Stadium Bukit Jalil, semalam. – UTUSAN/ZULAZHAR SHEBLEE

KUALA LUMPUR – Pasukan pilihan Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan sekadar mencatat kemenangan tipis ke atas lawan masing-masing dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA semalam.

Manakala satu lagi pasukan pilihan, Kelantan mula mempamer aksi goyah apabila seri 1-1 dengan pasukan UPB My-Team.

Di Stadium Perak, Ipoh, Selangor yang masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas pencabar terdekat, Kelantan dalam perlawanan Liga Super Sabtu lalu menang 2-1 ke atas skuad muda Perak yang dibimbing M. Karathu.

Selangor mendahului pada minit ke-29 apabila Safee Sali menyempurnakan sepakan penalti.

Ketua pasukan, Mohd. Amri Yahya mengukuhkan kedudukan pelawat pada minit ke-52 .

Perak merapatkan kedudukan hasil jaringan Razali Umar Kandasamy pada minit ke-74 namun gagal mencari gol penyamaan walaupun menggandakan asakan di babak akhir perlawanan.

Perlis pula terpaksa menunggu hingga minit ke-71 untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas skuad Harimau Muda dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan Badrol Azam Zamri.

Pasukan pelawat, Perlis sepatutnya memperoleh gol awal namun penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-65.

Kelantan pula seakan masih dihantui badi kekalahan 0-3 kepada Selangor Sabtu lalu dengan aksi longlai apabila hanya mampu seri 1-1 dengan UPB My-Team dalam aksi di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin meletakan Kelantan di depan pada minit ke-11 namun pasukan tuan rumah pantas bangkit menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi Mohd. Azlan Hajar.

Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Ahmad Azan Zainal dilayangkan kad merah di minit ke-44.

Sementara itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah, T-Team tunduk 0-1 kepada Negeri Sembilan menerusi jaringan S. Kunalan pada minit ke-78.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz52qJVstzp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Disember 2017

Bojan belum puas

ARKIB : 26/02/2009
PETALING JAYA - Layak ke suku akhir dan menang ke atas juara bertahan masih belum cukup buat pengendali UPB-MyTeam, Bojan Hodak selepas menyingkirkan Kedah dalam saingan pusingan kedua Piala FA, kelmarin.

Jurulatih dari Croatia itu menganggap saingan suku akhir masih belum cukup untuk peminat mengingati apa yang telah dicapai oleh MyTeam, sebaliknya mara ke peringkat yang lebih tinggi.

"Suku akhir, tidak akan sesiapa yang akan mengingati peristiwa ini, mungkin mara ke pusingan yang lebih baik lebih bermakna buat kami dan pasukan," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Jelasnya, barisan pemain muda yang dimilikinya ternyata mempunyai keyakinan tinggi, lebih-lebih lagi selepas menewaskan Selangor dalam Liga Super minggu lalu.

"Kemenangan ke atas Selangor memberi keyakinan kepada mereka terutama di barisan pertahanan yang bermain dengan baik sekali.

"Bagaimanapun saya masih tidak berpuas hati terhadap jentera serangan yang kurang menyengat selepas terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol," kata Bojan.

Menurutnya, taktik sama digunakan oleh Kedah membolehkan anak buahnya membaca serangan yang dilakukan oleh anak buah Azraai Khor Abdullah itu.

"Mereka sering menggunakan hantaran jauh tetapi hari ini (kelmarin) kami menggunakan kesempatan untuk mematahkan segala serangan yang dilakukan walaupun kami mengambil sedikit masa untuk menyesuaikannya," jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz522aHcBXF

© Utusan Melayu (M) Bhd

MyTeam singkir juara bertahan


 

ARKIB : 25/02/2009
MyTeam singkir juara bertahan
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PEMAIN Perlis, Azi Shahril Azmi (kanan) berusaha meloloskan diri daripada dua pemain PKNS dalam Piala FA di Kangar, malam tadi. - UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN

KUALA LUMPUR - Hasrat Kedah untuk mengulangi kejayaan merangkul tiga kejuaraan musim lalu tidak kesampaian apabila mereka sudah pun terlepas satu daripada gelaran tersebut selepas tersingkir daripada saingan bola sepak Piala FA, semalam.

Kedah hanya mampu seri tanpa jaringan dengan UPB-MyTeam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada perlawanan kedua, pusingan kedua, sekali gus tersingkir menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama di Alor Setar, minggu lalu.

MyTeam sebaliknya bergaya ke suku akhir untuk menempah pertemuan dengan pendahulu Liga Super, Kelantan, yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Polis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sekali gus mara dengan agregat besar 8-2.

Biarpun perlawanan berakhir tanpa jaringan, Kedah dan MyTeam saling berbalas serangan dengan Kedah memperoleh peluang pertama seawal minit kedua, namun larian solo Mohd. Khyril Muhymeen Zambri dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan.

MyTeam pula hampir menyumbat gol pada minit ke-14 apabila berlaku keadaan kelam-kabut dalam petak penalti Kedah hasil sepakan sudut Norshahrul Idlan Talaha tetapi penjaga gol, Helmi Eliza Elias pantas menangkap bola.

Aksi separuh masa kedua berlangsung hambar pada 10 minit pertama, sehinggalah MyTeam memperoleh sepakan percuma pada minit ke-64 tetapi bola rembatan Azmi Muslim sedikit melewati palang gol.

Sementara itu Selangor turut dipaksa berhempas pulas untuk melangkah ke suku akhir apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, tetapi mara dengan agregat 2-1.

P. Gunalan muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70 selepas Kuala Lumpur terlebih dulu membuka jaringan menerusi Azwan Malek, di minit ke-47.

Menanti Selangor pada suku akhir nanti adalah Perak, yang memerlukan jaringan pada masa tambahan untuk menyingkirkan Kuala Muda Naza menerusi agregat 3-2.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 selepas tamat 90 minit perlawanan di Stadium Darul Aman, namun jaringan Nazri Mohd. Kamal pada minit ke-96 memastikan kemaraan Perak.

Perak, yang terikat 1-1 dengan Kuala Lumpur dalam perlawanan pertama, membuka jaringan menerusi Razali Umar Kandasamy tetapi Zulhisyam Jamaluddin berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda terus cemerlang apabila melangkah ke suku akhir dengan menumpaskan Terengganu menerusi agregat 4-3.

Selepas tewas 1-2 pada perlawanan pertama minggu lalu, Harimau Muda bangkit dengan kemenangan 3-1, sekali menempah pertemuan suku akhir dengan Perlis.

Jaringan K. Gurusamy pada minit ke-65, sepakan penalti Ahmad Shakir Md Ali di minit ke-67 dan gol Ahmad Aminuddin pada minit ke-76 menghadiahkan kemenangan buat tuan rumah, manakala gol saguhati Terengganu, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dijaringkan ketua pasukan, Mohd. Marzuki Yusof pada minit ke-43.

Sementara itu, Perlis masih mampu ke suku akhir biarpun hanya mampu seri 0-0 dengan PKNS di Stadium Utama, Kangar selepas menang 2-1 di tempat lawan, minggu lalu.

Di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, T-Team menebus kegagalan skuad negeri mereka meneruskan cabaran, apabila wakil Terengganu itu mara ke suku akhir dengan menumpaskan Sarawak menerusi agregat 4-1.

Pelawat yang menang 2-0, Sabtu lalu, melengkapkan kemaraan mereka dengan menumpaskan tuan rumah 2-1 dalam perlawanan kedua semalam.

Sarawak bagaimanapun terlebih dulu membuka jaringan menerusi rembatan Khalid Hamlet dari luar petak penalti pada minit ke-45.

Namun, T-Team sukar dibendung apabila jaringan Hasbullah Awang dan Azrul Azran Aminuddin pada minit ke-52 dan 62 membawa mereka melepasi pusingan kedua ini.

Menanti T-Team pada suku akhir adalah Negeri Sembilan yang menyingkirkan Pulau Pinang menerusi agregat 4-2 selepas menang 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz522Oqd6da

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah terselamat, Kelantan mengganas


 

ARKIB : 22/02/2009
PEMAIN Perlis, Nizaruddin Yussof (kiri) mengasak kapten PKNS, Ahmad Tharmini Saiban pada perlawanan Piala FA di Stadium MBPJ malam tadi. Perlis menang 2-1. - mINGGUAN/ Zulhafiz Hanafiah

KUALA LUMPUR - Jaringan penyamaan Baddrol Bakhtiar menyelamatkan juara bertahan, Kedah, daripada tersungkur di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mengikat UPB-MyTeam 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA, semalam.

Tuan rumah ketinggalan dengan gol V. Saravanan pada minit ke-18 sebelum sayap kanan Kenari itu menyamakannya pada minit ke-78.

Pendahulu Liga Super musim ini, Kelantan pula seperti sudah mampu menguak pintu suku akhir apabila berpesta gol dengan membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Antara penjaring skuad Wira Merah ini ialah Khalid Jamlus (dua gol) dan Nor Farhan Muhammad yang meletakkan mereka selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Bekas juara empat kali, Selangor pula hanya mampu menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dengan jaringan sendiri pemain tuan rumah, Azidan Sharudin pada minit ke-89 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Terengganu pula menyekat langkah garang pendahulu Liga Perdana 2009, Harimau Muda di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dengan menumpaskan skuad bawah 20 tahun negara itu, 2-1.

Minit ke-22 menyaksikan Abdul Manaf Mamat menyamakan gol pendahuluan pelawat, Fadhli Shas, seminit sebelumnya manakala Ismail Faruqi Ashaari memastikan kemenangan dengan jaringan sepakan bebas pada minit ke-80.

Tidak jauh dari situ, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team menang dua gol tanpa balas ke atas Sarawak.

KM Naza mengikat Perak 1-1 di Stadium Perak, Ipoh manakala di Stadium Negeri, Batu Kawan, menyaksikan Pulau Pinang terselamat dengan terikat 1-1 dengan Negeri Sembilan. Perlis pula cemerlang 2-1 mengalahkan PKNS di Stadium Petaling Jaya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51z61K2nq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 18 Disember 2017

Piala FA: T. Team layak ke pusingan kedua



ARKIB : 04/02/2009
DUA pemain Terengganu T-Team, Haris Safwan (dua dari kiri) dan Shaharizan Mat Rani (kanan) diasak lawan dari Shahzan Muda dalam saingan Piala FA di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam tadi. - Utusan/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Kelab dari Terengganu, T. Team melakukan kejutan dengan layak ke pusingan kedua Piala FA walaupun tumpas 1-2 kepada Shahzan Muda, semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur Kuantan itu, penalti Mohd. Harris Sapuan seminit sebelum permainan tamat membantu T. Team layak menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi agregat selepas Shahzan yang tewas 0-1 pada perlawanan pertama lalu bangkit dengan gol menerusi Abd. Rahman Abd. Kadir (m-22) dan Azizul Kamaluddin (m-48).

Satu lagi pasukan kelab yang layak ke pusingan kedua ialah UPB-MyTeam yang menewaskan Proton FC 3-0 di Stadium Petaling Jaya semalam untuk menang menerusi agregat 5-1.

Gol-gol UPB-MyTeam dijaringkan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi (m-24, 90) dan Mohd. Fazrul Hazli M. Kadir (m-32).

Malang bagi Johor FC yang gagal mengikut jejak dua kelab tersebut apabila tersingkir menerusi agregat 0-1 selepas hanya sekadar mampu seri 0-0 dengan Pulau Pinang pada perlawanan kedua di Stadium JCorp Pasir Gudang, semalam.

Perak pula mencatat kemenangan agregat terbesar di pusingan pertama ini apabila layak dengan jaringan 11-1 menewaskan SDM Kepala Batas.

Ini diikuti Sarawak yang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi agregat 8-1 manakala Perlis menang agregat 6-0 mengatasi Majlis Perbandaran Johor Baharu (MPJB)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51gvXwMkX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Empat pasukan hampiri pusingan kedua


 

ARKIB : 01/02/2009
Empat pasukan hampiri pusingan kedua
PEMAIN Pahang, Mohd. Azamuddin Md. Kamil (kiri) dihalang pertahanan PKNS, Muhammad Afiq Hassanuddin pada pertemuan di Stadium Darul Makmur , Kuantan, malam tadi. Kedudukan terikat 1-1. – MINGGUAN/Mahathir Ali

KUALA LUMPUR – Kelantan, Perak, Sarawak dan Perlis mencatat kemenangan besar ke atas lawan masing-masing dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA semalam.

Namun kemenangan dengan jaringan yang besar itu gagal diikuti oleh beberapa pasukan pilihan seperti Negeri Sembilan yang seri 0-0 dengan Melaka manakala Pasukan Liga Super, Pahang sekadar seri 1-1 dengan PKNS.

Perlis garang di tempat lawan apabila membenam cabaran MBJB 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi hatrik penyerang kebangsaan Nizaruddin (m-58, 74, 81) selepas jaringan pembukaan Eslizuan Zahid Amir (m-45).

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah selesa untuk mara ke pusingan kedua apabila menang besar 4-1 ke atas pendatang baru Liga Perdana, SDM Kepala Batas.

K. Thinagaran mencipta hatrik (m-32, 43, 84), selain jaringan Mohd. Arsyah Mohd. Ayob (m-52) untuk memastikan pasukan bimbingan M. Karathu itu meraih bekalan selesa untuk perlawanan kedua sebelum SDM membalas satu gol pada minit ke-72 menerusi M. Jagen.

Di Stadium Negeri, Kuching Sarawak sudah sebelah kaki ke pusingan kedua apabila membelasah Angkatan Tentera 6-1.

Joseph Kalang Tie mencatat hatrik pada minit ke-23, ke-58 dan ke-85 dan Mohd. Khalid Hambet (m-15, 55) dan Zamri Morshidi (m-30) sebelum Mohd. Nazri Akui menjaringkan gol sagu hati pelawat (m-88).

Pasukan Liga Perdana, T-Team yang membariskan beberapa pemain kebangsaan sekadar menang tipis 1-0 ke atas Shahzan Muda di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu hasil jaringan Haris Safwan pada minit ke-26.

Pulau Pinang juga mencatat keputusan yang sama dalam perlawanan menentang Johor FC di Stadium Bandaraya hasil jaringan Mohd. Farkhis Pisol pada minit ke-25.

Kuala Lumpur menjaringkan gol di babak akhir menerusi Azwan Malek untuk mengikat Sabah 1-1 selepas pelawat di Stadium Cheras, mendahului menerusi jaringan Azrul Ejati Damsah (m-46).

Pahang gagal meraih kesempatan daripada aksi di tempat sendiri di Stadium Darul Makmur apabila sekadar seri 1-1 dengan PKNS.

Pahang mendahulu menerusi jaringan P. Surendran (m-17) sebelum PKNS bangkit mengikat kedudukan menerusi Tengku Adam Tg. Mohd. Rosli (m-23).


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51byVlMin

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 17 Disember 2017

Harimau Muda kejutkan pendahulu Liga Super

ARKIB : 25/01/2009
KUALA LUMPUR – Pasukan bawah 19 tahun negara, Harimau Muda mengejutkan pendahulu Liga Super, KL Plus apabila menang selesa 2-0 pada perlawanan pertama, pusingan pertama Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Skuad pelapis kebangsaan itu hanya memerlukan masa tiga minit untuk membuka jaringan menerusi Ahmad Shakir Mohd. Ali.

Gol berpunca selepas Ahmad Shakir menyambut hantaran lintang yang dilakukan S. Sivanesan ketika pemain-pemain KL Plus masih belum bersiap sedia.

Turun tanpa beberapa pemain tonggak seperti Bobby Gonzales, Reshafiq Alwi dan L. Ramesh, KL Plus cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

Namun, tandukan Mohd. Khairul Nizam hasil sepakan sudut hanya mampu menggegar palang gol.

Bermula babak kedua, Harimau Muda sekali lagi membolosi gawang KL Plus hanya selepas 14 minit permainan bersambung.

Ahmad Aminuddin yang bijak mengawal bola dalam kotak penalti melepaskan rembatan kencang daripada sebelah kanan gawang KL Plus untuk gol kedua pada minit ke-59.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51Z4EgGHe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 November 2017

Kedah bukti kejaguhan berganda

ARKIB : 22/06/2008
 
PENYERANG Kedah, Khyril Muhymeen Zambri (kanan) melepasi dua pemain Selangor, Mohd. Shukor Adan (tengah) dan Elie Aiboy dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM - Walaupun beraksi dengan 10 pemain ekoran kekasaran Sabri Mat Abu terhadap pemain Selangor, Amri Yahya sehingga pemain Hijau Kuning itu dilayangkan kad merah pada minit ke-75, Kedah masih berjaya mengesahkan kejaguhan arena bola sepak untuk merangkul Piala FA semalam.

Barisan bimbingan Azraai Khor Abdullah itu berjaya menundukkan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir edisi ke-19 yang sengit dengan serangan kedua-dua belah pihak di Stadium Shah Alam, semalam.

Biarpun penyokong Kedah dihantui dengan harga tiket yang dikatakan mahal, namun sokongan dan jeritan penyokong Selangor yang lebih ramai itu tidak mematahkan semangat Sang Kenari untuk membawa kembali trofi persaingan kalah mati kebangsaan itu menerusi jaringan Mohd. Fadly Baharom, Mohd. Khyril Muhymeen serta Mohd. Shafiq Zainal.

Dengan kejayaan itu, Kedah kini mampu untuk mengulangi pencapaian merangkul tiga kejuaraan seperti 2007 selepas menjuarai Liga Super, Mei lalu.

Musim ini, Kedah memenangi semua tiga pertemuan mereka dengan Selangor selepas menang 6-2 dan 1-0 dalam saingan liga.

Sekalipun tanpa tulang belakang, Cornelius Bernard Huggings dan penjaring terbanyak liga, Marlon Alex James, Kedah tetap menyerlah dengan anak tempatan seperti Khyril, Fadly, Shafiq dan Shafizan Hashim.

Kedah tidak menunggu lama untuk memperoleh gol pembukaan apabila Fadly menolak umpanan lintang Badrul Bakhtiar dari sebelah kanan pada minit pertama.

Bagaimanapun Selangor cuba bangkit menerusi gerakan Mohd. Safee Sali yang melarikan bola ke sebelah kanan, namun hantarannya ditolak lemah oleh Amri Yahya untuk mudah ditepis penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Lapan minit kemudian, Selangor berjaya menyamakan kedudukan selepas Amirulhadi Zainal merembat bola di depan pintu gol pada ketika perlawanan cuba mengekang gerakan solo Elie Aiboy.

Selepas minit ke-22, Selangor berpeluang untuk menambah gol namun percubaan Safee, R. Surendran dan Mohd. Shukor Adan dinafikan benteng Kedah.

Kelincahan Khyril Muhymeen Zambri berjaya melebarkan kedudukan Kedah dengan 2-1 hasil gerakan satu dua dengan Nelson San Martin yang menewaskan penjaga gol Selangor, Suffian Abdul Rahman pada minit ke-33.

Minit ke-50 menyaksikan Shafiq menyulitkan harapan Selangor dengan gol ketiga Kedah gara-gara kelalaian bek kiri Selangor, P. Gunalan menahan umpanan Khyril.

Selangor yang terdesak mencari gol memasukkan Frank Seator untuk menggantikan Surendran dan ternyata penyerang gantian itu membalasnya dengan menjaringkan penalti selepas dia dijatuhkan oleh Helmi.

Peluang terakhir Selangor untuk menyamakan kedudukan dan mengheret permainan ke masa tambahan turut lebur dalam masa kecederaan apabila rembatan lemah Safee disambut mudah oleh Helmi.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcNJy0ic

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ramai ramal Selangor juara

ARKIB : 21/06/2008
 
KELIBAT Mohd. Safee Sali pasti akan dinanti oleh pasukan Hijau Kuning untuk menghalang kemaraannya di Stadium Shah Alam, malam ini.

KUALA LUMPUR - Majoriti jurulatih pasukan Liga Malaysia memilih Selangor akan menjulang Piala FA dengan mengatasi Kedah, manakala jurulatih negara, B. Sathianathan menganggap kedua-duanya seimbang dan sepakan penalti mungkin menjadi penentu perlawanan akhir, malam ini.

Gergasi Merah menjadi pilihan Mohamed Bakar (Pulau Pinang), K. Devan (Kuala Muda) dan Steve Darby (Perak), sementara hanya jurulatih Polis, K. Thaiyanathan yang meletakkan Kedah selaku pemilik trofi persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan itu.

Ketika Sathianathan memberikan peluang 50-50 bagi kedua-dua gergasi Liga M itu, jurulatih pasukan lain menganggap keputusan perlawanan yang diramalkan hebat lagi mendebarkan di Stadium Shah Alam ini hanya akan dibezakan dengan satu gol.

Kata Mohamed, pengalaman kerap beraksi dalam perlawanan akhir kebanyakan pertandingan besar bakal memberikan banyak kelebihan kepada Selangor untuk kembali menjulang Piala FA buat kali kelima selepas 1991, 1997, 2001 dan 2005.

"Kedah akan turun tanpa dua pemain importnya walaupun masih memiliki ramai pemain muda dan tempatan yang bagus tetapi perlawanan sehebat ini bakal jadi milik Selangor dengan bezanya cuma satu gol," kata bekas penolong jurulatih skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 ini.

Bagi Devan yang anak buahnya ditewaskan Selangor dengan agregat 4-2 dalam suku akhir Piala FA, berkata, setelah kerap hampa kepada Kedah dalam dua perlawanan Liga Super dan dipotong tiga mata, Selangor bakal menang 2-1 kerana keazaman untuk menebus kembali kesilapan lalu.

"Stadium Shah Alam (gelanggang sendiri) merupakan satu lagi faktor yang memihak Selangor di samping kekuatan serangan mereka (yang dibarisi Safee Sali dan Frank Seator)," katanya yang turut pernah melatih Negeri Sembilan dan Melaka.

Sependapat dengannya dalam memilih Merah Kuning mengatasi Hijau Kuning ialah Darby yang mengatakan ia satu aksi sengit tetapi tanpa tonggak import, kemenangan akan menyebelahi Selangor namun ia tetap akan berakhir dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

Sebagai rekod, Darby sendiri telah merasai keperitan jentera serangan anak buah Dollah Salleh yang memusnahkan Seladang dengan agregat 6-5 dalam pusingan kedua Piala FA selain 4-1 ketika pusingan kedua Liga Super di Ipoh pada 12 Februari lalu.

Thaiyanathan bagaimanapun berkata, Kedah walaupun memiliki barisan pemain muda, tetap mempunyai pengalaman lebih luas dalam Piala AFC (kelab Asia bahagian dua) dan persefahaman mantap kerana sudah bermain bersama sejak dua atau tiga musim Liga M yang lalu.

"Kedah mampu menang 2-1 kerana kekuatan mereka seimbang pada semua bahagian," katanya yang menolak kemungkinan perlawanan akhir edisi ke-19 ini bakal diheret ke masa tambahan mahupun sepakan penalti seperti yang menyebelahi Kedah 4-2 ke atas Perlis, tahun lalu.

Kata Sathianathan, yang membezakan Selangor dan Kedah ialah kemantapan penyerang masing-masing dalam menyudahkan setiap peluang terhidang dengan perhatian pasti terarah kepada Safee Sali dan Khyril Muhymeen Zambri - dua ayam tambatannya dalam skuad negara.

"Selangor kuat, Kedah pun gagah tetapi dalam setiap perlawanan akhir, siapa yang menyambar peluang dan kurang kesilapan, dialah juara," katanya yang bakal menyaring beberapa pemain lagi daripada Piala FA dan Piala Malaysia ke skuad negara untuk menentang India di Hyderabad, bulan depan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcHv9XGR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ramai ramal Selangor juara

ARKIB : 21/06/2008
 
KELIBAT Mohd. Safee Sali pasti akan dinanti oleh pasukan Hijau Kuning untuk menghalang kemaraannya di Stadium Shah Alam, malam ini.

KUALA LUMPUR - Majoriti jurulatih pasukan Liga Malaysia memilih Selangor akan menjulang Piala FA dengan mengatasi Kedah, manakala jurulatih negara, B. Sathianathan menganggap kedua-duanya seimbang dan sepakan penalti mungkin menjadi penentu perlawanan akhir, malam ini.

Gergasi Merah menjadi pilihan Mohamed Bakar (Pulau Pinang), K. Devan (Kuala Muda) dan Steve Darby (Perak), sementara hanya jurulatih Polis, K. Thaiyanathan yang meletakkan Kedah selaku pemilik trofi persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan itu.

Ketika Sathianathan memberikan peluang 50-50 bagi kedua-dua gergasi Liga M itu, jurulatih pasukan lain menganggap keputusan perlawanan yang diramalkan hebat lagi mendebarkan di Stadium Shah Alam ini hanya akan dibezakan dengan satu gol.

Kata Mohamed, pengalaman kerap beraksi dalam perlawanan akhir kebanyakan pertandingan besar bakal memberikan banyak kelebihan kepada Selangor untuk kembali menjulang Piala FA buat kali kelima selepas 1991, 1997, 2001 dan 2005.

"Kedah akan turun tanpa dua pemain importnya walaupun masih memiliki ramai pemain muda dan tempatan yang bagus tetapi perlawanan sehebat ini bakal jadi milik Selangor dengan bezanya cuma satu gol," kata bekas penolong jurulatih skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 ini.

Bagi Devan yang anak buahnya ditewaskan Selangor dengan agregat 4-2 dalam suku akhir Piala FA, berkata, setelah kerap hampa kepada Kedah dalam dua perlawanan Liga Super dan dipotong tiga mata, Selangor bakal menang 2-1 kerana keazaman untuk menebus kembali kesilapan lalu.

"Stadium Shah Alam (gelanggang sendiri) merupakan satu lagi faktor yang memihak Selangor di samping kekuatan serangan mereka (yang dibarisi Safee Sali dan Frank Seator)," katanya yang turut pernah melatih Negeri Sembilan dan Melaka.

Sependapat dengannya dalam memilih Merah Kuning mengatasi Hijau Kuning ialah Darby yang mengatakan ia satu aksi sengit tetapi tanpa tonggak import, kemenangan akan menyebelahi Selangor namun ia tetap akan berakhir dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

Sebagai rekod, Darby sendiri telah merasai keperitan jentera serangan anak buah Dollah Salleh yang memusnahkan Seladang dengan agregat 6-5 dalam pusingan kedua Piala FA selain 4-1 ketika pusingan kedua Liga Super di Ipoh pada 12 Februari lalu.

Thaiyanathan bagaimanapun berkata, Kedah walaupun memiliki barisan pemain muda, tetap mempunyai pengalaman lebih luas dalam Piala AFC (kelab Asia bahagian dua) dan persefahaman mantap kerana sudah bermain bersama sejak dua atau tiga musim Liga M yang lalu.

"Kedah mampu menang 2-1 kerana kekuatan mereka seimbang pada semua bahagian," katanya yang menolak kemungkinan perlawanan akhir edisi ke-19 ini bakal diheret ke masa tambahan mahupun sepakan penalti seperti yang menyebelahi Kedah 4-2 ke atas Perlis, tahun lalu.

Kata Sathianathan, yang membezakan Selangor dan Kedah ialah kemantapan penyerang masing-masing dalam menyudahkan setiap peluang terhidang dengan perhatian pasti terarah kepada Safee Sali dan Khyril Muhymeen Zambri - dua ayam tambatannya dalam skuad negara.

"Selangor kuat, Kedah pun gagah tetapi dalam setiap perlawanan akhir, siapa yang menyambar peluang dan kurang kesilapan, dialah juara," katanya yang bakal menyaring beberapa pemain lagi daripada Piala FA dan Piala Malaysia ke skuad negara untuk menentang India di Hyderabad, bulan depan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcHv9XGR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Piala FA: Kedah, Selangor tentukan juara


 

ARKIB : 18/06/2008
Pemain Kedah, Samransak Kram (kiri) dijatuhkan pemain Pahang, Norhafiz Zamani Misbah pada aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. Kedah layak ke perlawanan akhir dengan agregat 6-1.
- Bernama

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kedah akan bertemu Selangor pada perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini selepas membenamkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir, semalam.

Kedah yang menang 4-1 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri 14 Jun lalu, meneruskan kecemerlangan dengan sekali lagi menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur.

Satu gol pada setiap babak menerusi Khyril Muhymeen Zambri (m-9) dan Badrol Bakhtiar (m-51) cukup memberi keselesaan buat Kedah untuk mara menerusi agregat 6-1.

Tidak banyak yang dapat dilakukan Pahang untuk mengurangkan defisit jaringan gol walaupun beraksi di tempat sendiri.

Sementara itu dalam satu lagi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selangor hanya mampu seri 1-1 dengan pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun itu sudah cukup untuk melayakkan mereka ke perlawanan akhir hasil kejayaan menewaskan Terengganu 2-1 di tempat sendiri minggu lalu.

Selangor yang mara dengan agregat 3-2 lebih dulu membuka jaringan menerusi R. Surendran (m-48) sebelum Terengganu menyamakan kedudukan menerusi Mat Ashaari Shamsuddin (m-69).

Perlawanan akhir antara Kedah dan Selangor akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini pada pukul 8.45 malam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zb7SkqUR

© Utusan Melayu (M) Bhd