RKIB : 04/03/2009
PEMAIN Harimau Muda, Muzaki Abu
Bakar (belakang) cuba mengasak pemain Perlis, Ahmad Fakri Saraani pada perlawanan
Piala FA di Stadium Bukit Jalil, semalam. UTUSAN/ZULAZHAR SHEBLEE
KUALA LUMPUR Pasukan pilihan
Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan sekadar mencatat kemenangan tipis ke atas
lawan masing-masing dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA semalam.
Manakala satu lagi pasukan
pilihan, Kelantan mula mempamer aksi goyah apabila seri 1-1 dengan pasukan UPB
My-Team.
Di Stadium Perak, Ipoh, Selangor
yang masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas pencabar terdekat, Kelantan
dalam perlawanan Liga Super Sabtu lalu menang 2-1 ke atas skuad muda Perak yang
dibimbing M. Karathu.
Selangor mendahului pada minit
ke-29 apabila Safee Sali menyempurnakan sepakan penalti.
Ketua pasukan, Mohd. Amri Yahya
mengukuhkan kedudukan pelawat pada minit ke-52 .
Perak merapatkan kedudukan hasil
jaringan Razali Umar Kandasamy pada minit ke-74 namun gagal mencari gol
penyamaan walaupun menggandakan asakan di babak akhir perlawanan.
Perlis pula terpaksa menunggu
hingga minit ke-71 untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas skuad Harimau Muda
dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan Badrol Azam
Zamri.
Pasukan pelawat, Perlis
sepatutnya memperoleh gol awal namun penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof
gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-65.
Kelantan pula seakan masih
dihantui badi kekalahan 0-3 kepada Selangor Sabtu lalu dengan aksi longlai
apabila hanya mampu seri 1-1 dengan UPB My-Team dalam aksi di Stadium Majlis
Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Penyerang kebangsaan, Indra Putra
Mahayuddin meletakan Kelantan di depan pada minit ke-11 namun pasukan tuan
rumah pantas bangkit menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi Mohd.
Azlan Hajar.
Kelantan terpaksa beraksi dengan
10 pemain apabila Ahmad Azan Zainal dilayangkan kad merah di minit ke-44.
Sementara itu di Stadium Sultan
Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah, T-Team tunduk 0-1
kepada Negeri Sembilan menerusi jaringan S. Kunalan pada minit ke-78.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz52qJVstzp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan