Khamis, 16 Mac 2017

Piala FA: P. Pinang, Sarawak lega



ARKIB : 21/03/2001
NAIB juara tahun lalu, Pulau Pinang meraikan kemenangan besar 5-0 ke atas Telekom Melaka pada perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.

Pasukan tuan rumah mendahului babak pertama 1-0 menerusi jaringan R. Suresh Kumar pada minit ke-44, sebelum menggandakan asakan pada babak seterusnya.

Pemain gantian, Zailani Jaafar menjadikan kedudukan 2-0 di minit ke-64, diikuti gol ketiga jaringan Suresh, minit ke-69.

Gol keempat Pulau Pinang disumbat masuk oleh Mohd. Fareed Shah Hassan pada minit ke-76, sebelum Moey Kok Hong memastikan kemenangan di minit ke-80 ketika tuan rumah menewaskan penjaga gol Telekom Melaka, Amirul Zain Ismail buat kali kelima.

Sementara itu, Sarawak menggunakan pengalaman beraksi dalam liga Perdana Satu untuk menewaskan pasukan bertaraf amatur, SKMK Kelantan 3-2 di Stadium Sultan Mohd Ke-IV.

Pasukan Bujang Senang itu memperoleh gol pertama melalui jaringan Halim Jantan pada minit ke-15 akibat kesilapan pertahanan SKMK Kelantan yang gagal menampan kemas bola di luar kawasan penalti.

Bagitupun, SKMK Kelantan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi Mat Anuar Semail.

Sarawak kembali mendahului pada minit ke 35, apabila Halim Jantan menyumbat masuk bola menerusi sepakan lambung setelah menyedari penjaga gol SKMK Kelantan, Nazeran Zakaria terkeluar dari posisinya.

SKMK Kelantan bagaimanapun dapat menyamakan semula kedudukan pada minit ke-63 hasil tendangan cantik Mohamad Ibrahim dari sebelah kanan pintu gol Sarawak.

Ketika sebahagian penonton dilihat mula keluar dari stadium, Ramos Sari berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk membolehkan Sarawak mengatasi SKMK Kelantan 3-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bVG1RuyU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan